PEGUAM TAHUN BARU
Setiap kali tahun baru menjelang tiba setiap kali itulah juga orang mula membuat azam tahun baru. Tahun baru itu ibaratnya sebagai permulaan kepada suatu tempoh. Syukurlah Allah Taala telah menciptakan matahari dan bulan yang bergerak di atas orbit masing-masing sehingga kita semua dapat membuat kiraan dan hitungan masa. Bayangkan sekiranya tiada matahari dan bulan pastinya kita sendiri pun tidak tahu masa itu berlalu.
Apakah maksud tahun baru bagi kita semua. Kita pastinya memperbaharui azam kita dengan melihat kemungkinan yang akan berlaku pada tahun berikutnya. Kita juga membuat muhasabah terhadap masa yang telah lepas. Muhasabah ini adalah penting untuk kita mengetahui prestasi yang kita telah hadapi pada tahun berikutnya.
Ramai orang yang membuat muhasabah terhadap prestasi ekonomi yang dia hadapi pada tahun lepas. Muhasabah atau audit ini adalah dibuat bagi menghitung kedudukan dirinya. Paling penting peguam itu tahu berapa pendapatannya supaya peguam itu dapat membuat bayaran zakat dan cukai.
Zakat adalah mekanisme percukaian yang sudah menjadi ketetapan dalam agama Islam. Malah menunaikan zakat adalah menjadi rukun Islam yang ketiga setelah bersyahadah kepada Allah dan Rasul dan setelah mendirikan solat. Banyak kali juga dalam Al-Quran menggabungkan keperluan menunaikan solat dan memberikan zakat.
Jika solat itu adalah untuk pembangunan diri secara dalaman maka zakat itu adalah untuk menyucikan harta yang diperolehi. Bukan senang untuk menunaikan zakat. Menunaikan zakat memerlukan iman yang kuat kerana pemberian zakat akan mengurangkan harta jika dilihat secara selapis. Tetapi jika diteliti lapisan kedua menunaikan zakat akan menyuburkan harta kerana harta yang dijadikan zakat itu kemudiannya akan berlegar pula di kalangan asnaf yang miskin dan memerlukan dan seterusnya membangunkan insan yang lain. Sebab itu jadilah peguam yang berzakat dan berdoalah semoga zakat yang dikeluarkan itu dapat menyucikan harta dan menyuburkan harta yang diperolehi kelak.
Tahun baru yang kita semua akan hadapi nanti adalah tahun yang mencabar bukan sahaja kepada orang lain bahkan juga kepada para peguam. Norma baharu yang dibuat berikutan pandemik Covid-19 ini telah mengganggu perjalanan karier peguam.
Tahun ini berapa banyak kes yang telah ditangguhkan sehinggakan menyukarkan peguam untuk menjalankan tugasannya. Sekiranya kes tidak berjalan maka fail tersebut tidak dapat ditutup dan akhirnya klien tidak akan membayar upah peguam.
Baru-baru ini ada satu kes berkaitan permohonan surat kuasa pentadbir yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya telah ditangguhkan. Ini adalah penangguhan yang kedua oleh Mahkamah sendiri. Tiada sebab diberikan tetapi rasanya adalah kerana masalah PKPB yang masih berjalan. Entahlah sama ada akan berlaku lagi penangguhan kali ketiga memandangkan kes-kes Covid-19 masih lagi meningkat di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Menurut unjuran mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sendiri menyatakan bahawa kes Covid-19 akan mencapai kemuncaknya pada bulan Februari 2021 kelak dengan kadar positif Covid-19 sebanyak 5000 kes sehari.
Oleh itu, sepatutnya kerajaan dapat membuat polisi yang lebih mesra kepada rakyat daripada polisi menutup pejabat kerajaan kerana ini akan menjejaskan pendapatan rakyat. Kita khuatir sekiranya orang bukan mati disebabkan Covid-19 tetapi mati akibat kekurangan pendapatan dan seterusnya menyebabkan tekanan hidup dan stres berlebihan. Stres yang berlebihan amat bahaya kepada kesihatan kerana ianya bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental tetapi juga akan menjejaskan kesihatan fizikal. Ramai orang yang mengalami sakit strok dan menghadapi serangan jantung serta tekanan darah berlebihan disebabkan stres. Tambahan lagi, kerajaan tidak lagi bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium.
Maka selepas ini kita akan dapat melihat ramai orang yang menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan kereta yang dipandu dan rumah yang didiami akan dilelong oleh pihak bank. Bagi yang menghadapi masalah tersebut mungkin bukan sahaja ekonomi terjejas tetapi ianya akan menjejaskan juga hubungan keluarga. Fenomena pertengkaran antara suami isteri disebabkan masalah ekonomi bukanlah hal baharu. Tetapi dengan pandemik ini maka statistik perceraian akibat masalah ekonomi ini juga akan meningkat.
Masalah pandemik ini tidak akan selesai pada tahun 2021. Ramalan yang dibuat bahawa pandemik ini akan terus berlaku sehingga tahun 2023 walaupun vaksin telah dijumpai. Setakat ini belum ada lagi vaksin yang benar-benar dapat mengawal Covid-19 ini. Jika ada pun vaksin sebegitu ianya pasti akan menyebabkan permintaan yang berlebihan sehingga tidak dapat bekalan tidak dapat memenuhi permintaan menyebabkan harga vaksin akan meningkat tinggi. Ini juga akan menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara untuk membeli vaksin itu.
Justeru, kita sepatutnya dapat menerima hakikat Covid-19 ini berlegar-legar di keliling kita dan langkah kuarantin itu tidak lagi berkesan untuk mengawal Covid-19. Langkah yang patut diambil adalah langkah ‘Kita Jaga Kita’. Penggunaan pelitup muka, penjarakan 1 meter dan tindakan sanitasi serta membasuh tangan secara kerap itulah yang sebenarnya vaksin untuk kita semua.
Bagi peguam, masalah penangguhan kes oleh Mahkamah ini tidak dapat dielakkan sekiranya tiada tindakan proaktif oleh kerajaan. Tidak mustahil kerana isu ketidakstabilan politik kerajaan sekarang maka kerajaan akan sekali lagi menggunakan alasan pandemik ini untuk mengisytiharkan darurat. Perisytiharan darurat akan membuatkan ekonomi rakyat makin tertekan. Pelabur asing pastinya akan menjauhi negara Malaysia. Sekarang ini pun warga asing tidak dibenarkan untuk masuk ke Malaysia dan ini menjejaskan hubungan dan perdagangan antarabangsa. Kerajaan patut memikirkan cara untuk menarik kembali pelaburan ke Malaysia dan membuka sempadan negara untuk warga asing memasuki Malaysia dengan SOP tertentu.
Menerima hakikat ini, pastinya proses digitalisasi akan menjadi subjek penting pada tahun 2021. Sejauh manakah peguam bersedia dengan proses digitalisasi ini? Ini adalah perkara menarik untuk direnungi.
Jika kita melihat perjalanan Mahkamah Sivil, proses digitalisasi berjalan dengan lebih pantas. Kini semua penfailan kes telah dibuat secara digital. Tiada lagi penfailan secara fizikal diperlukan dan pembayaran yuran mahkamah dibuat secara atas talian. Ini adalah satu jasa pembaharuan yang dibuat oleh Tun Zaki Tun Azmi semasa beliau menjadi Ketua Hakim Negara dan diteruskan lagi oleh ketua hakim yang lain. Ketua Hakim sekarang, Tun Tengku Maimun Tuan Mat juga telah membuat langkah digitalisasi bertambah rancak dan ini memudahkan perjalanan kes. Mungkin pada tahun 2021 kita akan dapat melihat perbicaraan yang dibuat secara atas talian sepenuhnya. Sekarang ini pun pengurusan kes telah dibuat secara atas talian sepenuhnya. Kita bakal melihat perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan dibuat secara atas talian sepenuhnya.
Proses digitalisasi ini malangnya belum lagi dilaksanakan di Mahkamah Syariah meskipun sebenarnya proses digitalisasi bermula di Mahkamah Syariah melalui sistem ESyariah. Namun, pengenalan sistem ESyariah ini hanya dibuat untuk menyelesaikan masalah pada waktu itu iaitu untuk memastikan keseragaman pentadbiran semata-mata. Oleh kerana kuasa Mahkamah Syariah ini berada di bawah kuasa negeri maka pentadbiran Mahkamah Syariah itu ditadbir secara berasingan. Lompang yang ada itu dimanfaatkan oleh sesetengah pihak yang mana ada pihak yang menfailkan kes yang sama di Mahkamah Syariah yang berlainan. Ini menyebabkan berlaku percanggahan perintah dan akhirnya menjejaskan proses perlaksanaan perintah. Ini kerana jika ada satu pihak memperoleh perintah di Mahkamah Syariah Selangor dan lawannya pula mendapat perintah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan maka perintah manakah yang akan dipakai kerana kedua-dua perintah itu mempunyai wibawa.
Oleh itu, pentadbir pihak Mahkamah Syariah sepatutnya dapat membuat lawatan sambil belajar di Mahkamah Sivil untuk mempelajari sistem digitalisasi Mahkamah Sivil dan melaksanakan sistem yang sama di Mahkamah Syariah untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kelicinan proses perbicaraan di Mahkamah Syariah. Sekurang-kurangnya sistem e-review di Mahkamah Sivil dapat menyelesaikan isu sebutan dan pengurusan kes tanpa peguam perlu hadir ke Mahkamah itu sendiri. Bayangkan betapa banyak masa dan kos dapat dijimatkan tanpa perlu peguam hadir ke Mahkamah. Jika peguam terpaksa hadir ke Mahkamah maka ia memerlukan masa kira-kira dua jam perjalanan pergi balik di atas jalan raya dan seterusnya memerlukan masa dua jam lagi untuk menunggu kesnya dipanggil. Tempoh masa selama empat jam itu boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja lain yang lebih produktif.
Bagi peguam pula adalah mustahak untuk peguam beralih kepada sistem pengurusan fail secara digital. Penggunaan storan di awan akan dapat menyelesaikan masalah penyimpanan fail dan akan dapat membuat pengurusan fail pejabat lebih baik. Begitu juga, pejabat peguam juga dapat membuat sistem kawalan fail lebih teratur dan lebih cepat. Adalah menjadi satu masalah besar kepada peguam untuk membuka fail secara fizikal setiap kali klien bertanyakan sesuatu isu di dalam fail yang dikendalikan.
Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai geran sepadan untuk proses digitalisasi ini. Semua geran sepadan ini telah disediakan di bawah program SME semenjak zaman kerajaan Pakatan Harapan lagi. Geran sepadan ini memberikan subsidi sebanyak 50% daripada amaun invois atau maksima RM5000 bagi sistem digitalisasi yang diambil. Maklumat mengenai geran sepadan ini dapat diperolehi daripada laman web Bank Simpanan Nasional (Business). Terdapat beberapa sektor yang boleh diterokai seperti pengurusan fail, pengurusan akaun, pengurusan pejabat, sumber manusia dan pelbagai lagi untuk melicinkan kerja guaman.
Selain menjangkakan banyak kesulitan untuk kes berjalan seperti biasa di Mahkamah, maka dengan sendirinya banyak masa peguam yang akan terluang kerana tidak dapat pergi Mahkamah Ini pastinya akan menjejaskan pendapatan peguam apabila banyak masa untuk membuat kes tidak berjalan. Peguam seharusnya memanfaatkan masa terluang itu untuk mengasah pisau yang tumpul. Istilah yang digunakan oleh penulis buku terkenal, The 7 Habits of Highly Effective People iaitu Steven Covey adalah ‘sharpen the saw’ (mengasah mata gergaji). Ini kerana jika seorang penebang balak memerlukan masa yang lebih singkat untuk menebang balak dengan menggunakan satu gergaji yang tajam berbanding dengan menggunakan gergaji yang tumpul.
Gunakan masa yang terluang itu untuk membina keterampilan dan wibawa diri. Bagaimanakah hal tersebut boleh dibuat. Cara yang mudah untuk membina keterampilan dan wibawa diri adalah dengan menaikkan darjat diri. Allah Taala sendiri pernah berfirman bahawa tidak sama antara orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Maka, berusahalah untuk menambahkan ilmu sama ada ilmu kepeguaman atau ilmu-ilmu lain yang dapat memberikan nilai tambah kepada para peguam.
Pelajaran boleh diperolehi sekiranya peguam itu rajin belajar. Belajar boleh dibuat secara formal dengan mengambil apa-apa kursus secara atas talian. Selain itu, membaca buku boleh menambahkan ilmu. Cuba letakkan azam untuk menghabiskan apa-apa buku yang masih lagi belum dibaca. Pastikan setiap bulan dapat membaca sebuah buku maka peguam itu perlu membaca sekurang-kurangnya 12 buah buku untuk 12 bulan yang akan datang. Cuba renungi berapakah jumlah buku yang telah dibaca pada tahun 2020. Maka pada tahun baru ini perlulah kita mengubah tabiat kita daripada banyak membaca facebook kepada banyak membaca buku-buku. Secara peribadi, azam atau target jumlah yang perlu dibaca pada tahun ini adalah sebanyak 50 buku sama ada buku digital atau pun buku fizikal. Jangan lupa pula untuk membaca Al-Quran sekiranya kita membaca buku kerana Al-Quran dapat memberikan inspirasi dan roh kepada diri kita. Janji Allah Taala sendiri bahawa membaca 1 huruf daripada Al-Quran itu akan membawa 10 kebajikan atau keberkatan.
Selain membaca buku, sekarang ini proses pembelajaran menjadi lebih mudah dengan kemajuan teknologi digital. Peguam boleh mengakses pelbagai platform atas talian termasuk aplikasi youtube yang mengumpulkan pelbagai ilmu. Pelajarilah apa-apa ilmu kerana setiap ilmu itu mesti mengandungi elemen undang-undang hatta jika belajar ilmu memasak sekali pun.
Ini kerana ilmu memasak itu menggabungkan pelbagai ilmu prosedur memasak bermula daripada penyediaan bahan mentah, menggaul bahan itu dan seterusnya menjadikannya makanan yang sedap. Jika seseorang itu tidak mematuhi prosedur dan kaedah memasak yang tepat itu maka nescaya makanan yang dimasak itu tidak akan menjadi sedap.
Atau peguam boleh memahirkan diri untuk mempelajari ilmu bertukang. Ilmu bertukang juga mempunyai prosedur tertentu untuk membolehkan hasil pertukangan itu menjadi satu karya seni yang menarik.
Pastinya jika seseorang itu mahir aspek prosedur ianya akan memberikan perspektif tersendiri semasa peguam itu mengendalikan kes. Mengendalikan ilmu prosedur ini dengan baik boleh menjadikan kes itu menarik dan seterusnya menarik perhatian hakim. Menarik perhatian hakim adalah satu seni yang harus dipelajari dan diamalkan. Peguam yang mengendalikan kes semata-mata mengikut prosedur tanpa menggabungkan elemen seni dan kreatif sukar untuk menarik perhatian hakim. Peguam harus membuat strategi yang tepat untuk memenangi kes sama seperti seseorang itu memasak atau bertukang.
Ketika ini ramai orang sudah memahami betapa pentingnya untuk berada di atas talian. Berada di atas talian bukan setakat untuk berwassap atau membaca komen facebook semata-mata. Kedua-dua perkara itu perlu dilayan sebagai mengisi masa lapang sahaja. Janganlah peguam itu menjadi hamba kepada wassap atau facebook atau instagram. Penuhi masa yang ada dengan itu dengan membuat kerja-kerja yang boleh meningkatkan produktiviti.
Perkara lain yang perlu dimanfaatkan sempena tahun baru ini adalah dengan meletakkan azam yang ingin dicapai. Sebagaimana yang dijangkakan bahawa peguam akan menghadapi tahun baru ini dengan pelbagai kesulitan. Maka, adalah baik sekiranya peguam juga belajar untuk menambahkan pendapatan dengan cara selain daripada membuat kes mahkamah.
Gunakan platform seperti Lazada dan Shoppe untuk menjual produk-produk yang difikirkan akan mendapat perhatian orang ramai. Pada masa sekarang ini pelbagai peluang ada di atas talian dan semuanya atas kehendak dan inisiatif sendiri untuk menambahkan pendapatan. Pelbagai produk boleh dijual di platform e-commerce seperti ini sama ada produk fizikal seperti keropok, ubatan, kain, pakaian dan 1001 macam jenis perkara lain. Lazada sendiri telah membuat inisiatif untuk membina platform Lazada University bagi memberikan panduan kepada peniaga-peniaga baharu untuk memajukan diri melalui platform e-commerce ini.
Peguam juga mesti bersedia untuk menghadapi kepayahan kewangan. Pandemik ini telah mengajar kita semua betapa pentingnya untuk menyimpan wang bagi memastikan ada kelangsungan hidup pada masa akan datang. Adalah sukar bagi orang yang tidak mempunyai wang simpanan untuk hidup pada masa pandemik ini. Justeru, peguam mesti bersedia untuk menghadapi tahun baru ini dengan membuat perancangan kewangan bagi memastikan kehidupan tidak terjejas dengan pandemik ini. Rata-rata peguam yang bekerja sendiri juga pastinya tidak mempunyai caruman KWSP.
Cara bagi memastikan penyimpanan wang ini dapat dilakukan adalah dengan memperuntukkan sedikit wang setiap bulan antara 5-15% daripada pendapatan ke dalam tabung itu. Pastikan juga tabung itu akan bertambah dengan pelaburan.
Terdapat beberapa jenis pelaburan yang mudah dilakukan dengan sedikit ilmu asas pelaburan. Peluang yang ada ini boleh diteroka oleh peguam. Peguam boleh meneroka peluang pelaburan dalam sektor yang berisiko tinggi seperti Bursa Malaysia. Sekarang ini ramai rakyat Malaysia yang mula sedar betapa peluang untuk menggandakan wang itu wujud di depan mata hanya dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Mungkin kita semua sudah biasa sangat mendengar tagline yang digunakan oleh pakar pelaburan Dato’ Dr Nazri Khan, ‘Tak hensem tak apa, janji kaya’. Peluang pelaburan di Bursa Malaysia ini terbuka kepada semua orang. Malah, jika dilihat statistik pedagang di Bursa Malaysia sekarang adalah hampir 40-50% pelabur adalah pelabur runcit. Menambah pendapatan melalui Bursa Malaysia tidaklah serumit yang disangka oleh ramai orang. Cukup dengan sedikit pengetahuan asas mengenai cara pemilihan kaunter-kaunter yang dalam trend menaik dan mengenal pasti asas sokongan dan rintangan sudah memadai untuk menggandakan wang. Pelajarilah sesuatu daripada laman web Bursa Malaysia, Malaysiastockbiz dan i3investor.
Terdapat hampir seribu kaunter yang berstatus syariah yang boleh didagangkan dan ini adalah peluang bagi kita semua untuk ‘melombong emas’ di Bursa. Contohnya seperti saham Iris Corporation yang hanya berada di paras terendah pada bulan Mac 2020 dengan nilai 6 sen sesaham dan kini sudah mencecah harga 44 sen sesaham. Bayangkan dalam masa tidak sampai setahun wang yang dilaburkan sudah berganda melebihi 700%. Maknanya jika wang yang dilaburkan pada waktu itu sebanyak RM600 maka kini ianya sudah bertambah menjadi RM4,400. Lumayan bukan? Bagi yang mempunyai wang yang lebih mungkin boleh belajar pula untuk berdagang di pasaran lain seperti di Singapura dan Nasdaq. Saham Tesla sendiri pada bulan Jun 2020 hanya bernilai USD100 sesaham kini sudah mencapai harga USD700 sesaham. Jadikan pelaburan saham ini sebagai satu sumber kekayaan baru.
Selain itu, peguam juga boleh belajar untuk berdagang dengan membeli kripto currency seperti BTC (bitcoin), ETH (ethereum), XRP (Ripple) dan LTC (Litecoin). Walau bagaimanapun XRP kini mengalami kejatuhan berikutan tindakan SEC (Securities and Exchange Commission) yang menganggap XRP sebagai sekuriti dan bukannya sebagai kripto currency menyebabkan XRP tertakluk kepada peraturan lain sebagaimana saham-saham biasa. Setakat ini para fuqaha’ mengharuskan pembelian dan pemilikan kripto currency dan menganggap ianya sebagai satu aset digital dan bukannya matawang. Walau bagaimanapun, kita harus berhati-hati untuk tidak berdagang dengan CFD (contract for difference) atau forex kerana para fuqaha’ menganggap ianya sebagai haram disebabkan ianya melibatkan unsur gharar (ketidaktentuan) atau maisir (perjudian). Usah dengar cakap ustaz separuh masa yang menghalalkan urusniaga CFD dan forex ini, sebaliknya rujuk kepada pakar-pakar muamalat seperti Datuk Dr Daud Bakar dan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman (UZAR).
Pembelian BTC, ETH, XRP dan LTC ini boleh dilakukan di Malaysia secara sah kerana Suruhanjaya Sekuriti telah meluluskan lesen kepada tiga syarikat iaitu Luno Malaysia, SINEGY Technologies, and Tokenize Technology untuk mengendalikan urusan jual beli dan penyimpanan kripto currency ini.
Sekarang ini harga kripto currency dalam trend kenaikan disebabkan para pengurus aset termasuk bank mula menyenaraikan aset digital ini di dalam portfolio masing-masing. Harga BTC misalnya berharga USD3000 bagi satu BTC pada Mac 2020 dan kini mencecah harga BTC29,000. Harga BTC diramalkan terus meningkat sehingga USD1 juta bagi 1 BTC pada tahun 2021. Kenaikan harga aset digital ini berlaku secara exponential menyebabkan seseorang itu boleh meraih keuntungan sama ada untuk tempoh jangka pendek mahupun jangka panjang. Misalnya pada 25 Disember lepas harga 1 BTC hanyalah USD22,000 dan dalam tempoh 5 hari sahaja ianya sudah meningkat kepada USD29,000. Ini bermakna berlaku peningkatan sebanyak USD7,000 atau bersamaan RM28,000 atau 28% dalam tempoh berkenaan. Bayangkan sekiranya kita membeli aset bernilai RM100 ribu pada minggu lepas dan menjualnya pada minggu ini dengan harga RM128 ribu pada minggu ini. Tentunya ini akan menambahkan pendapatan peguam tanpa perlu risau dengan fail-fail yang menyerabutkan. Menarik lagi seseorang boleh membeli BTC dengan harga serendah RM50.
Apa yang menariknya perdagangan aset digital ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam 7 hari seminggu dan boleh dilakukan dalam kamar tidur kita sendiri. Ini memudahkan para peguam untuk berdagang kerana apa yang perlu dilakukan hanyalah untuk melihat bilakah harganya murah dan membelinya. Ini bermakna jika seorang peguam itu sibuk di siang hari maka beliau boleh berdagang pada waktu malam ketika suasana sudah tidak disibukkan dengan kerja-kerja pejabat. Walau apa pun, apabila kita berdagang maka risiko kerugian tetap wujud. Maka, kita hendaklah menguruskan risiko itu dengan sebaik-baiknya kerana jika harga aset digital ini boleh naik dengan mendadak ianya juga boleh turun dengan mendadak. Contohnya pada Januari 2018 harga BTC adalah sebanyak USD24,000 dan tiba-tiba ianya jatuh menjunam dan harganya pada Januari 2019 ialah USD3000 sahaja bagi 1 BTC.
Akhir sekali, janji Allah Taala bahawa di sebalik kepayahan itu ada kesenangan. Hari tidak akan selalunya dilanda ribut. Pastinya akan datang hari di mana anginnya hanya sepoi-sepoi bahasa dan menyamankan. Usah berputus asa daripada rahmat Allah kepada hamba-hambanya.
Comments