Terdapat beberapa pandangan dalam isu samada lafaz talak 3 jatuh 1 talak sahaja. Saya salinkan semula hujahan yang pernah saya kemukakan di Mahkamah untuk manfaat semua.
1.
Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam kitab Fiqh
dan Perundangan Islam Jilid VII, DBP, (2001) ms 526-528 telah dengan panjang lebar menghuraikan persoalan ini.
2.
Antara intipati tulisannya menyatakan:
a.
Pendapat jumhur dari imam mazhab yang empat dan
al-Zahiriyah: jatuh ketiga-tiga talaq.
b.
Pendapat Shi’ah Imamiyah: menceraikan isteri dengan tiga
talaq sekali gus tidak jatuh talaqnya.
c. Pendapat Shi’ah Zaidiyah: setengah ulama Zahiriyah dan
Ibn Ishak, Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim: jatuh satu talaq sahaja dan lafaz
tidak memberi kesan. Undang-undang Mesir dan Syria telah mengambil pendapat
ini.
Kemudiannya, Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyad
mengubah daripada berpegang dengan pendapat ini dan memilih dengan majoriti
pendapat yang mengatakan jatuh tiga talaq dengan lafaz tiga sekaligus.
3.
Pendapat yang mengatakan lafaz tiga talaq sekaligus
tetapi jatuh satu talaq berpegang kepada dalil berikut:
a.
Al-Quran iaitu
”...sesudah itu bolehlah ia rujuk dan memegang terus
(isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya)
dengan cara yang baik ...” (Al-Baqarah 2: 229)
”Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula
(bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal baginya sesudah itu,
sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain... (Al-Baqarah 2: 230)
Ertinya bahawa talaq yang diharuskan ialah talaq yang berasingan selepas satu
kerana firman Allah taala:
”..dua kali” (Al-Baqarah 2:229)
Allah taala tidak berfirman ”tallaqataani” yang bermaksud
”dua talaq”
b.
Hadith Ibn Abbas yang bermaksud, ’Adalah talaq pada masa
Rasulullah saw , Abu Bakar dan dua tahun pada masa Umar, talaq tiga jatuh satu
sahaja. Maka Umar berkata, ’Sesungguhnya manusia telah menyegerakan perkara
yang seharusnya mereka lambatkan, maka kalau kita luluskan ke atas mereka
selesailah ia’ lalu ia luluskan ke atas mereka. Ini jelas menunjukkan baginya pada masa Abu Bakar dan dua tahun
pada masa Umar dan sesungguhnya Umar meluluskannya adalah berdasarkan maslahah
dan siyasah syar’iyyah.
c.
Hadis Ibn Abbas daripada Rukanah bahawa ia menceraikan
isterinya tiga talaq dalam majlis, kemudian dia berdukacita yang amat sangat
kerananya. Lalu Baginda saw bertanya beliau: Bagaimana kamu menceraikannya? Ia
menjawab: Talaq tiga dalam satu majlis. Lalu Baginda saw bersabda kepadanya:
”Sesungguhnya yang demikian itu hanya satu talaq, rujuklah
kepadanya.”
4.
Dalil yang mengatakan jatuh tiga talaq dengan satu lafaz
sekaligus:
a.
Al-Quran iaitu ayat surah Al-Baqarah 2:229 seperti mana
yang dinyatakan di atas. Ayat ini menunjukkan jatuh talaq tiga sedangkan ia
adalah dilarang kerana firman Allah,
”Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali
[Al-Baqarah 2:229]
Adalah menjadi hikmat talaq secara berasingan semoga
dapat dirujuk kembali. Apabila suami menyalahi hikmat ini dan menceraikan
isterinya dengan dua talaq sekali gus. Tidak ada bezanya antara menjatuhkan dua
talaq pada masa sekali suci, atau pada masa beberapa kali suci.
b.
Sunnah: antaranya
hadith Sahal bin Sa’ad yang diriwayatkan oleh Bukhari mengenai kisah Li’an
Uwayir al-’Ajalani katanya ”Saya membohongi ke atasnya ya Rasullullah, jika
saya kekalkannya sebagai isteri. Lalu beliau menceraikannya dengan talaq tiga
sebelum Rasulullah saw menyuruhnya, dan tidak ada riwayat bahawa Baginda
mengingkari perbuatan itu.
c.
Ijmak: bahawa semua ulama salaf telah ijmak jatuh talaq
tiga dengan satu talaq tiga kali. Antara yang berkata begitu adalah Abu Bakr
al-Razi, al-Baji, Ibn Arabi dan Ibn Rajab.
d.
Pendapat sahabat: ramai sahabat yang berpandangan
sedemikian.
e.
Al-Qiyas: Ibn Qudamah menyatakan ’sesungguhnya pernikahan
adalah suatu pemilikan yang sah dihilangkan secara berasingan.’ Oleh itu, ia
juga sama dihilangkan secara berkumpulan sebagaimana semua pemilikan yang lain.
5.
Dr Wahbah selanjutnya mentarjihkan pendapat beliau dengan
mengatakan, ’Penulis lebih cenderung dengan pendapat jumhur iaitu jatuh tiga
talaq apabila suami menceraikan isterinya dengan tiga talaq sekaligus. Namun
apabila pemerintah mengambil dengan pendapat yang lemah, maka pendapat itulah
yang lebih kuat seandainya kerajaan mengeluarkan undang-undang sebagaimana
keadaannya di beberapa buah negara arab dengan menjadikan talaq (tiga) ini
hanya satu talaq sahaja. Maka tiada halangan daripada berpegang dan memberi
fatwa dengannya demi untuk memudahkan manusia, dan bagi menjaga hubungan
perkongsian hidup suami isteri dan untuk menjaga kepentingan maslahat
anak-anak, khususnya kita berada dalam zaman yang tidak begitu mengambil berat
dengan sikap warak dan berjaga-jaga [m/s 535].
6. Selanjutnya hukum talaq
tiga dengan satu lafaz ini telah dibincangkan dalam bab khusus oleh Dr Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
dalam kitab Fiqh Perbandingan Isu-Isu Fiqh Terpilih, Al-Hidayah Publication
(2011) m/s 87-124.
7.
Penulis menyatakan bahawa ada 4 pandangan ulama berkaitan
hal ini iaitu,
a.
Jatuh talaq tiga sebagaimana pendapat jumhur ulama empat.
b. Jatuh talaq tiga jika telah disetubuhi dan jatuh satu
ba’in sekiranya belum disetubuhi.
c.
Tidak jatuh apa-apa talaq.
d.
Jatuh talaq satu bagi orang yang melafazkan talaq tiga
sekaligus. Pendapat ini dipegang oleh Muhammad bin Ishaq, Al-Hajjaj bin Ara’ah,
Ibnu Zanba’, Ahmad bin Baqi bin Mukhallad, Muhammad bin Abd As-Salam
Al-Khusyani, Ahmad bin Mughith, Asbagh bin Al-Habbab, Ibn Maryam, Muhammad bin
Waddah dari mazhab Maliki. Inilah juga pendapat terpilih dari Ibn Taimiyyah dan
Ibn Al-Qayyim, Imam al-Razi. Juga dipegang oleh Abu Musa, Ali bin Abi Talib,
Ibn Abbas, Az-Zubair bin Al-Awwam, Abd Rahman bin Auf, Atha’, Thawus, Jabir bin
Zaid, Khalas bin ’Amru, Al-Harits Al-Akli. Juga dipegang oleh sesetengah ulama mazhab Syiah dan Az-Zahiri
sebagaimana juga merupakan pendapat Asy-Syaukani dan Siddiq Hasan Khan.
Antara ulama moden yang berpegang kepada pendapat ini
adalah Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Ahmad Syakir, Sheikh Muhammad Ali As-Sais,
Sheikh Abd Wahab Khallaf, Sheikh Mustafa Al-Maraghi, Sheikh Muhammad Abu Zahrah,
Ustaz Abd Rahman As-Sabuni dan Dr Muhammad Uqlah Al-Ibrahimi. Kebanyakan
undang-undang keluarga di negara arab berpegang kepada pendapat ini seperti
undang-undang keluarga Mesir, Syiria dan Jordan.
8.
Hujah yang dibawa
oleh golongan keempat ini amat panjang dan lengkap dengan perbahasan pro serta
kontranya yang mana terdapat di hlm 103-120 dan lebih afdal jika dibaca terus dari
sumber asal tanpa diringkaskan di dalam hujahan ini.
9.
Manakala, pandangan terpilih setelah meneliti segala
pandangan ulama dan dalil-dalil, penulis merumuskan bahawa, ’kita berpendapat
hadith Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh Thawus dan Abu As-Sahba’ yang terdapat
di dalam Shahih Muslim dan lain-lain, merupakan hadith yang dikira sebagai kata
putus yang menyelesaikan perselisihan yang berlaku di kalangan dua golongan di
atas, kerana ia menunjukkan terus kepada hukum yang terdapat di dalam persoalan
yang kita bincangkan di atas tanpa sebarang kesamaran lagi. Hukum tersebut
berlaku di zaman Nabi saw, Abu Bakar dan dua tahun pertama pemerintahan Umar.
Setelah khalifah Umar memilih hukum talaq tiga, jatuh tiga dan
menguatkuasakannya ke atas orang ramai, berdasarkan kepada hikmah tertentu yang
dilihatnya...’ m/s 121-122.
10. Berkaitan hadis Rukanah, dijelaskan seperti berikut:
”Rukanah telah menceraikan isterinya semua sekali (iaitu
dia berkata kepada isterinya aku ceraikan engkau semua sekali). Nabi berkata
kepadanya selepas dia bertanyakan cara untuk rujuk kepada isterinya: ”Demi
Allah, kamu hanya bermaksud talaq satu sahaja!”. Rukanah menjawab, ”Demi Allah,
aku hanya bermaksud talaq satu sahaja!. Maka nabi mengembalikan semula
isterinya kepadanya.” – Lihat Dr Mustafa
Al-Khin et.al, Fiqh Al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 4, Pustaka
Salam, (2002) m/s 695-696.
11.
Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi saw menyuruh Rukanah
bersumpah bagi menyatakan niat sebenarnya.
12.
Kerana itu, saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa Mahkamah perlu bertanyakan kepada suami tentang lafaz yang dibuat walaupun dalam lafaz soreh untuk menentukan jumlah
talaq. Saya juga cenderung untuk mengatakan bahawa Mahkamah perlu memutuskan kes berdasarkan fakta dan Mahkamah bebas untuk memilih mana-mana pendapat dan ijtihad antara keduanya bergantung kepada fakta dan maslahah pihak-pihak.
13. Saya juga menyatakan bahawa adalah tidak tepat jika dihujahkan bahawa Mahkamah terikat dengan pendapat Mazhab As-Syafie dan tauliah
Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan jumlah talaq yang
jatuh dan mengenepikan pendapat mazhab lain serta hukum syarak yang sewajarnya.
14.
Sewajarnya Mahkamah kelak menghukum berpandukan dalil yang kuat dan
bukan semata-mata melihat kepada amalan mazhab. Imam Shafie sendiri pernah
berkata bahawa ’apa-apa yang sabit pada Al-Quran dan Sunnah itu yang menjadi
mazhabnya’.
15.
Banyak kaedah yang telah dikanunkan oleh pemerintah tidak
menurut pendapat mazhab Shafie sendiri umpamanya berkaitan pembayaran zakat
fitrah yang mana menurut mazhab Shafie hendaklah dibayar menggunakan makanan
ruji negara berkenaan. Sedangkan sekarang ini zakat fitrah boleh dibayar dengan
wang tunai dan yang terkini boleh dibayar dengan hanya menggunakan SMS sahaja.
16. Pada masa yang sama, kita melihat pada masa sekarang,
pemerintah masih belum menggubal apa-apa undang-undang samada ingin memakai
pendapat jumhur ulama atau pendapat minoriti berkaitan hukum lafaz talaq tiga
dalam satu majlis samada jatuh tiga atau satu, maka Mahkamah sebagai badan
keadilan seharusnya melihat kepada setiap fakta kes dan melihat kepada pendapat
mana yang paling kuat serta paling mendatangkan manfaat kepada pihak-pihak.
17.
Apabila Mahkamah meletakkan dirinya terikat dengan pendapat
mazhab Shafie semata-mata maka Mahkamah telah menghadkan dirinya dalam melakukan
keadilan dan berlaku maslahah kepada keadaan yang wujud.
18.
Kaedah Usul Fiqh juga menetapkan bahawa:
”Kemudaratan itu harus dihilangkan”
”Tidak ada kemudaratan tidak pula yang memudaratkan”
19.
Dr Wahbah sendiri pun ada menyatakan hal ini,
”Namun apabila pemerintah mengambil dengan pendapat yang
lemah, maka pendapat itulah yang lebih kuat seandainya kerajaan mengeluarkan
undang-undang sebagaimana keadaannya di beberapa buah negara arab dengan
menjadikan talaq (tiga) ini hanya satu talaq sahaja. Maka tiada halangan
daripada berpegang dan memberi fatwa dengannya demi untuk memudahkan manusia,
dan bagi menjaga hubungan perkongsian hidup suami isteri dan untuk menjaga
kepentingan maslahat anak-anak, khususnya kita berada dalam zaman yang tidak
begitu mengambil berat dengan sikap warak dan berjaga-jaga. Manusia memandang
ringan untuk melafazkan tiga talaq sedangkan mereka pada kebiasaannya bertujuan
sebagai menakut-nakutkan dan sebagai pencegahan sahaja. Padahal mereka
mengetahui bahawa dalam fiqh Islam adalah jalan yang boleh ditembusi untuk
menjadi halal dan merujuk isteri kembali [m/s 535].
Wallahualam.
Comments
wlu dlm keadaan marah atau main-main...
ttpi utk maslahah nya, maka wajib puan rujuk kpd qadi daerah puan tgl.krn hakim qadi shja yg ade authority utk memutuskn khilaf
masi suami istri..setelah itu atas desakan keluarga yang mahu kami bercerai suami menceraikan saya talak 2..dan telah merujuk saya kembali dlm tempoh iddah..disini saya bertanya adaka kami masi suami isteri?