Skip to main content

Isu baiah talak 3: Adakah lafaz talak 3 jatuh 1 talak

Terdapat beberapa pandangan dalam isu samada lafaz talak 3 jatuh 1 talak sahaja. Saya salinkan semula hujahan yang pernah saya kemukakan di Mahkamah untuk manfaat semua.


1.      Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam kitab Fiqh dan Perundangan Islam Jilid VII, DBP, (2001) ms 526-528 telah dengan panjang lebar menghuraikan persoalan ini.

2.      Antara intipati tulisannya menyatakan:

a.      Pendapat jumhur dari imam mazhab yang empat dan al-Zahiriyah: jatuh ketiga-tiga talaq.
b.     Pendapat Shi’ah Imamiyah: menceraikan isteri dengan tiga talaq sekali gus tidak jatuh talaqnya.
c.  Pendapat Shi’ah Zaidiyah: setengah ulama Zahiriyah dan Ibn Ishak, Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim: jatuh satu talaq sahaja dan lafaz tidak memberi kesan. Undang-undang Mesir dan Syria telah mengambil pendapat ini.

Kemudiannya, Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyad mengubah daripada berpegang dengan pendapat ini dan memilih dengan majoriti pendapat yang mengatakan jatuh tiga talaq dengan lafaz tiga sekaligus.

3.      Pendapat yang mengatakan lafaz tiga talaq sekaligus tetapi jatuh satu talaq berpegang kepada dalil berikut:
a.      Al-Quran iaitu


”...sesudah itu bolehlah ia rujuk dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik ...” (Al-Baqarah 2: 229)




”Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain... (Al-Baqarah 2: 230)

Ertinya bahawa talaq yang diharuskan  ialah talaq yang berasingan selepas satu kerana firman Allah taala:


”..dua kali” (Al-Baqarah 2:229)

Allah taala tidak berfirman ”tallaqataani” yang bermaksud ”dua talaq”

b.     Hadith Ibn Abbas yang bermaksud, ’Adalah talaq pada masa Rasulullah saw , Abu Bakar dan dua tahun pada masa Umar, talaq tiga jatuh satu sahaja. Maka Umar berkata, ’Sesungguhnya manusia telah menyegerakan perkara yang seharusnya mereka lambatkan, maka kalau kita luluskan ke atas mereka selesailah ia’ lalu ia luluskan ke atas mereka. Ini jelas menunjukkan  baginya pada masa Abu Bakar dan dua tahun pada masa Umar dan sesungguhnya Umar meluluskannya adalah berdasarkan maslahah dan siyasah syar’iyyah.

c.      Hadis Ibn Abbas daripada Rukanah bahawa ia menceraikan isterinya tiga talaq dalam majlis, kemudian dia berdukacita yang amat sangat kerananya. Lalu Baginda saw bertanya beliau: Bagaimana kamu menceraikannya? Ia menjawab: Talaq tiga dalam satu majlis. Lalu Baginda saw bersabda kepadanya:


”Sesungguhnya yang demikian itu hanya satu talaq, rujuklah kepadanya.”

4.      Dalil yang mengatakan jatuh tiga talaq dengan satu lafaz sekaligus:
a.      Al-Quran iaitu ayat surah Al-Baqarah 2:229 seperti mana yang dinyatakan di atas. Ayat ini menunjukkan jatuh talaq tiga sedangkan ia adalah dilarang kerana firman Allah,

  
”Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali [Al-Baqarah 2:229]

Adalah menjadi hikmat talaq secara berasingan semoga dapat dirujuk kembali. Apabila suami menyalahi hikmat ini dan menceraikan isterinya dengan dua talaq sekali gus. Tidak ada bezanya antara menjatuhkan dua talaq pada masa sekali suci, atau pada masa beberapa kali suci.

b.       Sunnah: antaranya hadith Sahal bin Sa’ad yang diriwayatkan oleh Bukhari mengenai kisah Li’an Uwayir al-’Ajalani katanya ”Saya membohongi ke atasnya ya Rasullullah, jika saya kekalkannya sebagai isteri. Lalu beliau menceraikannya dengan talaq tiga sebelum Rasulullah saw menyuruhnya, dan tidak ada riwayat bahawa Baginda mengingkari perbuatan itu.

c.      Ijmak: bahawa semua ulama salaf telah ijmak jatuh talaq tiga dengan satu talaq tiga kali. Antara yang berkata begitu adalah Abu Bakr al-Razi, al-Baji, Ibn Arabi dan Ibn Rajab.

d.     Pendapat sahabat: ramai sahabat yang berpandangan sedemikian.

e.      Al-Qiyas: Ibn Qudamah menyatakan ’sesungguhnya pernikahan adalah suatu pemilikan yang sah dihilangkan secara berasingan.’ Oleh itu, ia juga sama dihilangkan secara berkumpulan sebagaimana semua pemilikan yang lain.

5.      Dr Wahbah selanjutnya mentarjihkan pendapat beliau dengan mengatakan, ’Penulis lebih cenderung dengan pendapat jumhur iaitu jatuh tiga talaq apabila suami menceraikan isterinya dengan tiga talaq sekaligus. Namun apabila pemerintah mengambil dengan pendapat yang lemah, maka pendapat itulah yang lebih kuat seandainya kerajaan mengeluarkan undang-undang sebagaimana keadaannya di beberapa buah negara arab dengan menjadikan talaq (tiga) ini hanya satu talaq sahaja. Maka tiada halangan daripada berpegang dan memberi fatwa dengannya demi untuk memudahkan manusia, dan bagi menjaga hubungan perkongsian hidup suami isteri dan untuk menjaga kepentingan maslahat anak-anak, khususnya kita berada dalam zaman yang tidak begitu mengambil berat dengan sikap warak dan berjaga-jaga [m/s 535].

6.     Selanjutnya hukum talaq tiga dengan satu lafaz ini telah dibincangkan dalam bab khusus oleh Dr Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari dalam kitab Fiqh Perbandingan Isu-Isu Fiqh Terpilih, Al-Hidayah Publication (2011) m/s 87-124.

7.      Penulis menyatakan bahawa ada 4 pandangan ulama berkaitan hal ini iaitu,

a.      Jatuh talaq tiga sebagaimana pendapat jumhur ulama empat.
b.  Jatuh talaq tiga jika telah disetubuhi dan jatuh satu ba’in sekiranya belum disetubuhi.
c.      Tidak jatuh apa-apa talaq.
d.     Jatuh talaq satu bagi orang yang melafazkan talaq tiga sekaligus. Pendapat ini dipegang oleh Muhammad bin Ishaq, Al-Hajjaj bin Ara’ah, Ibnu Zanba’, Ahmad bin Baqi bin Mukhallad, Muhammad bin Abd As-Salam Al-Khusyani, Ahmad bin Mughith, Asbagh bin Al-Habbab, Ibn Maryam, Muhammad bin Waddah dari mazhab Maliki. Inilah juga pendapat terpilih dari Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim, Imam al-Razi. Juga dipegang oleh Abu Musa, Ali bin Abi Talib, Ibn Abbas, Az-Zubair bin Al-Awwam, Abd Rahman bin Auf, Atha’, Thawus, Jabir bin Zaid, Khalas bin ’Amru, Al-Harits Al-Akli. Juga dipegang  oleh sesetengah ulama mazhab Syiah dan Az-Zahiri sebagaimana juga merupakan pendapat Asy-Syaukani dan Siddiq Hasan Khan.

Antara ulama moden yang berpegang kepada pendapat ini adalah Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Ahmad Syakir, Sheikh Muhammad Ali As-Sais, Sheikh Abd Wahab Khallaf, Sheikh Mustafa Al-Maraghi, Sheikh Muhammad Abu Zahrah, Ustaz Abd Rahman As-Sabuni dan Dr Muhammad Uqlah Al-Ibrahimi. Kebanyakan undang-undang keluarga di negara arab berpegang kepada pendapat ini seperti undang-undang keluarga Mesir, Syiria dan Jordan.

8.       Hujah yang dibawa oleh golongan keempat ini amat panjang dan lengkap dengan perbahasan pro serta kontranya yang mana terdapat di hlm 103-120 dan lebih afdal jika dibaca terus dari sumber asal tanpa diringkaskan di dalam hujahan ini.

9.      Manakala, pandangan terpilih setelah meneliti segala pandangan ulama dan dalil-dalil, penulis merumuskan bahawa, ’kita berpendapat hadith Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh Thawus dan Abu As-Sahba’ yang terdapat di dalam Shahih Muslim dan lain-lain, merupakan hadith yang dikira sebagai kata putus yang menyelesaikan perselisihan yang berlaku di kalangan dua golongan di atas, kerana ia menunjukkan terus kepada hukum yang terdapat di dalam persoalan yang kita bincangkan di atas tanpa sebarang kesamaran lagi. Hukum tersebut berlaku di zaman Nabi saw, Abu Bakar dan dua tahun pertama pemerintahan Umar. Setelah khalifah Umar memilih hukum talaq tiga, jatuh tiga dan menguatkuasakannya ke atas orang ramai, berdasarkan kepada hikmah tertentu yang dilihatnya...’ m/s 121-122.


10. Berkaitan hadis Rukanah, dijelaskan seperti berikut: 

”Rukanah telah menceraikan isterinya semua sekali (iaitu dia berkata kepada isterinya aku ceraikan engkau semua sekali). Nabi berkata kepadanya selepas dia bertanyakan cara untuk rujuk kepada isterinya: ”Demi Allah, kamu hanya bermaksud talaq satu sahaja!”. Rukanah menjawab, ”Demi Allah, aku hanya bermaksud talaq satu sahaja!. Maka nabi mengembalikan semula isterinya kepadanya.” – Lihat Dr Mustafa Al-Khin et.al, Fiqh Al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 4, Pustaka Salam, (2002) m/s 695-696.

11. Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi saw menyuruh Rukanah bersumpah bagi menyatakan niat sebenarnya.

12. Kerana itu, saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa Mahkamah perlu bertanyakan kepada suami tentang lafaz yang dibuat walaupun dalam lafaz soreh untuk menentukan jumlah talaq. Saya juga cenderung untuk mengatakan bahawa Mahkamah perlu memutuskan kes berdasarkan fakta dan Mahkamah bebas untuk memilih mana-mana pendapat dan ijtihad antara keduanya bergantung kepada fakta dan maslahah pihak-pihak.

13. Saya  juga menyatakan bahawa adalah tidak tepat jika dihujahkan bahawa Mahkamah terikat dengan pendapat Mazhab As-Syafie dan tauliah Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan jumlah talaq yang jatuh dan mengenepikan pendapat mazhab lain serta hukum syarak yang sewajarnya.

14. Sewajarnya Mahkamah kelak menghukum berpandukan dalil yang kuat dan bukan semata-mata melihat kepada amalan mazhab. Imam Shafie sendiri pernah berkata bahawa ’apa-apa yang sabit pada Al-Quran dan Sunnah itu yang menjadi mazhabnya’.

15. Banyak kaedah yang telah dikanunkan oleh pemerintah tidak menurut pendapat mazhab Shafie sendiri umpamanya berkaitan pembayaran zakat fitrah yang mana menurut mazhab Shafie hendaklah dibayar menggunakan makanan ruji negara berkenaan. Sedangkan sekarang ini zakat fitrah boleh dibayar dengan wang tunai dan yang terkini boleh dibayar dengan hanya menggunakan SMS sahaja.

16. Pada masa yang sama, kita melihat pada masa sekarang, pemerintah masih belum menggubal apa-apa undang-undang samada ingin memakai pendapat jumhur ulama atau pendapat minoriti berkaitan hukum lafaz talaq tiga dalam satu majlis samada jatuh tiga atau satu, maka Mahkamah sebagai badan keadilan seharusnya melihat kepada setiap fakta kes dan melihat kepada pendapat mana yang paling kuat serta paling mendatangkan manfaat kepada pihak-pihak.

17. Apabila Mahkamah meletakkan dirinya terikat dengan pendapat mazhab Shafie semata-mata maka Mahkamah telah menghadkan dirinya dalam melakukan keadilan dan berlaku maslahah kepada keadaan yang wujud.

18. Kaedah Usul Fiqh juga menetapkan bahawa:

  
”Kemudaratan itu harus dihilangkan”

  
”Tidak ada kemudaratan tidak pula yang memudaratkan”


19. Dr Wahbah sendiri pun ada menyatakan hal ini,


”Namun apabila pemerintah mengambil dengan pendapat yang lemah, maka pendapat itulah yang lebih kuat seandainya kerajaan mengeluarkan undang-undang sebagaimana keadaannya di beberapa buah negara arab dengan menjadikan talaq (tiga) ini hanya satu talaq sahaja. Maka tiada halangan daripada berpegang dan memberi fatwa dengannya demi untuk memudahkan manusia, dan bagi menjaga hubungan perkongsian hidup suami isteri dan untuk menjaga kepentingan maslahat anak-anak, khususnya kita berada dalam zaman yang tidak begitu mengambil berat dengan sikap warak dan berjaga-jaga. Manusia memandang ringan untuk melafazkan tiga talaq sedangkan mereka pada kebiasaannya bertujuan sebagai menakut-nakutkan dan sebagai pencegahan sahaja. Padahal mereka mengetahui bahawa dalam fiqh Islam adalah jalan yang boleh ditembusi untuk menjadi halal dan merujuk isteri kembali [m/s 535].

Wallahualam.

Comments

Unknown said…
salam maaf saya nak bertanya saya diceraikan talak 3 5/9/2018 jam 9.30 malam suami lafaz dalam keadaan marah dan tertekan dan tak sedarkan diri mase lafaz tu dalam hati dia tak terniat pun..agak2 kami boleh rujuk balik ?
Unknown said…
talaq jatuh 3 jga jika jelas dia melafazkan dgn sore/jelas 3 takaq
wlu dlm keadaan marah atau main-main...
ttpi utk maslahah nya, maka wajib puan rujuk kpd qadi daerah puan tgl.krn hakim qadi shja yg ade authority utk memutuskn khilaf
salmah said…
assalammualaikum..
salmah said…
suami telah melafaz cerai talak 3 dan kami telah kemahkamah tetapi ketika dimahkamah setelah d dengar masalah pergaduhan kami mahkamah menutuskan kami
masi suami istri..setelah itu atas desakan keluarga yang mahu kami bercerai suami menceraikan saya talak 2..dan telah merujuk saya kembali dlm tempoh iddah..disini saya bertanya adaka kami masi suami isteri?

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor