Skip to main content

Memilih Peguam Anda

Saya tahu ramai orang di Malaysia ini tidak pernah berjumpa peguam sepanjang hayat mereka. Semenjak lahir sehingga mati tidak pernah sekali pun mereka berjumpa peguam. Buat apa berjumpa peguam kalau tidak ada sebarang urusan. Sebab itu hidup sebagai peguam lebih sukar berbanding dengan doktor. Saya pasti setiap orang pernah berjumpa doktor sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Ada orang yang setiap bulan berjumpa doktor. Ada orang kalau ditimpa flu ringan pun akan bergegas berjumpa doktor bagi mengambil ubat seperti panadol atau claritine.

Orang tidak akan berjumpa peguam kalau tidak ada masalah. Tetapi jika orang itu bertemu masalah yang berhajatkan peguam pasti dia tidak boleh tidur malam selagi tidak berjumpa peguam. Suatu ketika dahulu, ada seorang isteri yang menghubungi saya setiap hari untuk mengadu hal suaminya yang ditahan di bawah SOSMA. Saya faham keadaanya yang buntu kerana tidak faham kenapa suaminya ditahan di bawah SOSMA sedangkan padanya kesalahan yang dilaporkan itu langsung tidak berkait dengan keselamatan negara.

Ada seorang bapa yang menghubungi saya setiap hari. Beliau mengadu hal mengenai anak-anaknya yang disembunyikan isterinya. Jenuh beliau mencari anak-anaknya dan akhirnya bila ketemu, dihalangnya pula untuk berjumpa anak-anak. Seingat saya berbelas kes yang saya failkan bagi pihaknya untuk beliau mendapat hak lawatan ke atas anak-anak ini. Setelah 3 tahun berjuang di Mahkamah, beliau masih tidak mendapat haknya. Beliau pasrah akan hal ini dan berserah kepada qada' dan qadar Allah S.W.T.

Ada klien yang lain yang sudah ada peguam tetapi tidak berpuashati dengan peguamnya sering menghubungi saya. Macam-macam beliau bertanyakan kepada saya darihal kes perceraiannya sehinggalah hal hak jagaan anak. Beliau bertanyakan kerana ingin mendapat maklumat lanjut kerana perkara yang sama sukar diperolehi daripada peguamnya.

Jadi, bagaimanakah seharusnya seseorang itu memilih seorang peguam. Bagi saya, waktu yang terbaik untuk mendapatkan peguam adalah waktu mula-mula masalah berlaku. Peguam boleh memberikan panduan bagaimanakah untuk menangani sesuatu masalah secara undang-undang. Lebih awal berjumpa peguam lebih baik daripada berjumpa peguam setelah masalah sudah membelit.

Berjumpa peguam pada peringkat awal masalah itu akan membantu seseorang itu untuk membina kesnya. Ada seorang klien saya yang berbangsa Tionghua mengadu mengenai masalah bayaran yang tidak diterima daripada pelanggannya meskipun beliau telah menyelesaikan kontraknya dengan sempurna. Saya telah memberikan panduan terperinci bagaimana untuk membina kesnya supaya kelak mudah beliau menang kes di Mahkamah. Klien sebegini mempunyai kesedaran undang-undang dan tahu menjaga haknya. Saya memberitahunya bagaimana beliau harus mendapatkan bukti pengakuan hutang daripada pelanggannya. Pelanggannya akhirnya menyerahkan cek lewat tempoh dan surat pengakuan hutang. Ini akan menjimatkan masa jika beliau membawa kes ke Mahkamah kerana beliau boleh membuat permohonan penghakiman terus tanpa perlu memanggil saksi-saksi ke Mahkamah. Berjumpa peguam di peringkat awal dapat menjimatkan kos.

Ada pula seorang yang lain yang hanya berjumpa saya setelah beliau melantik beberapa peguam. Pada peringkat itu, beliau sudah kalah di Mahkamah Tinggi. Setelah saya meneliti kesnya, saya dapati peguam terdahulu sudah melakukan kesilapan strategi. Pada saya kes itu lebih sesuai dimulakan dengan saman dan pernyataan tuntutan tetapi peguam terdahulu telah menfailkan saman pemula dan afidavit. Mujurlah, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahan saya bahawa kes itu berlaku kesilapan prosedur dan akhirnya kes itu diremitkan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Kes ini berakhir dengan kegembiraan di pihak klien saya apabila beliau memenangi kes ini selepas perbicaraan penuh. Tetapi, beliau terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi kerana kerumitan kes yang dilalui. Apa pun beliau kini dapat tidur lena kerana masalahnya telah selesai.

Justeru, saya menyarankan supaya peguam dipilih di peringkat awal lagi. Usah kedekut untuk mengeluarkan sedikit bayaran untuk mendapatkan nasihat yang benar daripada peguam bertauliah. Di luar sana ramai peguam yang tidak bertauliah yang menjalankan perkhidmatan 'loyar buruk'. Pilihlah peguam yang mahir dalam bidang dan masalah yang dihadapi. Ramai peguam yang tidak beretika yang mengambil kes daripada peguam tetapi akhirnya telah 'menswastakan' perkhidmatannya kepada peguam lain. Saya sendiri sangat hati-hati dalam menerima sesuatu kes. Saya tidak akan mengambil kes yang saya tidak tahu seperti dalam bidang harta intelek dan paten.

Minggu lepas ada seorang klien berjumpa saya berkaitan masalah pusaka yang dihadapinya. Beliau telah berjumpa seorang peguam dan telah dikenakan fi atau yuran guaman yang mencecah nilai lima angka semata-mata bagi mendapatkan sijil faraid. Apa yang berlaku, bukan peguam itu yang hadir ke Mahkamah Syariah tetapi telah diswastakan kepada peguam syarie yang lain. Setelah itu, diminta pula untuk mengeluarkan wang yang lain bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir. Bagi saya, klien ini telah ditipu oleh peguam yang tidak beretika. Amalan sebegini akhirnya akan memburukkan nama kita di khalayak ramai. Apatah lagi, peguam di Malaysia ini hanya mempunyai komuniti yang kecil. Jagalah profesion ini dengan sebaik-baiknya.


Comments

Unknown said…
Boleh sy minta pendapat encik mengenai seorg peguam Yg sy ambil utk selesaikan kes sy ..pd mula nya dia seperti boleh membantu utk selesaikan kes sy..tiba2 bila hadir di makhamah ,dia suruh sy dan kwn mengaku salah di hadapan hakim ..and then sy di kena kn bayaran 500 seorg kepada peguam tersebut ..dan kes sy x selesai malah di kena kn denda dan kena sain di balai selama 2 tahun ..sy cuma nk tahu apa fungsi dan bantuan dri peguam Yg ambil ni

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor