Beberapa hari lepas Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, operator
francais McDonald telah membuat laporan polis bagi menangkis seruan untuk
memboikot restoran McDonald melalui media sosial. Mereka juga telah membuat
laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan syarikat tersebut tuduhan
bahawa McDonalds Malaysia menyokong Israel adalah palsu dan fitnah. Katanya
juga bahawa sumbangan McDonald di Amerika Syarikat melalui Jewish United Fund
(JUF) adalah dibuat melalui suatu program “Matching Gift” yang dibuat pada
tahun 2014 yang membenarkan syarikat untuk memadankan (matching) niat sumbangan
pekerja-pekerjanya itu dengan penerima sumbangan. Sebanyak 2000 derma telah
dibuat di bawah program itu dan hanya 3 derma daripada pekerjanya yang padan
dengan JUF. Ada juga derma lain yang padan dengan badan-badan kebajikan Muslim.
Laman web McDonald
United Kingdom juga menafikan ada membuat apa-apa sumbangan kepada
JUF atau apa-apa badan politik atau apa-apa yang berkaitan konflik politik atau
keagamaan.
Antara yang menyeru supaya diboikot McDonalds ini adalah laman web
www.inminds.co.uk,
Viva
Palestina Malaysia, laman fb Aqsa
Syarif, mycare.org
dan lain-lain. Sejauh manakah benar dakwaan mereka itu? Tuan Puan boleh membuat
penyelidikan sendiri berkaitan hal ini.
Dari sudut undang-undang, setakat kajian yang banyak dimasukkan
dalam internet ini masih belum menampakkan bukti yang cukup bahawa McDonalds
Malaysia menyokong Israel. Dalam kata lain, jika McDonalds Malaysia menfailkan
tindakan fitnah ke atas NGO ini maka setakat bukti yang telah dibentangkan itu
belum memadai untuk memberikan mereka pembelaan justifikasi atau komen
berpatutan.
Dalam satu-satu kes yang melibatkan kausa tindakan fitnah
(defamation), plaintif perlu membuktikan tiga elemen utama iaitu bahawa
kata-kata fitnah itu merujuk kepada plaintif, kata-kata fitnah itu bukan sahaja
tidak benar malah ianya telah menyebabkan orang kebanyakan akan memandang
rendah kepada plaintif dan akhir sekali bahawa kata-kata fitnah itu telah
disebarkan kepada pihak ketiga.
Setelah plaintif membuktikan ketiga-tiga elemen ini maka defendan
perlu mengemukakan pembelaan mereka. Antara pembelaan yang lazim dipakai adalah
pembelaan justifikasi, komen berpatutan atau lain-lain. Justifikasi ini
bermakna bahawa defendan boleh membuktikan bahawa kata-kata fitnah itu bukannya
fitnah tetapi ianya adalah suatu perkara yang sebenar.
Selain tindakan fitnah, McDonald juga boleh menggunakan kausa
tindakan lain dalam undang-undang tort berkaitan ekonomi. Dalam tort berkaitan
ekonomi ada tiga jenis tort yang biasa digunakan iaitu konspirasi (conspiracy
to injure or conspiracy using unlawful means), campurtangan tidak sah dalam
perniagaan (unlawful interference with trade), pendustaan yang berniat jahat
(malicious falsehood.)
Konspirasi ini berlaku apabila dua atau lebih orang melalui
perbuatan mereka telah berbuat sesuatu untuk mendatangkan kemudaratan ke atas
kepentingan orang lain.
Manakala, campurtangan tidak sah dalam perniagaan adalah keadaan
yang mana satu pihak contohnya, (A) telah melakukan tort ke atas pihak yang
lain (B) jika (A) telah berbuat sesuatu perbuatan yang tidak sah di sisi
undang-undang yang menjejaskan (c) dengan niat untuk menjejaskan kepentingan
(B) dan berikutan itu kepentingan (B) telah terjejas teruk.
Contohnya dalam kes Lumley & Gye (1853) 2 El
& Bl [119 ER749), wujud suatu kontrak antara plaintif, sebuah syarikat
opera dan Miss Wagner, seorang bintang opera terkenal. Miss Wagner telah diupah
untuk membuat persembahan di Queen's Theatre, London. Walau bagaimanapun, sebuah
syarikat opera lain telah memujuk Miss Wagner untuk menyanyi dengan operanya
dan Miss Wagner telah membatalkan kontrak asal dengan plaintif sehingga
plaintif mengalami kerugian teruk.
Manakala, pendustaan yang berniat jahat pula berlaku apabila seseorang
itu secara berniat jahat (malice) telah membuat suatu kenyataan palsu dengan
niat untuk memusnahkan reputasi atau nama baik seseorang atau sesuatu syarikat
dan sekaligus menyebabkan kerugian daripada segi ekonomi. Niat jahat itu boleh
dibuktikan jika plaintif dapat menunjukkan bahawa orang itu tahu bahawa
kenyataannya itu tidak benar atau cuai dalam kenyataannya sedangkan beliau
mempunyai kemampuan untuk mengesahkan kenyataannya itu.
Dalam kes McDonalds ini nampaknya kes pendustaan yang berniat jahat
itu nampaknya lebih relevan berbanding tort yang lain.
Oleh itu, jika McDonalds Malaysia mendapati mana-mana kausa
tindakan ini sesuai maka McDonalds Malaysia boleh menyaman pihak atau NGO yang
berkaitan itu bagi mendapatkan keadilan bagi pihaknya.
Selain itu, harus diingat bahawa melalui laporan polis yang dibuat
oleh McDonalds Malaysia itu bahawa suatu tindakan penyiasatan jenayah boleh
dibuat ke atas NGO yang berkenaan. Sekiranya ada bukti yang mencukupi NGO yang
dilaporkan itu terdedah kepada pendakwaan jenayah. Lazimnya, pihak pendakwa
raya akan mendakwa orang yang membuat sebaran palsu tersebut atau pegawai NGO
terbabit.
Pendakwaan boleh dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman didenda tidak
melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun
atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000.00 bagi
setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kesimpulannya, maklumat mengenai boikot McDonald atas alasan
McDonalds menyokong Israel itu masih berstatus samar-samar dan belum mempunyai
bukti yang konkrit yang boleh dipertahankan di Mahkamah. Jika saudara/i ingin
memboikotnya itu secara peribadi itu adalah pilihan masing-masing. Tetapi jika
saudara/i ingin menyebarkan maklumat berkaitan boikot McDonalds itu di
mana-mana media sosial maka saudara/i mungkin menghadapi risiko untuk didakwa
secara jenayah atau sivil.
Oleh itu, dinasihatkan orang ramai berhati-hati apabila
menyebarkan mesej berkaitan boikot ini. Jika saudara/i tidak mempunyai alasan
yang kukuh untuk menyebarkan maklumat tersebut maka lebih baik saudara/i hanya
berdiam diri sahaja. Usah pergunakan sentimen agama untuk menjustifikasikan
tindakan boikot itu kerana alasan sedemikian tidak mampu dipertahankan di
mahkamah. Setakat ini pun, belum ada mana-mana mufti yang mengeluarkan
kenyataan menyeru untuk memboikot McDonalds. Maka dalam hal ini, berdiam diri
itu lebih mulia dan lebih dekat dengan taqwa jika saudara/i sendiri tidak mampu
mempertahankan maklumat boikot McDonalds itu.
Comments