Skip to main content

Memberi Hutang

Beberapa minggu lepas ada klien yang datang berjumpa berkaitan cadangannya untuk memberi hutang kepada seorang kenalannya. Beliau agak gusar untuk memberikan wang itu sebab jumlahnya yang besar dan takut ditipu. Berikut adalah intisari perbualan antara klien dan peguam. Klien: “Ada kawan saya nak pinjam duit. Katanya untuk modal berniaga sebab dia tak sempat nak rolling modal. Saya tengok dia ada banyak projek yang dia dapat daripada kerajaan. Tapi saya takut nak bagi sebab dia minta pinjam lebih RM100 ribu. Bagaimana saya nak buat dalam hal ini tuan?” Peguam: “Adakah kawan kamu ada beritahu bilakah dia ingin membayarnya semula?” Klien: “Dia kata nak bayar dalam tempoh sebulan. Dia pun ada janji nak bagi imbuhan sikit hasil keuntungan projek dia itu. Dia kata ada satu projek yang hampir siap dan sedang tunggu gomen bayar. Jadi saya cadang nak buat perjanjian supaya kalau dia mungkir bayar saya adalah hitam putihnya.” Peguam: “Kalau dia tak bayar bagaimana? Kadang-kala kalau ada perjanjian pun ada orang yang tidak bayar.” Klien: “Saya tak fikir pula dia tak akan bayar sebab saya tengok projek dia banyak. Atau, tuan ada apa-apa cadangankah untuk protect saya?” Peguam: “Saya fikir elok kalau kawan kamu itu betul-betul yakin dia boleh bayar maka dia patut cagarkan sesuatu. Jika dia tak dapat bayar pun kita ada benda yang boleh pegang. Jika dia tiada cagaran, biar dia cari penjamin yang dapat bayar balik hutang dia.” Klien: “Okeylah kalau begitu. Nanti saya tanyakan kawan saya balik”. Begitulah lebih kurang dialog yang berlaku dengan klien tersebut. Jika kita ingin meminjamkan wang kepada sesiapa maka kita juga harus berfikir seperti sebuah bank. Sesebuah bank tidak akan memberikan pinjaman kepada pelanggan yang bermasalah. Jika pelanggan tersebut gagal untuk membayar pinjaman itu maka ianya akan menjadi beban kepada bank untuk menanggung hutang lapuk sehingga menyebabkan kadar ‘non-performing loan’ menjadi tinggi. Bank akan meminta daripada pelanggan itu untuk menyediakan cagaran yang memadai sama ada cagaran itu berbentuk hartanah, wang deposit tidak boleh cair atau jaminan pihak ketiga. Maka dalam hal pelanggan itu gagal untuk membayar wang pinjaman bank akan dapat mencairkan cagaran itu bagi menjelaskan hutang bank. Jika ada bank yang memberikan pinjaman tanpa gadaian biasanya adalah untuk jumlah yang sedikit. Misalnya bagi graduan yang baharu mula bekerja, bank akan menawarkan kepada mereka pinjaman dalam bentuk kad kredit. Lazimnya, kad kredit ini hanya mempunyai had kredit yang rendah. Waktu mula-mula bekerja awal tahun 2000, bank telah memberikan had kredit berjumlah RM4000 sahaja. Pada masa itu kemudahan kad kredit ini sangat senang diluluskan. Pelanggan hanya perlu menunjukkan slip gaji dan pendapatan sahaja. Jarang orang yang menggunakan had kredit ini sepenuhnya dalam satu bulan. Maka bank akan dapat mengawal hutang lapuk yang berlaku dengan had siling RM4000. Biasanya jika berlaku kegagalan untuk membayar bayaran minimum bulanan kad kredit maka bank akan terus membekukan kad kredit itu sehingga jumlah tertunggak itu dibayar. Berbalik kepada individu yang ingin meminjamkan wang kepada rakannya juga hendaklah berfikir seperti bank tersebut berfikir. Mana ada bank yang meluluskan pinjaman dalam tempoh 24 jam. Bank akan membuat kajian latar belakang pelanggan terlebih dahulu setelah pelanggan itu mengisi borang dan menyerahkan dokumen sokongan. Masalah kita sekarang ini adalah kita terlalu mudah untuk memberikan pinjaman wang kepada rakan dan kita amat payah untuk menuntut hutang itu kembali. Kadang-kadang rakan kita itu hanya sekadar menghantar mesej whatsapp sahaja pun kita terus respon bahawa kita bersetuju. Kita tidak langsung membuat kaji selidik setakat mana kemampuan beliau untuk membayar hutang itu. Bukan setakat itu, kita juga langsung tiada apa-apa butiran yang mencukupi selain nama ringkas yang kita panggil rakan kita dan nombor telefon bimbit. Jumlahnya pinjaman pula mencecah belasan malah ratusan ribu ringgit. Habis duit kita dipinjamkan kepada rakan itu dan apabila sampai masa untuk membayar rakan kita itu langsung tidak membalas lagi whatsapp kita kepadanya. Maka bagi seorang yang pemurah hati dan banyak wang untuk dipinjamkan itu perlu lebih berhati-hati apabila bersetuju untuk memberikan pinjaman. Jika rakan kita itu mengatakan dia ingin meminjam untuk modal perniagaan maka selidikilah setakat mana potensi perniagaannya. Pergilah ke premis perniagaan beliau dan lihat sendiri salinan penyata bank mereka. Dapatkan segala dokumen sokongan seperti penyata bank, salinan kad pengenalan, salinan ‘letter of award’ dan lain-lain dokumen yang boleh membantu kita untuk mendapatkan semula wang yang dipinjamkan itu Jika rakan tersebut memperli kita dengan mengatakan bahawa kita terlalu berkira maka bolehlah kita menjawab semula dengan memberitahunya kembali untuk sama ada dia mengikut syarat kita atau dia boleh mendapatkan pinjaman daripada pihak lain. Ingatlah sekali wang yang kita usahakan itu terlepas maka sukar untuk kita dapatkannya kembali. Oleh itu berhati-hatilah apabila memberikan pinjaman kepada pihak ketiga.

Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...