Skip to main content

Kepentingan Advokasi Lisan Di Mahkamah Syariah - Bagaimanakah Ingin Berjaya Dalam Profesion Guaman - Siri 14

Dalam suatu perbicaraan di Mahkamah Syariah sama ada di Mahkamah Rendah atau Mahkamah Tinggi jarang sekali ada kesempatan untuk membuat advokasi lisan atau hujahan lisan kepada hakim bicara. Biasanya advokasi lisan ini hanya dibuat di Mahkamah Rayuan Syariah.


Dalam suatu perbicaraan sesuatu tuntutan di Mahkamah Syariah lazimnya akan dimulakan dengan saman atau permohonan. Bagi penfailan saman, ianya melibatkan tuntutan yang am seperti tuntutan fasakh, taklik, harta sepencarian, pengesahan hibah, tuntutan harta amanah, tuntutan nafkah dan lain-lain. Manakala, permohonan pula difailkan bersama afidavit dalam kes-kes tertentu yang telah ditetapkan di dalam Jadual Kedua, Akta Tatacara Mal seperti permohonan anggapan kematian, perlantikan wali am, injunksi dan lain-lain. Bagi Kes saman, suatu pernyataan tuntutan perlu difailkan. Defendan pula akan menfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas dan diikuti dengan jawapan kepada pembelaan dan pembelaan ke atas tuntutan balas oleh pihak plaintif.


Setelah kesemua suratcara itu difailkan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan. Perbicaraan akan dimulakan dengan keterangan plaintif dan saksi-saksi plaintif. Setelah itu, defendan dan saksi-saksinya pula akan memberikan keterangan. Kemudian, Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk menfailkan hujahan masing-masing secara bertulis. Jarang sekali Mahkamah mengarahkan pihak-pihak untuk membuat hujahan secara lisan setelah hujahan bertulis difailkan.


Namun, kadang-kala Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk berhujah secara lisan jika terdapat isu atau fakta yang rumit untuk difahami oleh Hakim. Sesetengah peguam berhujah berasa sukar untuk berhujah secara lisan kerana hujahan lisan jarang sekali dibuat menyebabkan para peguam syarie kurang berkemahiran dalam skil advokasi lisan ini.


Advokasi lisan ini perlukan kemahiran khusus kerana ruang masa yang terhad diberikan kepada pihak-pihak. Para hakim lazimnya hanya memperuntukkan masa yang pendek antara 10-15 minit sahaja bagi pihak-pihak mengemukakan hujahan masing-masing sedangkan kemungkinan hujahan bertulis itu mungkin setebal 30-40 mukasurat. Oleh itu, adalah tidak praktikal untuk membaca keseluruhan hujahan yang difailkan tersebut.


Semasa advokasi lisan ini, peguam perlu mempunyai skil untuk menarik perhatian hakim dalam tempoh yang singkat itu. Hakim mudah menjadi bosan dengan hujahan peguam yang mengulangi apa yang ditulis atau hujahan yang meleret-leret. Oleh itu, peguam mesti membawa kelainan dalam berhujah supaya mesej yang tepat dapat disampaikan kepada hakim.


Saya masih ingat sewaktu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Persekutuan bersama-sama dengan Dato’ Hj Sulaiman Abdullah dalam kes berkaitan pemecatan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Beliau adalah antara peguam senior yang dihormati di kalangan pengamal undang-undang. Dalam kes itu, hakim yang mendengar kes berkenaan enggan memberikan peluang untuk beliau berhujah secara lisan memandangkan pihak-pihak telah menfailkan hujahan bertulis. Namun, atas kepetahan dan skil advokasinya, beliau berjaya meyakinkan hakim untuk memberikan peluang untuk berhujah. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga saya. Beliau menyatakan, “Yang Arif, saya diupah oleh klien saya untuk bercakap. Kemahiran saya adalah bercakap. Saya tidak mahir dalam menulis. Maka saya dengan rendah diri memohon untuk diberikan peluang untuk berhujah dengan lisan meskipun hujahan bertulis telah difailkan untuk tidak menghampakan hasrat klien saya.” Dengan kata-kata itu, hakim akhirnya telah membenarkan beliau berhujah selama 15 minit. Ajaibnya, hujahan beliau itu berakhir hampir 40 minit. Ini menunjukkan kepandaian beliau dalam menyampaikan mesej sehingga menarik perhatian hakim meskipun masa yang diperuntukkan pada awalnya hanya 15 minit. Walaupun, kalah dalam kes itu tetapi kesempatan untuk berhujah memberikan kepuasan yang ketara kepada peguam dan klien.


Dalam satu kes rayuan yang saya kendalikan di Mahkamah Tinggi Syariah, saya memaklumkan kepada hakim bahawa kesemua suratcara telah difailkan dan saya memohon untuk Mahkamah menetapkan tarikh keputusan. Namun, tiba-tiba secara spontan hakim bertanyakan alasan rayuan kes itu. Ini mengejutkan saya dan bayangkan jika saya tidak bersedia tentu sukar untuk saya berhujah secara spontan. Kegagalan untuk berhujah lisan Ini juga akan mendatangkan kesipuan bukan sedikit kepada peguam memandangkan ramai mata yang memandang di galeri awam. Ini juga akan membuatkan klien kita berdukacita kerana kita gagal untuk memberikan harapan kemenangan kepada klien kita apabila kita awal-awal lagi kalah berhujah dengan hakim. Alhamdulillah! Dengan sedikit pengalaman yang ada saya mampu untuk meringkaskan hujahan yang difailkan itu dan menjawab semua soalan yang diajukan oleh hakim tersebut sehingga hakim tersebut berpuashati. Bagi peguam yang biasa mengendalikan kes di hadapan hakim itu pasti akan tahu betapa sukarnya untuk kendalikan kes di hadapan hakim itu kerana hakim itu terkenal dengan karenahnya yang tersendiri. Malah, setelah keluar dari dewan bicara, klien bertanyakan saya kenapakah hakim begitu garang sekali. Saya menyatakan bahawa setiap hakim pasti mahukan yang terbaik dan tentu beliau tidak mahu membuang masa dengan kes yang remeh-temeh. Sebab itulah beliau kelihatan begitu tegas.


Dalam satu kes yang lain, saya pernah hadir untuk satu keputusan kes namun tiba-tiba hakim pula meminta supaya saya mengemukakan hujahan lisan. Ini kerana fakta yang ada dalam kes itu agak rumit. Kes tersebut adalah berkaitan dengan permohonan klien saya untuk membatalkan  beberapa perenggan di dalam pernyataan tuntutan berkaitan harta sepencarian disebabkan fakta yang dikemukakan itu di luar skop harta sepencarian dan milik pihak ketiga. Hakim menyatakan bahawa terdapat isu baharu yang jarang-jarang dikemukakan kepada Mahkamah dan dengan hujahan lisan ia mampu merungkaikan kerumitan fakta dalam afidavit yang difailkan.

Justeru, saya menyarankan kepada para peguam supaya tidak meninggalkan skil advokasi lisan ini dan berusaha untuk mempelajarinya. Peguam muda perlu banyak mengikuti peguam senior dan menggunakan skil pemerhatian untuk melihat bagaimanakah caranya skil advokasi dipraktikan oleh peguam senior ini. Ianya adalah skil yang bersifat praktikal yang tidak mungkin diperolehi dalam bilik kelas. Kemahiran advokasi lisan ini adalah bukan setakat kemahiran bercakap tetapi juga kemahiran bagaimanakah seseorang peguam itu berjaya untuk merangkumkan (synchronise) antara kemahiran berfikir secara spontan, kemahiran lisan dan kemahiran untuk mengawal degup jantung. Bercakap di hadapan hakim tidak sama seperti bercakap dengan kawan-kawan di kedai kopi. Jika di dalam kedai kopi kita lihat ada peguam seolah-olah beliaulah jaguh bercakap tetapi belum tentu beliau mampu untuk bercakap di hadapan hakim. Kadang-kadang yang jarang bercakap di kedai kopi itulah yang hebat di dalam Mahkamah berbanding dengan peguam kedai kopi ini. Berada di hadapan hakim ini boleh menggetarkan jiwa terutamanya jika hakim itu terkenal dengan bengis dan sifat pemarah. Jika perasaan gementar itu menguasai diri pasti akal dan lisan tidak mungkin untuk bersatu dan akhirnya yang keluar daripada mulut itu sia-sia belaka.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor