Skip to main content

Polemik Dr Zakir Naik: Penilaian Dari Sudut Hak Asasi Manusia

Semalam (1 Mac 2017) tular berita mengenai kumpulan Hindraf dan beberapa individu yang telah menfailkan satu saman di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur. Antara tuntutan yang dibuat adalah bagi Mahkamah memerintahkan supaya Dr Zakir Naik ditangkap dan diusir keluar daripada Malaysia. Tindakan tersebut dipercayai dibuat kerana rasa kurang senang golongan beragama Hindu dengan isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik dan dikatakan akan menjejaskan keselamatan negara. Apa yang menjadi isu juga adalah keberadaan individu Muslim dalam kumpulan tersebut.

Selanjutnya, SS Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis telah melahirkan rasa hairan kerana keberadaan individu Muslim dalam kumpulan tersebut. Mungkin beliau berasa hairan kenapa individu Muslim itu boleh sependapat untuk tidak menyokong Dr Zakir Naik berceramah.

Segolongan netizen juga memberikan komen bahawa tindakan kumpulan Hindraf itu tidak wajar dan menganggap tindakan itu mencabar kedaulatan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan. Segolongan netizen yang lain pula menyelar individu Muslim yang turut berada dalam kumpulan berkenaan dan menganggap tindakan individu Muslim itu telah mencemarkan nama baik agama Islam.

Jika dianalisa melalui kaca mata hak asasi manusia, antara aspek penting yang perlu dipertimbangkan adalah prinsip kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara ini adalah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut:


Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.


Perkara 10 ini menyatakan bahawa hak dan kebebasan bercakap itu hanya diperuntukkan kepada warganegara sahaja. Kebebasan itu pula boleh disekat melalui undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atas beberapa sebab seperti fitnah, hasutan, keselamatan, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Namun, Perkara 10 ini dikritik hebat oleh ilmuwan perlembagaan kerana kebebasan ini hanya diberikan kepada warganegara sahaja sedangkan kebebasan ini bersifat universal dan sejagat dan sepatutnya dinikmati oleh semua orang. Walau apa pun kritikan itu, disebabkan itulah undang-undang yang dipakai di negara ini maka mahu tidak mahu kita semua terikat dengan undang-undang berkenaan.

Oleh itu, mana-mana warganegara asing (termasuklah penduduk tetap) tidak dapat menguatkuasakan hak kebebasan bercakap ini di mahkamah. Tetapi, ini tidak bermakna mereka langsung tidak boleh bercakap tetapi akan wujud sekatan terhadap mereka dan mereka pastinya memerlukan kebenaran khas jika ingin berucap di khalayak ramai.

Bagi saya sendiri undang-undang berkaitan sekatan terhadap kebebasan bersuara ini perlu dikaji semula setelah dunia menjadi semakin global. Negara ini tidak mampu menghalang kebebasan bersuara setelah wujudnya pelbagai platform media sosial yang memungkinkan maklumat disebarkan dalam sekelip mata sahaja. Malah, wujud kebaikan yang banyak sama ada daripada segi perubahan ekonomi, sosial atau tatakelola pemerintahan setelah wujudnya media sosial seperti ini. Apa yang masih boleh dikawal adalah akibat daripada kebebasan bercakap itu sahaja, iaitu tindakan undang-undang boleh dibuat ke atas mereka sekiranya mereka melanggar apa-apa undang-undang berkaitan fitnah, hasutan, ketenteraman awam, keselamatan dan prinsip moral.

Berbalik kepada polemik Dr Zakir Naik ini, setelah mendengar ucapan dan syarahannya saya tidak melihat ianya sebagai suatu ancaman keselamatan. Ianya juga bukan suatu bentuk yang provokatif bahkan suatu bentuk debat yang sihat. Sesiapa sahaja boleh bertanyakan beliau dan beliau akan menjawab persoalan yang dikemukakan itu sehingga penanya soalan itu puas. Tiada sebarang rehearsal dibuat untuk soalan yang akan ditanyakan itu. Kesemua soalan itu berbentuk spontan sahaja dan jawapannya juga tidak ada yang berbentuk mengfitnah atau menghasut orang lain.

Apa yang menjadi isunya adalah apabila kebebasan bersuara ini hanya diberikan kepada Dr Zakir Naik tetapi disekat ke atas orang lain khasnya apabila penceramah itu adalah bukan beragama Islam atau yang dikatakan Islam liberal seperti Irsyad Manji. Sewajarnya, dialog terbuka harus dibenarkan supaya berlaku proses pertukaran dan pengesahan maklumat yang sihat. Lagipun, sudah wujud undang-undang yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melampaui had kebebasan bersuara ini.

Pada zaman langit terbuka ini, ceramah yang berbentuk sehala sudah kelihatan sangat lapuk dan terasing. Tindakan menganjurkan ceramah di atas pentas terbuka untuk menghina dan membelasah individu tertentu kelihatan sungguh tidak ‘jantan’ dan bersifat ‘kekampungan’. Apatah lagi, jika tuan punya badan itu sendiri hadir dalam ceramah itu tetapi disekat pula untuk menjawab tohmahan yang dikemukakan terhadapnya.

Sepatutnya rakyat digalakkan untuk menjadi lebih inkuisitif dan mempunyai kemahiran berfikir pada aras tinggi sesuai dengan perubahan silibus pendidikan di sekolah-sekolah. Kemahiran berfikir aras tinggi ini tidak mungkin diperolehi sekiranya hanya bentuk komunikasi sehala yang diamalkan.

Kesimpulannya, tindakan saman yang dibuat oleh 19 individu adalah tindakan yang tidak wajar dibuat dalam konteks kebebasan bersuara. Namun, ruang kebebasan bersuara di Malaysia ini harus diperluaskan dan ruang perdebatan patut digalakkan. Label seperti Islam liberal, munafik dan takfiri perlu dijauhi. Perdebatan yang sihat berasaskan fakta dan maklumat akan dapat menjadikan Malaysia ini lebih maju kerana akhirnya, rakyat yang akan mendapat manfaat itu. Lihat sahaja keterbukaan ruang demokrasi di negara barat yang akhirnya menunjukkan perkembangan positif kepada Islam itu sendiri sehingga muncul sebagai agama yang paling pesat berkembang di Eropah.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor