Skip to main content

Nasib Usul Persendirian RUU 355 Selepas Ditolak Najib

Media sosial telah menjadi kecoh semenjak semalam setelah berita penolakan RUU 355 versi YB Ahli Parlimen Marang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seusai mesyuarat bersama parti komponen Barisan Nasional. Hal itu cukup mengejutkan setelah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengumumkan pada bulan November 2016 yang lepas bahawa kerajaan akan mengambil alih usul pindaan Akta 355.

Semenjak awal lagi, saya konsisten menyatakan bahawa RUU 355 sewajarnya dibawa oleh pihak kerajaan. Namun, permainan politik RUU 355 ini mengatasi rasional akal. Permainan politik RUU 355 ini dimainkan oleh kedua-dua pihak UMNO dan PAS. Masing-masing mempunyai kepentingan sendiri yang pastinya akhir sekali mahu permainan ini diterjemahkan dalam bentuk undi kepada parti masing-masing. Permainan politik ini juga menarik pihak yang bertentangan iaitu parti Gerakan, DAP, MCA dan MIC untuk turut membantah RUU 355 ini disebabkan kesan undi yang bakal mereka perolehi dalam PRU 14 kelak.

Setelah diumumkan penolakan RUU 355 itu oleh Perdana Menteri, YB Ahli Parlimen Marang masih lagi berharap supaya beliau diberikan kesempatan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk diberikan peluang bagi membentangkan usul persendirian itu. Adakah Speaker akan membenarkan atau tidak, semuanya bergantung kepada rundingan antara YB Ahli Parlimen Marang dengan Menteri kerana tanpa ‘syafaat’ Menteri, peluang YB Ahli Parlimen Marang untuk membentangkannya itu agak tipis disebabkan masih banyak urusan kerajaan yang belum diselesaikan.

Dalam konteks dakwah, sering kali kita diingatkan supaya berbuat sesuatu dengan penuh hikmah dan bijaksana. Namun, dalam kes RUU 355 ini nampaknya ianya dilaksanakan tanpa bijaksana.

Pada masa kini, sepatutnya difikirkan secara waras dan bijaksana peluang untuk meneruskan usul persendirian ini. Sewajarnya dibuat perkiraan yang berhemah dan berhati-hati mengenai peluang untuk mendapat undi majoriti bagi meluluskan usul ini. Perkiraan untung rugi perlu dianalisa oleh YB Ahli Parlimen Marang.

Perlu juga difikirkan apakah yang akan berlaku jika usul itu diluluskan. Apakah jalan seterusnya yang perlu ditempuhi setelah usul itu diluluskan. Selain itu, perlu juga difikirkan apakah akan berlaku jika usul itu tidak diluluskan. Ke manakah nasib RUU 355 jika ianya tidak diluluskan.

Pertimbangan ini perlu diambil perhatian. Sekiranya mudaratnya lebih besar maka ada baiknya YB Ahli Parlimen Marang menarik balik usul persendirian itu dan menyerahkannya kepada kerajaan.

Dalam tulisan yang lalu, telah dinyatakan bahawa kelulusan usul persendirian ini adalah bergantung kepada undi Ahli Parlimen yang lain. YB Ahli Parlimen Marang perlu membuat ‘culaan’ dan bancian setakat manakah Ahli Parlimen yang lain menyokong usul persendirian ini. YB Ahli Parlimen Marang tidak boleh sekadar berdoa dan berharap tanpa membuat ‘homework’ ini terlebih dahulu kerana doa itu hanya ‘sah’ setelah ada usaha yang berkadar dibuat. Setakat ini, YB Ahli Parlimen Marang belum pernah membuat apa-apa pertemuan khas dengan Ahli-Ahli Parlimen lain untuk melobi sokongan mereka. Sokongan ‘ungu’ yang ditunjukkan di Padang Merbok masih belum memadai bagi mengukur sokongan Ahli Parlimen yang akan mengundi.

Pertimbangan yang perlu diambil perhatian juga adalah jika usul persendirian ini diluluskan sekalipun, ianya hanya akan menjadi bacaan pertama semata-mata. Akhirnya, kerajaan juga yang akan membawa usul ini bagi bacaan kedua. Persoalannya bilakah bacaan kedua akan dilakukan. Dalam konteks ini, Perdana Menteri telah menyatakan kerajaan tidak akan membawa RUU 355. Sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini yakni sebelum PRU 14 tidak mungkin ada RUU 355 yang akan dibawa oleh kerajaan. Maka, usul persendirian ini akan masuk ke dalam ‘bilik beku’ Menteri sehinggalah selesai PRU 14 (tempoh maksima sehingga Jun 2018). Kerajaan juga perlu mendapat maklum balas lanjut daripada pihak Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara serta Majlis Raja-Raja sebelum ianya dibawa ke Parlimen. Maka, agak mustahil RUU 355 akan dibawa oleh kerajaan dalam tempoh terdekat.

Oleh itu, melihat kepada faktor-faktor yang dinyatakan ini, nampaknya yang lebih baik bagi YB Ahli Parlimen Marang untuk menarik balik usulnya dan menyerahkannya kepada pihak kerajaan. Saya percaya pindaan Akta 355 ini akhirnya akan dibuat juga oleh pihak kerajaan kerana ada keperluan untuk menyemak kembali kadar dan metod hukuman yang patut diberikan kepada Mahkamah Syariah. Cuma, bilakah masa itu akan berlaku adalah dalam ilmu Allah Taala sendiri.

Antara perkara yang perlu diperkasakan adalah berkaitan dengan hukuman khidmat komuniti yang kini masih belum wujud struktur dan mekanisme yang jelas di Mahkamah Syariah. Hukuman khidmat komuniti ini juga tidak dimasukkan dalam usul persendirian RUU 355 YB Ahli Parlimen Marang. Selain itu, justifikasi mengenai peningkatan hukuman denda kepada RM100 ribu dan penjara 30 tahun juga tidak dinyatakan oleh YB Ahli Parlimen Marang dan kerajaan pasti akan mengkaji kadar yang munasabah bagi kenaikan kadar hukuman ini.

Kesimpulannya, pindaan Akta 355 ini memerlukan kebijaksanaan yang berhikmah sesuai dengan ajaran Islam dan amalan demokrasi di negara ini. Kini Akta 355 terlampau dipolitikkan sehingga menarik penentangan oleh sesetengah pihak. Penentangan itu bukan setakat oleh orang bukan Islam bahkan juga oleh sesetengah orang Islam termasuklah ilmuan agama. Maka, proses ‘engagement’ hendaklah dibuat dengan kesemua pihak dengan membawa data-data yang mencukupi bagi menyokong pindaan ini. Kajian hendaklah dibuat mengenai kadar hukuman yang munasabah.

Proses pemahaman ini tidak memadai dibuat di dalam himpunan di padang atau di masjid semata-mata. Proses pemahaman ini hendaklah bermula secara ‘top to down’ iaitu bermula daripada peringkat pembuat dasar iaitu pihak kabinet dan Majlis Raja-Raja dan selepas itu baharulah ianya dikembangkan kepada parti-parti politik. Seterusnya, proses itu hendaklah dikembangkan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan pihak kerajaan negeri. Selepas itu baharulah proses itu berjalan di peringkat rakyat. Setelah kesemua proses ini dibuat baharulah RUU 355 ini  dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan. Meskipun, mungkin proses ini mungkin memakan masa tetapi ianya akan membawa manfaat yang lebih besar dan menjauhkan polemik yang mengelirukan.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor