Mulai 6 Mac hingga 6 April 2017, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat akan bersidang dan dijangka sekali lagi usul persendirian RUU 355 akan dibawa oleh YB Ahli Parlimen Marang. Semenjak penangguhan perbahasannya pada 24 November 2016, tidak banyak majlis penerangan dibuat bagi menerangkan pindaan yang baharu ini. Jika ada pun dibuat, penerangan yang diberikan hanyalah sekadar mengulangi ‘skrip’ lama iaitu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia dengan menaikkan bidangkuasa hukuman jenayah Syariah. Meskipun ada himpunan diadakan bagi menyokong usul persendirian ini termasuk kemuncaknya Himpunan RUU 355 yang diadakan pada 18 Februari 2017 di Padang Merbok Kuala Lumpur, masih tiada penerangan yang jelas mengenai justifikasi mengenai kenaikan hukuman daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun dan denda daripada RM5000 kepada RM100 ribu. Justifikasi yang diberikan hanyalah terhadap jumlah sebatan yang dinaikkan daripada 6 sebatan kepada 100 sebatan dengan mengambil kira kadar hukuman yang ditetapkan di dalam Hukum Syarak berkaitan kesalahan qazf, syurb al-khamr dan zina.
Sehingga kini, tiada mana-mana ulama PAS yang berani menulis mengenai justifikasi kenaikan hukuman RM100 ribu dan 30 tahun penjara (atau saya yang tidak jumpa?). Baru-baru ini semasa Himpunan Harapan Semua - PAS Ganti Umno (Harap - PGU) 3.5, Ketua Dewan Penerangan Ulama PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri hanya sekadar menyatakan bahawa meminda Akta 355 ini adalah wajib kerana akta ini menghalang daripada perlaksanaan hukum Islam mengenai hukum minum arak, hukum menuduh berzina (qazf) dan zina tetapi tidak pula menerangkan justifikasi kepada kenaikan hukuman denda RM100 ribu dan penjara 30 tahun.
Sebelum itu, Dr Khairuddin juga sebelum itu telah menyampaikan ucapan dalam satu ceramah jelajah RUU 355 di Pantai Geting, Kelantan menyatakan ‘Kalau ada tok peti (mufti) yang kata sunat bagitau saya, saya nak sekeh kepala’. Beliau juga mencabar sesiapa yang menyatakan hukum itu tidak wajib untuk berhujah dengan beliau.
Sebelum itu, dalam Himpunan H355 di Padang Merbok pun tiada mana-mana penceramah yang memberikan justifikasi terhadap kenaikan hukuman kepada denda RM100 ribu dan penjara 30 tahun.
Hujahan berkaitan menaikkan kadar hukuman bagi tiga kesalahan itu adalah mudah difahami tetapi menaikkan kadar hukuman RM100 ribu dan 30 tahun penjara itu masih tidak dapat difahami. Dr Khairuddin sendiri gagal untuk menjelaskan hukum menaikkan kadar hukuman kepada RM100 ribu dan 30 tahun penjara sama ada wajib, sunat, makruh atau harus. Sesuatu hukum yang dikeluarkan mestilah berasaskan kepada dalil yang kuat dan kita semua tidak tahu di mana dalil naqli dan aqli bagi jumlah RM100 ribu dan 30 tahun penjara. Saya percaya yang beliau rujuk hukum wajib itu hanya sekadar kepada hukuman sebat 100 kali.
Inilah yang mungkin disentuh oleh SS Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Abidin. Bagi beliau, Akta 355 bukan setakat hukuman minum arak, hukum menuduh berzina (qazf) dan zina sahaja bahkan banyak lagi hukuman yang di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah seperti poligami tanpa kebenaran, ceramah tanpa tauliah, melanggar fatwa yang dikeluarkan dan lain-lain lagi.
Selepas Dr Khairuddin membuat lawatan ‘mahabbah’ ke atas Dr Asri, beliau telah membuat suatu kenyataan bertulis pada 4 Mac 2017, antara lain bahawa ‘Adapun PAS mempunyai rasional dan hujah tersendiri dalam mencadangkan hukuman 30 tahun penjara dan 100k denda sebagaimana juga pandangan mereka yang terlibat dalam sistem perundangan Islam di Malaysia. Namun, tulisan ini bukan ruang untuk perbahasan tersebut.’
Sayang sekali kita tidak jumpa mana-mana penulisan beliau yang membahaskan hal tersebut. Sebenarnya, polemik baharu ini dibuat oleh PAS sendiri apabila mereka gagal untuk menjelaskan kadar kenaikan kepada RM100 ribu dan 30 tahun penjara. Tiada sebarang penulisan dibuat dan tiada data-data atau justifikasi diberikan bagi kenaikan itu. Kenyataan Dr Khairuddin yang setakat menyatakan bahawa ‘PAS ada rasional dan hujah tersendiri’ tidak membantu untuk menjelaskan kekeliruan ini. Sepatutnya ini yang patut menjadi keutamaan kepada beliau untuk menjelaskannya kerana masih belum ada sebarang penulisan yang konkrit berkaitan kenaikan hukuman ini. Kita berharap beliau kelak dapat segera memberikan perbahasan dan justifikasi kepada kenaikan kedua-dua hukuman itu.
Beliau juga menyatakan, ‘Adapun perincian jenis hukuman lebih daripada itu nanti adalah melibatkan pindaan Enakmen di negeri-negeri nanti menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing. Akta 355 hanyalah akta ibu yang akan membuka laluan kepada negeri-negeri untuk membuat sebarang perubahan dalam enakmen sedia ada, berdasarkan keperluan dan tentunya mesti mendapat perkenan daripada DYMM Sultan di negeri masing-masing.’
Bagi saya, kenyataan yang diletakkan di perenggan akhir kenyataan bertulisnya itu adalah tidak konsisten (tidak istiqamah) dengan kenyataannya di awal perenggan. Pada saat beliau menyatakan bahawa ‘PAS ada rasional dan hujahnya tersendiri’ tiba-tiba berlaku kontradiksi pula dengan menyatakan perincian akan dibuat oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing’. Mengapakah tiada perinciannya dan meletakkan tugas memperincikan ini kepada pihak yang lain yang kita sendiri tiada bidang kuasa ke atasnya. Ini seolah-olah membenarkan andaian bahawa PAS sebenarnya tiada sebarang justifikasi dan hujah sama ada daripada segi dalil naqli atau aqli bagi menyokong kenaikan hukuman denda RM100 ribu dan penjara 30 tahun. Jika tiada justifikasi sedemikian, ini bermakna PAS tidak pernah mempunyai data yang empirikal bagi menyokong kenaikan itu. Jika tiada data empirikal bermakna ianya hanya sekadar dipetik begitu sahaja tanpa melalui suatu proses konsultasi dengan para stakeholder dan hanya untuk memuaskan hati kononnya Mahkamah Syariah tiba-tiba akan jadi perkasa dengan kenaikan mendadak sedemikian. Saya berharap andaian ini tidak benar kerana jika benar-benar begitu maka impaknya amat besar kepada umat Islam.
Namun, hakikatnya jika negeri-negeri diberikan ‘lesen besar’ untuk memperundangkan enakmen masing-masing berdasarkan hukuman siling RM100 ribu dan 30 tahun penjara ianya bukanlah langkah yang baik. Seingat saya, belum pernah ada undang-undang Persekutuan yang meletakkan siling begitu tinggi dan kemudiannya melepaskan tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri masing-masing. Pola pemikiran sebegini agak aneh dalam tradisi perundangan khasnya dalam undang-undang Perlembagaan berkaitan hubungan Negeri - Persekutuan.
Bagi pengkaji undang-undang, mereka memahami kekangan yang ada di peringkat negeri berkaitan penggubalan undang-undang dan peri pentingnya diwujudkan keseragaman undang-undang khasnya undang-undang Syariah di peringkat negeri. Dr Khairudin menyatakan bahawa ‘ini akan membuka laluan kepada negeri-negeri untuk membuat perubahan dalam enakmen sedia ada, berdasarkan keperluan …”. Apakah keperluan yang beliau maksudkan itu? Apakah piawaian dalam menetapkan keperluan itu? Oleh itu, hujahan yang beliau kemukakan ini adalah samar-samar dan dalam sistem undang-undang hujahan yang samar-samar pasti akan kalah dalam Mahkamah. Timbul juga persoalan tentang setakat manakah perbezaan keperluan itu antara negeri Terengganu dan Selangor. Contohnya setakat manakah perbezaan keperluan hukuman berkahwin tanpa kebenaran antara negeri Terengganu dan Selangor dan berapakah takat hukuman yang wajar dikenakan?
Bahkan jika dikaji dengan lebih lanjut, kesan Akta 355 ini mungkin lebih teruk daripada yang digambarkan apabila seorang yang dihukum atas kesalahan berkahwin tanpa kebenaran pada usia 20 tahun, akhirnya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun (jika negeri-negeri selepas ini menetapkan sedemikan). Apakah akan jadi dengan hidupnya yang terpaksa menghabiskan tempoh 10 tahun dalam penjara sedangkan mungkin dalam tempoh itu beliau sudah bertaubat dan jika tidak dipenjarakan beliau mungkin sudah boleh memberikan sumbangan yang besar dalam masyarakat. Bernikah itu sunnah dan kesalahannya hanyalah kerana bernikah tanpa kebenaran pejabat agama. Apakah sekeras ini bentuk hukuman Islam yang ingin Dr Khairuddin tunjukkan? Islam yang penuh dengan hukuman yang keras dan bukan Islam yang berbentuk rahmat dan mendidik manusia.
Begitu juga dengan cadangan hukuman RM100 ribu dilihat begitu tinggi dalam mana rakyat pada masa ini dibelenggu kesusahan ekonomi. Bayangkan perasaan seorang anak muda berusia 20 tahun yang berkahwin tanpa kebenaran pejabat agama akhirnya didenda dengan jumlah RM30 ribu (kalau pun tidak sampai RM100 ribu). Mampukah beliau menjelaskan hukuman sebanyak itu? Jika beliau gagal menjelaskannya pasti beliau akan dipenjarakan.
Seperkara lagi, sebelum ini ada pimpinan PAS yang menyatakan bahawa dalam kes kemalangan jalan raya, hukuman diyat dalam Islam adalah lebih adil kerana wang diyat itu akan dibayar kepada mangsa berbanding dengan dengan hukuman denda yang akhirnya diambil oleh pemerintah. Dalam hal ini, bayaran denda RM100 ribu itu juga akan masuk ke kantung kerajaan. Mengapakah tidak dicadangkan hukuman yang lebih memberikan manfaat kepada komuniti dan masyarakat? Mengapakah tidak digali falsafah hukuman dalam Al-Quran? Dalam hal ini, sepatutnya pimpinan PAS lebih konsisten dalam hujahan mereka kerana hukuman denda dan serahan wang denda itu kepada kerajaan sendiri tidak diketahui asal usulnya dalam tradisi hukuman Islam. Sepatutnya perlu diutamakan falsafah perundangan Islam dalam usul persendirian Akta 355 ini berbanding dengan keghairahan terhadap tiga hukuman hadd itu kerana usul persendirian ini datang daripada parti yang menggunakan Islam sebagai asas perjuangan.
Akhirnya, cuba kita lihat dan hayati bagaimana hukuman berbentuk pendidikan yang diturunkan oleh Allah Taala apabila diharamkan perbuatan zihar. Mengapakah kita tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada falsafah perundangan Islam ini yang mana manfaat hukuman itu akan mendidik jiwa pesalah dengan membebaskan seorang hamba atau jika tidak mampu, untuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut dan jika masih tidak mampu dibuat maka dikenakan hukuman alternatif yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat iaitu memberikan makan kepada 60 orang miskin.
Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Al-Mujadalah : 2-4
Comments