Skip to main content

BON ODORI: MENILAI KONSEP FEDERALISME DAN STRUKTUR PENTADBIRAN AGAMA ISLAM

 BON ODORI: MENILAI KONSEP FEDERALISME DAN STRUKTUR PENTADBIRAN AGAMA ISLAM

Isu Bon Odori ini menjadi isu hangat dan mendapat perbincangan ramai. Isu ini timbul berikutan ‘nasihat’ yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad supaya orang ramai tidak menghadiri festival tahunan tersebut kerana dikhuatiri ianya membabitkan soal agama dan akidah.
Berikutan itu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa festival itu tidak akan dibatalkan namun beliau akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Belum sempat beliau mendapatkan penjelasan daripada JAIS, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mengeluarkan kenyataan yang agak keras terhadap Menteri Agama itu. Selain daripada menasihati Menteri Agama untuk hadir ke festival tersebut, baginda juga menzahirkan bahawa baginda ‘tidak mahu Y.B. Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.’ [sila rujuk kenyataan penuh dalam FB Selangor Royal Office].
Barangkali inilah kenyataan yang paling keras dikeluarkan oleh seorang Sultan terhadap seorang Menteri Agama dalam sejarah Malaysia. Tidak terfikir oleh kita bagaimanakah seorang Sultan boleh menanggapi seorang Menteri Agama telah membuat kenyataan yang mengelirukan, tidak tepat (dalam kata lain memesongkan serta bercampur antara benar dan palsu) yang pastinya akan menjejaskan JAKIM sebagai sebuah institusi besar agama Islam di negara ini.
Melihat kebelakang, pada April 2022, Sultan Selangor pernah menzahirkan murka baginda terhadap Menteri Agama dan Timbalan Menteri Agama, Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary dan bertitah bahawa ‘Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah. Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.’
Dua perkembangan ini mengukuhkan lagi konsep federalisme di Malaysia. Dalam konsep ini urusan berkaitan agama Islam hendaklah di dalam bidang kuasa negeri masing-masing. Manakala, perlembagaan setiap negeri pula menyatakan bahawa Sultan adalah ketua bagi agama Islam dalam negeri tersebut.
Kenyataan Menteri Agama itu boleh dikatakan telah menceroboh bidang kuasa negeri yang secara terus berada di bawah kuasa Sultan. Mungkin pada zaman Barisan Nasional dahulu Sultan di negeri-negeri tidak begitu tegas dengan bidang kuasa mereka. Namun, perubahan iklim politik selepas PRU 14 menunjukkan bahawa setiap Sultan mula memperkasakan kuasa mereka di bawah Perlembagaan.
Justeru, sesiapa yang menjadi Menteri Agama di peringkat Persekutuan perlu sedar hal ini dan mempersembahkan kepada setiap Sultan tentang apa-apa rancangan yang mereka lakukan. Dalam hal ini, langkah Menteri Agama PH sebelum ini iaitu Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof patut dipuji kerana beliau sendiri telah turun menghadap setiap Sultan-Sultan apabila kerajaan Persekutuan pada ketika itu ingin menjadikan dasar Rahmatan Lil ‘Alamin (Rahmat Untuk Semua) [bukan Rambutan Pak Amin seperti yang pernah digelar oleh seorang agamawan terkemuka tanahair] sebagai dasar negara sehinggalah ianya mendapat persetujuan dan perkenan daripada Majlis Raja-Raja. Malangnya, sebelum dasar tersebut dapat dilancarkan secara rasmi, Langkah Sheraton telah membantutkan hasrat tersebut.
Mungkin tindakan terburu-buru Menteri Agama kali ini akan menjadikan beliau lebih berhati-hati di masa hadapan dan tidak semenggah untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bukan dalam bidang kuasa beliau.
Namun begitu, pastinya orang ramai kini ternanti-nanti dengan gerak kerja Menteri Agama sekarang khasnya mengenai apa yang pernah diceramahkan oleh beliau dan rakan-rakannya seperti isu pemandu mabuk, RUU 355, aurat di kalangan pramugari dan isu judi. Mampukah beliau terus istiqamah dengan apa yang pernah diucapkannya sebelum ini? Sama-samalah kita mendoakan supaya beliau dapat mengotakan apa yang pernah diucapkannya sebelum ini.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor