Skip to main content

MERUNGKAI PERLEMBAGAAN

 MERUNGKAI PERLEMBAGAAN

Merungkai ini maksudnya merungkaikan menghuraikan contohnya menghuraikan simpulan tali atau membuka bungkusan. Maknanya kalau merungkaikan Perlembagaan itu ibaratnya merungkai sesuatu yang payah dibuka seperti mengubah atau meminda Perlembagaan.
Cara merungkai Perlembagaan Persekutuan adalah dengan meminda melalui proses legislatif. Bagi pelajar undang-undang yang belajar Undang-Undang Perlembagaan pastinya pernah belajar cara nak merungkai Perlembagaan melalui metod yang dinyatakan dalam Perkara 159.
Secara asasnya meminda Perlembagaan ini perlu sokongan dua pertiga majoriti jumlah Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara. Bahasa Perlembagaan menyebutkan jumlah ahli Dewan bukannya sekadar jumlah yang hadir pada hari pengundian.
Jumlah Ahli Dewan Rakyat adalah 222 kerusi. Jadi dua pertiga bermakna sekurang-kurangnya mendapat sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat.
Namun jika ianya berkaitan pindaan kepada peruntukan kewarganegaraan, Majlis Raja-Raja, kedudukan istimewa Raja-Raja, kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera maka ianya perlu juga mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.
Jika melibatkan hal Sabah dan Sarawak pula mesti mendapat persetujuan negeri itu.
Begitulah bukan senang hendak rungkai Perlembagaan ini. Sewaktu penggubalan Perlembagaan ini, Lord Reid dan rakan-rakannya menyebut pindaan kepada Perlembagaan tidak boleh terlalu susah sampai jadi mustahil untuk dipinda dan tidak boleh terlalu senang sampai melemahkan Perlembagaan.
Ironinya dahulu ada orang kata Perlembagaan Persekutuan ini perlembagaan taghut dan perlembagaan penjajah. Jika mati kerana menentang perlembagaan ini dianggap mati syahid tetapi kini orang itu pula yang kata jangan biarkan kumpulan itu rungkai Perlembagaan.
Dahulu sewaktu Perikatan/BN memenangi lebih dua pertiga kerusi Dewan Rakyat banyak kali juga Perlembagaan ini dirungkaikan. Setakat tahun 2003, Dr Aziz Bari tulis dalam bukunya, Malaysian Constitution A Critical Introduction bahawa Perlembagaan Persekutuan ini telah dirungkai sebanyak 44 kali berbanding dengan Perlembagaan Amerika Syarikat yang wujud sekitar 200 tahun (semenjak 1787) hanya melalui 27 kali pindaan. Apa yang Perikatan/BN rungkai itu banyak juga yang mengubah struktur asas Perlembagaan khasnya berkaitan undang-undang darurat dan kedudukan istimewa raja-raja.
Zaman PH memerintah 22 bulan hanya ada sekali Perlembagaan ini dirungkai iaitu berkaitan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.
Zaman Langkah Sheraton ada dua kali pindaan iaitu pertamanya berkaitan mendefinisikan semula Malaysia sebagai terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Keduanya, adalah pindaan berkaitan kedudukan ahli Dewan Rakyat yang lompat parti.
Jadi sebenarnya orang itu yang kata PH hendak rungkai Perlembagaan, cabar Islam, cabar kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera itu semasa 22 bulan itu nyanyuk, lupa, fitnah, kelentong, sembang deraih atau apa?
Dahulu dalam usrah selalu dibaca ayat
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ لِلّٰهِ شُهَدَاۤءَ بِالْقِسْطِۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَاٰنُ قَوْمٍ عَلٰٓى اَلَّا تَعْدِلُوْا ۗاِعْدِلُوْاۗ هُوَ اَقْرَبُ لِلتَّقْوٰىۖ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا تَعْمَلُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman. Jadilah kamu sebagai penegak keadilan karena Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan JANGANLAH KEBENCIANMU TERHADAP SUATU KAUM (KUMPULAN/PARTI) mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. BERLAKU ADILLAH. KERANA (ADIL) ITU LEBIH DEKAT KEPADA TAKWA. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (QS Al-Ma'idah: )

Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...