Skip to main content

MELIBERALKAN OBJEKTIF HUKUMAN MAHKAMAH


Mengikut buku undang-undang yang dipelajari oleh mahasiswa yang mengambil subjek Undang-Undang Prosedur Jenayah pastinya akan berjumpa dengan bab tujuan sesuatu hukuman jenayah dikenakan. Pelajaran ini biasanya akan dipelajari dalam subjek “Criminal Procedure’ dan ianya sangat penting kerana sesetengah mahasiswa ini akan menjawat jawatan majistret apabila mereka tamat belajar undang-undang.



Tugas majistret adalah untuk mendengar kes. Kedudukannya sama seperti hakim. Dalam sistem perundangan Malaysia majistret akan menjadi hakim di Mahkamah Majistret. Bagi Mahkamah Sesyen orang itu dipanggil sebagai Hakim Sesyen. Begitu juga di Mahkamah Tinggi mereka juga dipanggil sebagai hakim. Apa yang membezakan hanyalah panggilan di pangkal nama iaitu majistret akan dipanggil Tuan Majistret dan hakim sesyen akan dipanggil Tuan Hakim. Apabila di Mahkamah Tinggi akan dipanggil Yang Arif Hakim atau Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman. Pangkat Yang Amat Arif pula akan diberikan kepada Hakim Besar, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara. Kadangkala apabila bercampur hakim-hakim ini boleh terbelit lidah kita menyebut Yang Amat Arif, Yang Arif-Yang Arif.



Majistret ini pula akan mendengar kes-kes jenayah tertentu yang mana hukumannya tidak lebih daripada 10 tahun penjara. Hakim Sesyen pula akan mendengar kes jenayah selain kes jenayah yang melibatkan hukuman mati. Justeru, adalah mustahak bagi mereka untuk memahami latar belakang tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman. Sebab itu, mustahak bagi mereka belajar apakah tujuan sesuatu hukuman itu dijatuhkan.



Begitu juga bagi seorang peguam, beliau perlu tahu juga tujuan hukuman itu dijatuhkan supaya beliau boleh memohon pengurangan hukuman atau pun dalam istilah undang-undang dipanggil mitigasi. Pelatih dalam kamar yang membuat sesi ‘dock brief’ (sesi khidmat wajib di bawah State Bar Committee) akan membuat latihan praktikal untuk memohon mitigasi bagi tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam. Ilmu mitigasi hukuman ini meliputi ilmu untuk mengetahui faktor-faktor yang mengurangkan hukuman atau yang memberatkan hukuman. Justeru, peguam juga perlu tahu tujuan sesuatu hukuman itu dikenakan ke atas tertuduh berkenaan.



Bagi seorang pendakwa, beliau juga perlu tahu tujuan sesuatu hukuman dikenakan kerana pihak pendakwa akan memohon  kepada Majistret atau Hakim untuk memberatkan hukuman buat tertuduh apabila berlaku sabitan. 



Mengikut buku Profesor Mimi Kamariah Majid, Criminal Procedure In Malaysia di bawah bab ‘Sentencing’, terdapat 3 objektif hukuman iaitu retributive (pembalasan), deterrence (pencegahan) dan rehabilitative (pemulihan). [Ada orang yang menambahkan satu lagi tujuan iaitu prevention. Namun, maksud prevention ini lebih kurang dengan deterrent juga].



Retributive (pembalasan) ini bermaksud ianya adalah hukuman untuk membalas perbuatan jahat penjenayah. Contoh paling mudah adalah hukuman mati yang dikenakan ke atas pembunuh dianggap sebagai balasan akibat pembunuhan yang dibuat olehnya sendiri. 



Deterrence (pencegahan) pula bermaksud untuk menghukum pesalah itu supaya dia bertaubat dan tidak akan membuat kesalahan itu lagi. Adalah juga disebut bahawa tujuannya adalah untuk menghalang orang lain daripada meniru perbuatan pesalah itu juga. Justeru, hukuman yang berbentuk deterrence ini mempunyai dua kesan iaitu kesan untuk menghalang pesalah daripada melakukan kesalahan itu lagi disebabkan dia berada dalam penjara maka dia tidak lagi berpeluang untuk mengulangi kesalahan itu dan kesan yang kedua adalah untuk menjadi pengajaran kepada orang lain dengan harapan orang lain juga tidak akan berbuat kesalahan itu apabila melihat pesalah dihukum sedemikian rupa.



Rehabilitative (pemulihan) pula adalah bermaksud supaya pesalah itu akan berubah peel perangainya menjadi orang baik setelah menjalani hukuman yang dikenakan. Dalam hal ini, kebanyakan penjara di dunia termasuk di Malaysia lebih cenderung untuk mencapai objektif yang ketiga ini. Sebab itu, jika dilihat penjara di Malaysia sekarang ini mempunyai pelbagai program untuk meningkatkan nilai banduan itu. Contohnya, penjara Malaysia telah memperkenalkan program pemulihan pemasyarakatan penjara yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 26 Mac 2011.  Program ini diperkenalkan dengan tujuan memberikan pendedahan kepada pesalah dan sebagai persediaan awal kepada mereka untuk pengintegrasian dan penyesuaian semula ke dalam masyarakat sebelum mereka dibebaskan. Pada 8 Februari 2014, konsep Penjara Sejahtera telah diperkenalkan bagi memperkasakan pengurusan kepenjaraan dan mematuhi standard dan piawaian antarabangsa selaras dengan pendekatan penjara sebagai institusi koreksional. Konsep Penjara Sejahtera telah dicetuskan oleh Menteri dalam Negeri pada ketika itu



Dalam tradisi perundangan Islam, hal yang sama juga ada dibincangkan. Profesor M.A. Salim Al-Ewa dalam thesis Ph.D menulis ‘The Theory of Punishment In Islamic Law’ (1972). Beliau telah membandingkan prinsip menjatuhkan hukuman itu dengan kesalahan-kesalahan yang wujud dalam jurispruden Islam seperti kesalahan hudud, qisas dan takzir. Beliau menerangkan bahawa sebelum tesis beliau dibuat, amat sedikit ulama yang membahaskan tujuan sesuatu hukuman dibuat. Katanya lagi, ulama yang mula-mula membahaskan hal ini adalah Ibn Qayyim dalam kitab I’lam Al’Muwaqqi’in. Setelah itu, ianya tidak pernah dibahaskan sehinggalah masuk ke abad moden baharulah ianya dibahaskan semula oleh ulama seperti Abdul Qadir Audah dan Abu Zahrah. Oleh itu, banyak karya moden ini membandingkan objektif hukuman yang dibuat dalam undang-undang sivil dengan undang-undang Islam berdasarkan tiga prinsip asas yang disebutkan di atas.



Namun, apabila berlakunya hukuman ke atas Dato’ Sri Najib Tun Razak yang dipenjarakan selama 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta ramai pihak yang membicarakan tentang kewajaran hukuman yang dikenakan. Ada penceramah agama yang menyatakan bahawa kita tidak boleh bergembira dengan kecelakaan yang berlaku ke atas orang itu kerana orang itu ada kebaikan semasa menjadi Perdana Menteri. Ada pula yang mengatakan bahawa yang paling adil adalah mahkamah Allah Taala. Ada pula yang menyatakan jangan gunakan kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa. Ada pula menyamakan keadaan yang dipenjarakan itu seperti kisah Nabi Yusof A.S dipenjarakan untuk menaikkan darjat maqamnya di sisi manusia dan Allah Taala.



Pernyataan seperti itu tidak pernah dibahaskan dalam prinsip menjatuhkan hukuman sama ada dalam undang-undang sivil mahupun dalam undang-undang Islam. Pernyataan seperti itu adalah pandanga yang cuba meliberalkan tujuan sesuatu hukuman jenayah dikenakan. Pandangan liberal seperti ini adalah amat berbahaya dan boleh menyebabkan orang ramai terpengaruh untuk menganggap hukuman Mahkamah sebagai perkara yang tidak ada apa-apa. Kelak orang ramai akan melupakan objektif sebenar sesuatu hukuman itu dijatuhkan.



Mungkin penceramah popular ini tidak pernah membaca penghakiman penuh oleh Hakim Nazlan padahal Hakim Nazlan telah menghuraikan dengan panjang lebar aktiviti jahat si tertuduh ini. 



Hakim Nazlan menulis dalam penghakimannya berkaitan prinsip-prinsip menghukum:


[2845]  It needs no reminding that the accused in the instant case, a former Prime Minister of the country was found guilty of seven charges under the MACC Act, the Penal Code and the AMLATFPUAA, all of which are serious offence.


[2893]  In my view it is most useful to start any analysis of sentencing by reiterating the important point of public interest,


[2896]  No less importantly, at the same time the sentencing court must be mindful of the four key principles and objectives of sentencing - retribution, deterrence, prevention and rehabilitation. Public interest as such should not only reflect the abhorrence of the society against the crime by the imposition of elements of retribution and deterrence in the sentence, but should also ensure the promotion of rehabilitation and reformation on the part of an accused himself.


[2899]  In my view, the same principles of deterrence and retribution would be the more important considerations to be taken into account in the sentencing process in this case, considering the position of the accused and the nature of as well as his involvement in the commission of all the offences of abuse of position, criminal breach of trust and the money laundering charges which in turn are predicated on the abuse of position and CBT offences.


[2903]  And it certainly cannot be denied that the sentence to be meted must be proportionate to both the gravity of the offence and the degree of responsibility of the accused.


[2904]  Thus, when evaluating the appropriate punishment to be passed, including when examining the length of custodial sentence, the court should consider the overall picture, and take into account especially the gravity of the type of offence committed, the facts concerning the commission of the offence and the involvement of the accused, any mitigating factors, and sentences that have been imposed in the past for similar offences



Selanjutnya Hakim Nazlan menjelaskan betapa dahsyatnya kesalahan tertuduh ini:



“Keterangan telah membuktikan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan kedudukanya di bawah S. 23 Akta SPRM apabila tertuduh gagal untuk mengisytiharkan kepentingannya dalam SRC atau untuk menarik diri daripada 2 mesyuarat kabinet yang meluluskan pinjaman KWAP kepada SRC. Bukti juga dikemukakan bahawa tertuduh telah campur tangan untuk kelulusan pinjaman KWAP sebanyak RM4 billion yang mana RM 42 juta telah mengalir masuk dalam akaun peribadi tertuduh. 



Bagi kesalahan CBT (pecah amanah) tertuduh atas kapasitinya sebagai pengarah telah pecah amanah di bawah S. 402A Kanun Keseksaan kerana telah menyalahgunakan harta SRC secara tidak jujur dengan niat.



Untuk kesalahan menggubal wang haram (money laundering), tertuduh telah menjalankan aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang untuk menyalahgunakan kedudukannya dan tertuduh hanya membutakan mata sahaja. Bukan setakat itu, tertuduh juga telah membelanjakan wang RM 42 juta itu sebaik sahaja wang itu masuk dalam akaun peribadinya. Perbelanjaan itu meliputi perbelanjaan peribadi seperti untuk bayar kad kredit dan bayaran balik pendahuluan wang RM32 juta yang diperolehi daripada PPB Group. Selain itu, wang itu juga digunakan untuk tujuan sokongan politik yang mana kononnya wang itu dibelanjakan untuk aktiviti kebajikan dan bagi orang yang tidak bernasib baik walhal ianya disalurkan melalui pertubuhan politik yang bertujuan untuk tertuduh mengambil kepentingan politik dan kuasa sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN. 



Hakim Nazlan juga memberikan kata-kata yang keras, “There is quite simply no virtue in donating what one does not own” (Takde maknanya engkau bagi derma kat orang lain kalau duit itu bukan engkau yang punya). Duit pinjaman KWAP itu adalah milik SRC yang sepatutnya digunakan untuk mempromosikan sumber guna tenaga alternatif tetapi sebahagian besar jumlah itu telah dibekukan di merata ceruk dunia. 



Tertuduh juga tidak pernah menyatakan penyesalannya malah tetap kekal mengekalkan pembelaannya kononnya beliau tidak tahu wang RM42 juta itu datangnya daripada SRC sewaktu memberikan ucapan mitigasi. 



Namun, saya tidak boleh menafikan bahawa tertuduh juga adalah Perdana Menteri negara ini. Tiada siapa pun boleh menafikan bahawa tertuduh telah memberikan sumbangan kepada kesejahteraan rakyat negara ini. Tertuduh juga adalah Perdana Menteri selama tempoh 9 tahun. 



Akhirnya sejarah akan terus diperdebatkan sama ada tertuduh ini melakukan perkara yang baik lebih banyak daripada perkara yang buruk. Namun, proses ini adalah adalah sering berkontradiksi dengan pentadbiran yang bersih yang tidak ada toleransi dengan amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.



Oleh itu, saya menyatakan bahawa sabitan di bawah S. 23 Akta SPRM adalah paling serius berbanding kesalahan lain yang dipertuduhkan memandangkan tertuduh adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa kes ini adalah dikategorikan sebagai penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang paling jijik kerana bukan sahaja melihat kepada bagaimana jenayah ini dilakukan tetapi ianya juga melibatkan wang yang besar iaitu RM 42 juta kepunyaan agensi di bawah Menteri Kewangan yang berasal daripada wang amanah pencen. Paling utama adalah kerana tertuduh adalah orang yang paling berkuasa dan menduduki kedudukan paling teratas dalam pentadbiran negara.



Menurut saya hukuman paling adil bagi tertuduh untuk 7 kesalahan itu adalah:


i) Kesalahan di bawah S. 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa untuk keuntungan diri - penjara 12 bulan dan denda RM 210 juta (jika gagal bayar tambah 5 tahun penjara)


ii) Untuk setiap kesalahan bagi 3 pertuduhan di bawah S. 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah - penjara 10 tahun.


iii) untuk setiap kesalahan bagi 3 pertuduhan pengubahan wang haram (money laundering) di bawah S. 4 AMLATFPUAA - penjara 10 tahun.”


Kesemua alasan penghakiman ini boleh dibaca di dalam jurnal undang-undang dalam kes Pendakwa Raya v Dato ’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak [2020] MLJU 1254 atau boleh diperolehi secara percuma di web elaw


Akhir kata, penceramah popular atau mana-mana orang yang berpengaruh dalam masyarakat sepatutnya mendalami sesuatu isu dengan fakta sebelum mengeluarkan pendapat dan pandangan yang bercanggah dengan prinsip undang-undang. Meliberalkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah dengan pelbagai dalil dan justifikasi yang tidak berasaskan prinsip perundangan akan merosakkan pemikiran masyarakat awam. Kerja-kerja sebegini adalah satu bidaah yang haruslah dijauhi oleh penceramah yang supaya masyarakat tidak akan terpesong otak mereka ke arah jalan yang tidak betul.



Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor