Skip to main content

PENDAFTARAN & PEMBATALAN DAFTAR KEISLAMAN

 PENDAFTARAN & PEMBATALAN DAFTAR KEISLAMAN

Hari ini timbul semula isu panas. Isu jadi panas sebab ada kaitan dengan agama. Perkara yang berkaitan dengan agama dan bangsa biasanya jadi panas, terutamanya jika ada yang jadi tukang kompang. Benda yang kaitan dengan integriti dan korupsi jarang panas sebab tak ramai yang nak kompang isu ini.
Pertamanya, cara Puan Loh ini memfailkan kes di Mahkamah adalah di bawah proses undang-undang. Pendirian undang-undang yang terbaru mengikut kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors and other appeals [2018] 1 MLJ 575 mengatakan tafsiran kepada maksud 'parent' dalam Per. 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah bermakna pengislaman sepihak (unilateral conversion) adalah tidak sah. Oleh kerana ianya melalui proses Mahkamah maka pihak responden hendaklah melantik peguam bagi mempertahankan pendirian mereka. Pihak lain yang berkepentingan juga boleh memohon untuk menjadi pencelah.
Keduanya, Mahkamah Sivil hanya berupaya untuk mengisytiharkan prosedur pengislaman di bawah S. 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006 (Pindan 2016) itu tidak sah kerana membenarkan pengislaman sepihak dan membatalkan pendaftaran keislaman anak-anak Loh itu.
Ketiganya, Mahkamah Sivil tidak berupaya untuk mengisytiharkan anak-anak itu beragama Hindu dan memaksa anak-anak itu mengamalkan ajaran Hindu. Hanya Mahkamah Syariah yang ada bidangkuasa untuk tentukan status keislaman mana-mana pihak.
Justeru, berdasarkan duluan kes Indira Ghandi itu, kemungkinannya sebahagian tuntutan Puan Loh itu akan dibenarkan khasnya berkaitan pengislaman sepihak dan sebahagian yang lain akan ditolak khasnya permohonan untuk mengisytiharkan anak itu beragama Hindu.
Seperkara lagi, fakta kes Puan Loh berbeza dengan kes Indira Ghandi yang mana dalam kes Indira Ghandi anak tersebut tidak pernah dibawa kepada Pendaftar Muallaf untuk mengucap dua kalimah shahadah berbanding dengan fakta Puan Loh yang mana anak-anak tersebut telah dibawa kepada Pendaftar Muallaf.
Keempatnya, isu keislaman sepihak ini pernah timbul apabila kerajaan BN pada masa itu ingin pinda S.88A Akta 164 (Law Reform Marriage & Divorce) tetapi akhirnya kerana tunduk kepada desakan politik seksyen itu tidak jadi dipinda.
Kelimanya, isu yang lebih besar adalah bagaimanakah JAKIM dan Majlis Agama Islam negeri-negeri menangani masalah saudara baru. Setakat yang dimaklumkan bahawa saudara baru ini hanya ada satu unit khusus sahaja. Sewajarnya isu saudara baru ini ditadbir di bawah satu Jabatan khas di JAKIM yang akan menyelaraskan aktiviti dengan semua Majlis Agama. Cara yang lebih efisien adalah buat satu institusi khas seperti lembaga yang lengkap dengan perjawatan dan kakitangan seperti mana yang dibuat untuk Lembaga Zakat atau wakaf. Sudah sampai masanya 1/8 daripada kutipan zakat itu diperuntukkan kepada institusi saudara baru.
.........................................
PAS kata Puan Loh ini ingin tukar akidah anak tersebut yang telah diislamkan oleh bapa mereka dan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini
Puan Loh pula kata dia failkan kes itu bagi memohon deklarasi
i. Ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.
ii. Ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.
iii. Memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya selain membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam jika ia telah dikeluarkan.
iv. Memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.
v. Menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, dalam versi bahasa Malaysia dan Inggeris, seperti yang dipinda oleh Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Comments

Popular posts from this blog

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk mem...

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...