*LOH, MAZA & RAMASAMY: POLEMIK KEISLAMAN 3 KANAK-KANAK*
Begitu hangat dibicarakan mengenai polemik keislaman 3 kanak-kanak. 3 kanak-kanak itu adalah lahir daripada perkahwinan pasangan bukan Islam. Selepas berlaku pergaduhan rumah tangga, ibu bapa ini telah berpisah dan kemudiannya 3 anak mereka telah dibawa oleh bapa mereka. Selanjutnya, bapa mereka telah memeluk Islam dan anak-anak mereka telah turut memeluk Islam. Bapanya kini dikhabarkan berada di dalam penjara dan seterusnya ibu kanak-kanak itu, Loh Siew Hong telah memfailkan kes bagi menuntut hak jagaan bagi kanak-kanak berkenaan.
Pada asalnya isu ini hanya berkisar mengenai hak jagaan kanak-kanak ini. Namun, isu ini menjadi polemik baharu apabila dikatakan kanak-kanak itu telah memeluk agama Islam dengan persetujuan bapa mereka tetapi tanpa persetujuan ibu mereka. Pada masa yang material itu, Mufti Perlis, Dr MAZA menegaskan bahawa keislaman kanak-kanak itu adalah sah menurut Enakmen berkaitan agama Islam di Perlis.
Selepas itu, Dr P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pula menyatakan status keislaman kanak-kanak ini akan dicabar di Mahkamah kerana tidak mengikut proses perundangan. Maka, habis semua orang ‘trigger’ dengan seruan untuk menyelamatkan akidah kanak-kanak ini. Masing-masing mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam mesti bersatu-padu mempertahankan akidah kanak-kanak. Nasib baik tiada pula yang menyeru dibuat demonstrasi di Padang Merbok seperti yang selalu dibuat sebelum ini. Jika tidak pasti sudah penuh orang berbaju ‘purple’’ di Padang Merbok itu berbuat perkara yang sia-sia.
Sebenarnya apakah kedudukan undang-undang dan hukum syarak dalam hal keislaman kanak-kanak ini? Ini yang perlu difahami dan diperjelaskan oleh ahli politik dan ahli agama seperti Ramasamy dan Maza. Negara Malaysia ini ada kedaulatan undang-undang. Maka, jika ingin wujud keharmonian perlulah semua orang patuh dengan undang-undang tersebut. Jika undang-undang mengatakan hal itu sebagai hitam, maka katakan hitam. Janganlah mencari pelbagai alasan bahawa sebenarnya ianya kelabu atau biru sedangkan kita tahu hal itu hitam.
Islam di Malaysia ini ada dua jenis. Pertamanya, Islam yang berbentuk pentadbiran seperti pendaftaran pernikahan, pendaftaran imam dan bilal, pengurusan masjid, perlantikan hakim syarie dan termasuklah pendaftaran mualaf. Keduanya, Islam yang berkaitan langsung dengan hukum fikah seperti puasa, solat, menunaikan zakat, makanan halal haram dan mengucap dua kalimah syahadah.
Kita fokuskan dahulu berkaitan polemik yang ditimbulkan oleh Dr MAZA ini bahawa keislaman kanak-kanak itu akan terancam dan kanak-kanak itu akan terdedah kepada kemurtadan. Benarkah hal sebegitu? Jika benar sebegitu maka ini salah orang Islam yang bersekongkol dengan DAP yang anti Islam. Begitulah skrip yang akan diulang-ulang tanpa jemu oleh pengikut-pengikut yang wala’un membuta tuli.
P. Ramasamy pula melihat bahawa proses mengislamkan kanak-kanak itu tidak mengikut peraturan apabila ibunya tidak pernah dilibatkan dan kebenaran dari ibunya tidak diperolehi. Ini berdasarkan duluan kes Indra Ghandi yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kanak-kanak itu mesti mendapat kebenaran kedua ibu dan bapanya sebelum didaftarkan sebagai mualaf atau penganut agama Islam. Ini juga difahami oleh sesetengah orang sebagai kononnya Ramasamy sebagai orang yang anti Islam. Ramasamy pula mewakili parti DAP maka terpalitlah kepada DAP anti Islam dan sesiapa yang bertahaluf siasi dengan DAP juga akan dianggap kuda tunggangan DAP yang anti Islam. Ini dijadikan modal politik oleh orang politik untuk dapat undi Melayu Islam.
Seperti mana yang dikatakan tadi, Islam di Malaysia ini terbahagi kepada dua, pentadbiran yang menentukan prosedur dan substantif yang menjadi teras hukum fikah. Sebenarnya tidak timbul langsung Mahkamah Sivil akan campur tangan menentukan status keislaman atau akidah kanak-kanak itu. Mahkamah Sivil hanya menyemak sama ada pendaftaran status mualaf kanak-kanak itu telah dibuat menurut proses undang-undang atau tidak. Jika didapati proses itu dibuat secara betul maka pendaftaran itu akan kekal. Jika proses pendaftaran itu dibuat secara tidak betul maka nama itu akan dibatalkan dalam buku pendaftaran.
Apakah status agama kanak-kanak itu setelah namanya didaftarkan? Mahkamah Sivil tidak akan membuat keputusan atas status agama kanak-kanak itu. Hanya namanya akan dibatalkan dalam daftar buku mualaf. Ini yang barangkali menimbulkan polemik apabila ahli agama terutama ahli agama yang berjawatan ini tidak memberikan fakta sebenar atau pun dia sendiri pun bingung dan tidak memahami peruntukan undang-undang berkaitan pendaftaran ini. Tiada dalam mana-mana kitab fikah yang mengatakan bahawa mana-mana orang yang telah menjadi mualaf perlu didaftarkan dalam buku daftar.
Dalam kitab fikah disebutkan bahawa orang itu menjadi Islam apabila dia telah mengucap atau berlafaz dengan seikhlas hatinya, waras akal fikiran dan tanpa paksaan akan perkataan ‘Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu nabi pesuruh Allah’. Maka, di saat itu beliau akan menjadi orang Islam.
Ada pun kehendak untuk pendaftaran ini diwujudkan melalui enakmen berkaitan agama Islam sahaja untuk tujuan rekod pentadbiran. Dengan rekod yang ada ini maka akan memudahkan urusan saudara baru seperti untuk mendapat kad mualaf, mendapat bantuan zakat dan untuk urusan lain.
Oleh itu, jika Mahkamah Sivil membatalkan pendaftaran keislaman ketiga-tiga kanak-kanak ini sekalipun ianya tidak menjejaskan keislaman mereka selagi kanak-kanak ini masih memegang kepada dua kalimat syahadah. Apa yang berlaku hanyalah pendaftaran nama mereka dalam buku pendaftaran itu dibatalkan dan pendaftaran itu boleh dibuat semula selepas itu selepas syarat-syarat dipatuhi. Apa pun, katakan ibunya, Puan Loh tidak bersetuju sekalipun nama kanak-kanak ini didaftarkan maka kanak-kanak ini boleh mendaftarkan sendiri apabila mereka berusia 18 tahun. Sementara itu, akidah kanak-kanak itu tidak terjejas. Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah bagaimana kanak-kanak ini dan juga ibunya itu disantuni oleh orang-orang agama khasnya pihak berkuasa agama. Apakah kebajikan mereka telah diuruskan dengan baik. Apakah makan minum, pelajaran, tempat tinggal dan pekerjaan ibu mereka telah terjaga.
Samalah kedudukan ini seperti satu pasangan yang berpoligami di Thailand. Meskipun pernikahan itu sah tetapi ianya tidak boleh didaftarkan di Malaysia sehinggalah satu perintah pendaftaran nikah itu diperolehi daripada Mahkamah Syariah. Jadi apakah pernikahan pasangan itu tidak sah jika tidak didaftarkan? Perkahwinan itu tetap sah sekiranya cukup kesemua lima rukun nikah itu. Cuma pasangan itu akan mempunyai masalah dengan pihak pentadbiran kerana tiada sijil nikah dikeluarkan kepada mereka.
Oleh itu, isu Loh, MAZA dan Ramasamy ini sebenarnya isu yang bukan isu. Isu ini hanyalah isu yang dihangatkan oleh agamawan yang faqih ilmu substantif agama tetapi dangkal dalam ilmu pentadbiran hukum Islam dan ilmu perlembagaan. Tambah hangat lagi apabila ahli politik yang berkepentingan telah menabur perencah api untuk memburukkan musuh politiknya. Isu ini hanyalah berkaitan dengan keesahan prosedur pendaftaran keislaman kanak-kanak itu dalam buku daftar mualaf semata-mata. Isu ini bukan isu kemurtadan kanak-kanak tersebut.
Comments