Skip to main content

Mencipta Peluang - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 3

Sewaktu mula menjadi peguam dahulu, saya hanya berfikir untuk menjadi peguam yang terbaik. Seperti mana yang ditulis sebelum ini, peguam-peguam senior menjadi sumber inspirasi saya untuk memajukan diri. Bila membaca suratkhabar mengenai kejayaan peguam senior seperti mendiang Karpal Singh, langsung terdetik dalam hati betapa hebat beliau beraksi di hadapan hakim sehingga membolehkan kliennya dilepaskan.

Namun, sebenarnya imaginasi itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya kita mencipta peluang. Ada peguam yang berjaya mengumpul harta itu kerana beliau adalah seorang bertuah dilahirkan dalam famili yang sudah berjaya. Tambahan lagi, jika ada ahli familinya yang telah menjadi peguam dan mempunyai senarai klien yang panjang.

Tetapi, kebanyakan orang sifatnya tidak begitu. Kebanyakannya lahir ke dunia ini tanpa mempunyai apa-apa harta atau tulang belakang (back up) yang kuat daripada ahli keluarga. Maka jika kita bersifat seperti kapal layar yang tiada nakhoda maka kita akan dihanyutkan oleh arus atau ombak mengikut arah angin. Ini akan menyebabkan kapal layar itu tidak akan sampai kepada tujuan destinasi. Justeru, kapal layar itu harus mempunyai pedoman dan hala tuju yang jelas. Sang nakhoda akan membawa kapal layar itu menuju destinasi dengan bantuan peta dan kompas.

Bagi peguam, sukar untuk berjaya jika beliau tiada skil khusus dalam mencipta peluang. Bagi seorang doktor, barangkali peluang akan datang jika ada manusia yang sakit. Begitu juga bagi arkitek, peluang akan datang jika ada yang ingin membina rumah atau bangunan. Bagi peguam, dunia kelihatan begitu abstrak kerana siapa yang ingin berjumpa peguam dalam keadaan biasa. Orang hanya berjumpa peguam jika mereka mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan. Malah, jika mereka ada masalah pun mereka tidak mencari peguam. Mereka hanya mencari peguam jika keadaan betul-betul mendesak!

Namun, saya tidak bermaksud peguam harus mencipta masalah seperti peguam pula yang menggalakkan perbuatan jenayah dilakukan supaya peguam mempunyai pelanggan di kalangan penjenayah. Bukan juga peguam berdoa setiap hari supaya ada pelanggan yang bercerai supaya beliau akan mendapat pelanggan. Bukan juga bermaksud supaya setiap hari ada kemalangan jalan raya berlaku supaya boleh mewakili mangsa dalam menuntut insuran. Tetapi, yang dimaksudkan adalah bahawa peguam harus bijak mencipta peluang dalam masa pelanggan menghadapi krisis. Ini kerana, semasa krisis ini peguam dapat memainkan peranan untuk membantu pelanggan menyelesaikan krisis yang dihadapi itu, Hasil daripada bantuan yang diberikan itu maka peguam akan mendapat sedikit upah.

Saya pernah terbaca kisah seorang pereka bentuk hiasan dalaman yang baru membuka firmanya. Pada peringkat awal, beliau menyatakan bahawa beliau tidak tahu untuk mencari pelanggan. Langsung, terdetik di fikirannya bahawa beliau perlu keluar mencari pelanggan. Justeru, tiap-tiap kali ada pemaju perumahan melancarkan projek baharu, beliau akan pergi ke sana dan berbual-bual dengan pembeli rumah dan pada masa yang sama mengedarkan kad perniagaan serta memberikan nasihat berkaitan tatacara merekabentuk hiasan dalaman. Tidak lama setelah itu, pelanggan mula datang mencurah-curah dek kerana usahanya dalam mencipta peluang.

Bagi peguam ianya adalah lebih sukar kerana bidang kepeguaman ini sangat luas. Bagi graduan undang-undang yang baharu selesai menjalani latihan dalam kamar pasti masih terumbang ambing dalam menentukan hala tujunya. Ini kerana pada peringkat ini, beliau belum tahu ke arah mana patut dituju. Jika beliau banyak didedahkan kepada aspek 'conveyancing' semasa latihan dalam kamar pasti beliau lebih nampak perkara itu. Jika beliau lebih didedahkan kepada aspek litigasi maka beliau akan lebih cenderung ke arah litigasi.

Saranan saya, bagi seorang pelatih dalam kamar beliau hendaklah paling kurang cuba mencari pengalaman baharu sebagai seorang peguam (legal assistant) sebelum membuka firma sendiri sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun untuk beliau benar-benar masak dengan sepak terajang industri guaman. Proses ini akan membantu beliau untuk mencipta peluang kelak.

Bagi peguam yang telah membuka firma sendiri, beliau harus mencipta peluang tersebut dan langkah pertama mencipta peluang adalah dengan merangka pelan perniagaan. Seperkara yang harus diketahui, membuka firma guaman bukan setakat memberikan perkhidmatan tetapi ia adalah perniagaan. Perkhidmatan guaman hanyalah produk perniagaannya. Oleh itu, pelan perniagaan yang harus ada adalah dengan memberikan perhatian kepada modal kerja, sumber tenaga manusia (staf pejabat), peralatan perniagaan (komputer, printer, alatulis, kerusi meja, bilik mesyuarat) dan yang paling penting adalah prospek pelanggan.

Kegagalan paling besar bagi seorang peguam yang membuka firmanya sendiri adalah percubaannya untuk mereplikasi firmanya dengan firma tempat beliau bekerja sebelum ini. Ini kerana, tidak mungkin kita akan menjadi lebih baik berbanding dengan firma yang telah dibina selama bertahun-tahun. Jika firma tersebut banyak membuat kerja-kerja perbankan seperti menguruskan dokumentasi pinjaman dan hartanah kerana peguam itu mengenali bos bank tersebut, maka tidak mungkin kita dapat mengatasi hubungan baik peguam itu dengan bos bank tersebut. Maka kita lebih baik kita mencari pasaran conveyancing dan hartanah dalam bentuk baharu.

Lazimnya, jika disebut conveyancing maka akan terlintas mengenai kerja-kerja dokumentasi perbankan atau pemaju perumahan. Tatkala itu, jika kita mengambil langkah yang sama dengan turut bersaing untuk mendapatkan kerja perbankan dan pemaju perumahan mengikut kaedah yang konvensional maka kita akan mendapati 'kek' itu sudah menjadi semakin kecil.

Maka, kita perlu mencipta peluang baharu. Nah! Bagaimanakah caranya? Peluang baharu hanya akan datang jika kita berfikir di luar kotak. Peluang baharu hanya akan datang jika pembaharuan dalam berfikir dan penyelesaian masalah. Ingatlah! Sebahagian daripada kerja peguam adalah menyelesaikan masalah pelanggan. Seperti yang dinyatakan di atas, peluang datang semasa klien menghadapi krisis. Jika tiada krisis maka tiada pelanggan yang sanggup menghabiskan wang untuk mengupah peguam.

Jika kita masih terikat dengan kaedah konvensional dalam mencari pelanggan maka kita akan terus terperangkap dalam kepompong itu. Contohnya, kaedah konvensional untuk mencari pelanggan adalah dengan berjumpa pegawai bank saban minggu untuk bersembang sambil belanja makan tengahari. Kaedah baharu perlukan pembaharuan. Ada rakan peguam yang menggunakan kaedah baharu seperti beliau membuat persefahaman dengan agen hartanah. Lazimnya, agen hartanah akan pergi kepada peguam yang efisien dan jika kita mampu menjadi efisien maka kita boleh membuat rekomendasi pelanggan kepada  pihak bank dan pihak bank pula sebagai langkah 'reciprocal' akan menghantar balik arahan untuk penyediaan dokumentasi pelanggan kepada kita. Ada pula peguam yang memilih untuk mendalami ilmu perbankan Islam dan menyiapkan dirinya untuk menjadi tenaga pakar sehingga beliau mampu mengendalikan bengkel atau seminar berkaitan perbankan Islam. Ini menjadikan nama peguam itu tersohor di dalam industri perbankan Islam dan dengan itu mudah baginya untuk memposisikan firmanya sebagai firma berketrampilan (leading firm) dalam industri perbankan Islam. Ada pula rakan peguam yang memilih untuk menceburi bidang perbankan korporat dan meninggalkan bidang perbankan runcit kerana fi bagi penyediaan dokumen perbankan korporat mungkin 10 kali ganda lebih besar daripada fi bagi penyediaan dokumen perbankan runcit..

Pokoknya, industri kepeguaman bukanlah industri yang hampir mati. Peluang untuk berjaya dalam industri kepeguaman ini masih terbuka luas. Baru-baru ini, kerajaan telah meliberalisasikan industri kepeguaman yang mana peguam yang beramal di negara luar boleh datang untuk beramal di Malaysia dengan syarat-syarat khas. Ini adalah cabaran baharu kepada peguam di Malaysia. Dalam masa yang sama, saya percaya ini adalah peluang baharu bagi peguam Malaysia untuk memperkenalkan diri mereka di peringkat antarabangsa dan seterusnya mencipta peluang baru dengan meraih pelanggan daripada luar negara. Sudah tentu fi yang dibayar rakyat asing kepada peguam Malaysia akan berlipat kali ganda daripada fi yang dibayar oleh pihak tempatan. Saya punya teman peguam yang mana memberitahu saya bahawa majoriti kliennya sekarang adalah warga Nigeria dan upah yang dibayar lazimnya dalam matawang dolar. Bayangkan tuan puan, bandingannya antara RM30,000 dan USD30,000 upah bagi satu kes untuk mewakili anakguam dalam kes melibatkan S.39B Akta Dadah Berbahaya. Lumayan bukan!

Untuk mempersiapkan diri peguam bagi meraih peluang itu, maka jaringan hubungan perlu diperluaskan, ilmu baharu harus dipertingkatkan, perkembangan semasa hendaklah diikuti, kemampuan berbahasa Inggeris perlu diperbaiki dan tidak kurang pentingnya sekarang adalah persiapan peguam dari aspek teknologi dan digital kerana sekarang nampaknya trend online business ini sangat berkembang pesat.

Selamat Maju Jaya!


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor