HUJAH PENGGULUNGAN
PLAINTIF
Dengan
nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
KETERANGAN DAN FAKTA KES
Pihak-Pihak
1. Kes ini merupakan
tuntutan Plaintif xxx (No.K/P: xxx) terhadap Defendan yyy (No. K/P: xxx).
Plaintif adalah suami kepada Defendan. Manakala Defendan adalah isteri kepada
Plaintif.
Jenis
Tuntutan
2. Kes ini
didaftarkan sendiri oleh Plaintif, dimulai dengan saman dan pernyataan tuntutan
bertarikh 06/10/2009. Tuntutan Plaintif ialah untuk memohon kebenaran berkahwin
secara poligami (untuk isteri kedua) di bawah seksyen 23 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Ini adalah kali pertama Plaintif memohon
kebenaran berpoligami. Sebelum ini Plaintif tidak pernah membuat permohonan
yang sama di mana-mana Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.
Kehadiran
dan Perwakilan
3. Dalam tuntutan
ini, Plaintif telah hadir dengan diwakili oleh Peguam Syarienya Tuan Juraish
Bin Kamaruddin, dari Tetuan Juraish Syariah Associates berdasarkan wakalah
bertarikh 27/10/2009. Manakala Defendan hadir bersendirian tanpa diwakili
Peguam Syarie.
Penyampaian
dan Pembelaan
4. Penyampaian
Saman kepada Defendan telah disempurnakan sendiri oleh Plaintif secara ke diri
pada 06/10/2009 berdasarkan kepada affidavit penyampaian yang difailkan oleh
Plaintif bertarikh 12/10/2009. Defendan seterusnya telah memfailkan
pembelaannya pada 12/10/2009 dengan menyatakan persetujuan penuh terhadap
tuntutan Plaintif.
Bidang
Kuasa Mahkamah
5. Mahkamah ini
berbidang kuasa mendengar tuntutan ini berdasarkan kepada alamat permastautinan
kedua-dua pihak di dalam Negeri Selangor iaitu di xxx xxxxxxxxxxxx Puchong
Selangor. Alamat tersebut sama seperti yang tercatat dalam kad pengenalan
kedua-dua pihak yang ditanda sebagai P1 dan P3.
Pendengaran
Kes
6. Keterangan
Plaintif yang diwakili Peguam Syarienya, telah didengar pada 02/12/2009 dalam
Mahkamah Tertutup dengan kehadiran Defendan secara bersendirian dan bakal
isteri kedua. Manakala wali kepada bakal isteri tidak hadir.
Keterangan Plaintif dan Alasan Poligami
7. Dalam soal utama
Plaintif telah memberikan keterangan antara lainnya seperti mana berikut:
i)
Plaintif memohon kebenaran untuk berkahwin kali kedua
secara poligami dengan xxxxxxxxxx, K/P: xxx yang beralamat di xxx, Kuala
Terengganu, Terengganu seperti tercatat dalam kad pengenalan bakal isteri yang
ditanda sebagai P5. Bakal isteri Plaintif adalah berstatus seorang janda
berdasarkan kepada surat
perakuan cerai yang ditanda sebagai P6.
ii)
Plaintif telah mempunyai seorang isteri iaitu Defendan
yang telah diakadnikahkan pada 02/04/1988 di Kg. Wakaf Tengah Kuala Terengganu
berdasarkan kepada surat
perakuan nikah yang ditandakan sebagai P2.
iii) Plaintif telah
dikurniakan 4 orang anak daripada perkahwinan dengan Defendan iaitu aaa
(06/03/1989), bbb (23/04/1990), ccc (28/02/1994) dan ddd (01/07/1997)
berdasarkan kepada sijil kelahiran anak-anak Plaintif yang ditandakan secara
kolektif sebagai P4.
iv)
Plaintif telah mendapatkan pandangan isteri pertama
iaitu Defendan mengenai permohonan poligami ini dan Defendan telah bersetuju
dengan permohonan tersebut.
v)
Plaintif tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal
isteri. Begitu juga Defendan tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal
isteri Plaintif.
vi)
Wali kepada bakal isteri ialah abang sebapa bernama vvv.
Bakal isteri Plaintif mempunyai 3 orang abang sebapa sebagai wali. Bapa kandung
kepada bakal isteri telah meninggal dunia pada 5 September 2007. Bukti kematian
bapa bakal isteri adalah berdasarkan kepada surat
pemberitahuan kematian daripada Kuala
Terengganu Specialist
Hospital bertarikh
05/09/2007 dan Permit Mengkuburkan yang ditanda secara kolektif sebagai ID7.
vii) Sejauh
pengetahuan Plaintif, wali kepada bakal isteri telah bersetuju dengan
perkahwinan poligami ini. Akan tetapi Plaintif belum pernah berjumpa sendiri
dengan bakal wali.
viii) Ketika
pendengaran kes ini Plaintif telah memohon untuk membuat pindaan secara lisan
kepada alasan dalam penyata tuntutan. Defendan pula tidak menyatakan sebarang
bantahan. Justeru Mahkamah telah membenarkan pindaan lisan dilakukan menurut
seksyen 83 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Alasan
Plaintif berpoligami adalah seperti berikut:
a) Alasan Pertama:
Perkahwinan poligami ini adalah patut dan perlu memandangkan isteri pertama
iaitu Defendan berkeuzuran melahirkan zuriat tambahan untuk Plaintif. Ini
kerana perkahwinan Plaintif dengan Defendan hanya dikurniakan 4 orang anak di
mana usia anak bongsu telah mencapai 12 tahun dan usia Defendan sekarang adalah
46 tahun. Dalam usia sedemikian Defendan tidak lagi bersedia untuk melahirkan
zuriat tambahan. Plaintif yang juga berumur 46 tahun berhasrat untuk menambah
zuriat dengan mengahwini isteri kedua iaitu bakal isteri yang baru berumur 29
tahun. Dari segi latar belakang keluarga Plaintif sendiri mempunyai seramai 6
orang adik-beradik.
b)
Alasan
Kedua: Plaintif
berkemampuan untuk menanggung nafkah isteri pertama iaitu Defendan, nafkah
bakal isteri dan semua anak yang di bawah tanggungannya. Plaintif bekerja
sebagai Penolong Pengarah Kanan di xxxxxxxxxxxxx dengan pendapatan kasar
sebanyak RM6,283.46 sebulan. Pendapatan bersih Plaintif setelah ditolak
potongan dalam slip gaji adalah sebanyak RM4,857.40. Bukti pendapatan Plaintif
adalah berdasarkan kepada slip gaji Plaintif bagi bulan Julai, Ogos dan
September 2009 yang ditandakan secara kolektif sebagai P8. Pada masa
sekarang tanggungan dan perbelanjaan kasar Plaintif adalah sebanyak RM3,726.06
sebulan dengan perincian seperti berikut:
Perkara
|
Amaun
|
Rumah kelamin tempat tinggal bersama dengan Defendan
sekarang. (Bukti bayaran ada tercatat dalam slip gaji Plaintif sebagai
Pinjaman Perumahan 1st loan)
|
RM684.06
|
Kereta Proton Perdana. (Bukti bayaran ada tercatat
dalam perjanjian jual beli dengan Public Bank yang ditanda sebagai P9)
|
RM731.00
|
Kereta Proton Satria Neo. (Bukti bayaran ada tercatat
dalam perjanjian jual beli dengan Eon Bank yang ditanda sebagai P10)
|
RM539.00
|
Nafkah isteri pertama iaitu Defendan. Jumlah nafkah
ini telah dipersetujui oleh Defendan sendiri.
|
RM500.00
|
Nafkah anak-anak iaitu anak
ketiga dan keempat sahaja. Manakala anak pertama sedang melanjutkan pengajian
bidang perubatan (Tahun 3) di Mesir dan anak kedua sedang melanjutkan
pengajian bidang kejuruteraan (Tahun 1) di
|
RM500.00
|
Cukai pendapatan Plaintif. (Bukti
bayaran seperti tercatat dalam slip gaji Plaintif)
|
RM204.00
|
Pinjaman peribadi. (Bukti bayaran
adalah seperti dalam slip gaji Plaintif yang tercatat sebagai potongan
Angkasa)
|
RM534.00
|
Yuran Persatuan (Bukti bayaran
adalah seperti dalam slip gaji Plaintif yang tercatat sebagai lain-lain
potongan.
|
RM4.00
|
JUMLAH BESAR PERBELANJAAN
|
RM3,696.06
|
JUMLAH PENDAPATAN
|
RM6,283.46
|
BAKI PENDAPATAN
|
RM2,587.40
|
Sekiranya
permohonan poligami ini diluluskan, maka tanggungan tambahan yang wajib
ditanggung oleh Plaintif hanyalah nafkah untuk isteri kedua sebanyak RM500.00
sebulan dan peruntukan untuk menyediakan tempat tinggal (membeli rumah) untuk
isteri kedua sebanyak RM600.00 sebulan. Jumlah ini telah dipersetujui oleh
bakal isteri sendiri.
c)
Alasan
Ketiga: Plaintif yakin dan berupaya untuk
berlaku adil kepada kedua-dua isteri. Plaintif memperuntukkan giliran bermalam
sebanyak 4 hari untuk isteri pertama (Defendan) dan 3 hari untuk isteri kedua
(bakal isteri). Pembahagian giliran ini dilebihkan satu hari untuk isteri
pertama atas dasar untuk menziarahi anak-anak Plaintif terutamanya semasa
hujung minggu di mana mereka tinggal bersama isteri pertama (Defendan).
d)
Alasan
Keempat: Perkahwinan poligami ini tidak akan
menyebabkan kemudaratan kepada Defendan selaku isteri pertama. Plaintif tidak
ada meminjam wang daripada Defendan semata-mata untuk berkahwin dengan bakal
isteri kedua. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh Defendan.
ix)
Mengenai tuntutan sampingan, Plaintif juga memohon
supaya harta sepencarian yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan Plaintif
dengan Defendan, setakat yang telah menjadi milik mutlak mereka dibahagikan menurut
kadar ½ kepada Plaintif dan ½ kepada Defendan. Cara pembahagian harta
sepencarian ini adalah dengan cara dibahagikan kepada pihak Plaintif dan
Defendan apabila harta tersebut dijual. Defendan juga bersetuju dengan tuntutan
Plaintif ini. Harta-harta sepencarian tersebut adalah seperti berikut:
Harta
|
Pemilik Semasa
|
Rumah teres 2 tingkat beralamat xxxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang
dengan pihak bank)
|
Plaintif
|
Rumah kembar 4 beralamat xxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)
|
Defendan
|
Rumah Apartment xxxxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)
|
Defendan
|
Kereta Proton Perdana 2.0(A) V6 No. Pendaftaran xxxxxxxxxxx.
(Masih berhutang
dengan pihak bank)
|
Plaintif
|
Kereta Proton Satria Neo No. Pendaftaran xxxxxxxxxx (Masih berhutang dengan pihak bank)
|
Plaintif
|
Keterangan Defendan
8. Dalam soal utama
yang dikemukakan oleh Mahkamah, Defendan telah memberikan keterangan bahawa
Defendan bersetuju dengan permohonan Plaintif untuk berpoligami. Defendan juga
bersetuju dengan pembahagian harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan mengikut
kadar ½ bahagian setiap pihak. Defendan juga bersetuju dengan semua alasan dan
keterangan yang dikemukakan oleh Plaintif dalam Mahkamah ini.
Keterangan Bakal Isteri
9. Dalam soal utama
yang dikemukakan oleh Mahkamah kepada bakal isteri Plaintif, beliau telah
memberikan keterangan antara lainnya seperti mana berikut:
- Saya berumur 29
tahun.
- Saya sedang
belajar peringkat ijazah dalam bidang business administration.
- Selepas bercerai
dengan suami terdahulu saya telah berhenti kerja dan menyambung pengajian.
- Saya tidak
dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu.
- Saya bersetuju
dengan permohonan Plaintif untuk berpoligami dengan saya.
- Saya kenal
dengan Plaintif selepas bercerai. Saya menyewa rumah dengan kawan-kawan di mana
rumah sewa tersebut adalah milik Plaintif.
- Tempoh pengajian
saya adalah selama 1 tahun setengah hingga 2 tahun.
- Saya telah
membuat solat istikharah dan berasa tenang.
PENGHUJAHAN
KETERANGAN
10. Berdasarkan
keterangan yang dikemukakan oleh pihak Plaintif, Defendan dan bakal isteri,
maka adalah dihujahkan seperti berikut:
i)
Permohonan Plaintif untuk berpoligami atau mempunyai
isteri kedua adalah suatu yang diharuskan oleh syarak berdasarkan firman Allah
Taala:
(Surah al-Nisa’ (4); ayat 3)
Bermaksud:
“Maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu sukai daripada wanita-wanita dua,
tiga atau empat. Maka jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah
dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba perempuan yang kamu miliki.”
ii)
Plaintif telah berjaya membuktikan keempat-empat alasan
yang dikemukakan olehnya untuk mendapatkan kebenaran berpoligami kerana kesemua
kehendak yang ditetapkan dalam subseksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam (Negeri Selangor) 2003 telah dapat dipatuhi.
a)
Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (a) Plaintif telah
berjaya membuktikan bahawa perkahwinan poligami ini sebagai suatu yang patut
atau perlu. Ini kerana alasan yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa isteri pertama (Defendan) mempunyai keuzuran jasmani untuk melahirkan zuriat
tambahan adalah suatu yang wajar dan boleh diterima mengikut hukum syarak
kerana meramaikan zuriat seperti yang dihajati oleh pihak Plaintif adalah suatu
yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Perkara
tersebut dijelaskan dalam banyak hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i,
Ahmad, al-Baihaqi, al-Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim (Berdasarkan carian
secara digital menggunakan perisian al-Maktabah al-Syamilah Versi 2) . Berikut
adalah hadith yang tercatat dalam Sunan Abu Daud, terbitan Darul Kutub
al-Ilmiyyah, cetakan ketiga 2007, dalam Kitab al-Nikah, Bab Man Tazauwaja
al-Walud, jilid kompilasi penuh, halaman 327, hadith nombor 2050:
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ
أَخْبَرَنَا مُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدٍ ابْنَ أُخْتِ مَنْصُورِ بْنِ زَاذَانَ عَنْ مَنْصُورٍ
يَعْنِي ابْنَ زَاذَانَ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ
قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ
وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا قَالَ لاَ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ
فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي
مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ
(Sila
rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)
Bermaksud: “Seorang
lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku menyukai seorang wanita yang berketurunan baik, mempunyai
kedudukan dan berharta, akan tetapi dia tidak boleh beranak. Adakah boleh aku
menikahinya?” Maka Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menikahinya”. Kemudian
lelaki itu datang lagi untuk kali kedua dan bertanya soalan yang sama. Lalu
Rasulullah tetap melarangnya. Kemudian dia datang untuk kali ketiga dengan
soalan yang sama. Lalu Rasulullah bersabda: “Kahwinilah wanita yang penyayang
dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai.”
- Adalah
dihujahkan di sini bahawa fakta bahawa bakal isteri Plaintif tidak pernah
dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu tidaklah boleh menafikan sifat
asalnya sebagai seorang yang mampu melahirkan anak. Ini kerana tiada keterangan
dikemukakan bagi mengesahkan bakal isteri Plaintif memang tidak mampu
melahirkan anak. Malah menurut hukum syarak soal mendapatkan anak adalah diluar
kuasa manusia untuk menentukan kerana semuanya adalah tertakluk kepada
ketentuan Allah. Mahkamah ini wajar melihat kepada sifat zahir bakal isteri
Plaintif yang masih muda dan pada kebiasaannya masih berpeluang untuk
mendapatkan zuriat.
b) Mengenai
kehendak subseksyen 23(5) (b) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa
Plaintif berkemampuan menanggung segala nafkah
yang berbangkit dalam perkahwinan poligami ini. Ini kerana jika
dihitung, baki pendapatan Plaintif setelah ditolak segala tanggungan yang bakal
ditanggung berikutan daripada perkahwinan poligami ini adalah berbaki sebanyak
RM1,487.40. Jumlah ini adalah suatu yang munasabah untuk digunakan bagi keperluan
diri Plaintif sendiri. Mengenai ketiadaan nafkah 2 orang anak Plaintif iaitu
anak pertama dan kedua, Plaintif berhak diberi pengecualian daripada memberi
nafkah kepada anak-anak tersebut kerana mereka telah mendapat biasiswa penuh
Kerajaan Persekutuan. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak
ketika perbicaraan. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab
Mughni al-Muhtaj oleh Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah,
cetakan 2000, jilid 5, halaman 183-185:
( وَلَا تَجِبُ ) النَّفَقَةُ ( لِمَالِكٍ
كِفَايَتَهُ ) وَلَوْ زَمِنًا أَوْ صَغِيرًا أَوْ مَجْنُونًا لاِسْتِغْنَائِهِ عَنْهَا
( وَلاَ لِمُكْتَسِبِهَا ) بِأَنْ يَقْدِرَ عَلَى كَسْبِ كِفَايَتِهِ مِنْ كَسْبٍ حَلاَلٍ
يَلِيقُ بِهِ لاِنْتِفَاءِ حَاجَتِهِ إلَى غَيْرِهِ ، وَإِنْ كَانَ يَكْسِبُ دُونَ
كِفَايَتِهِ اسْتَحَقَّ الْقَدْرَ الْمَعْجُوزَ عَنْهُ خَاصَّةً .
(Sila
rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)
Bermaksud: “Tidak wajib memberi nafkah kepada seseorang yang mempunyai
kecukupannya sendiri walaupun dia seorang yang menghidap penyakit yang tidak
boleh sembuh, kanak-kanak yang masih kecil atau orang cacat mental (gila) disebabkan
adanya kekayaan mereka sendiri daripada memerlukan nafkah…
-
Adalah dihujahkan bahawa anak pertama dan kedua Plaintif
telah mempunyai kecukupannya sendiri kerana mereka telah mendapat dan memiliki
bantuan penuh biasiswa pelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka. Justeru
hukum memberi nafkah ke atas mereka tidak lagi diwajibkan ke atas Plaintif.
c) Mengenai
kehendak subseksyen 23(5) (c) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa
Plaintif berupaya memberi layanan dan giliran yang adil kepada kedua-dua isteri.
Mengenai pembahagian giliran 4 malam kepada isteri pertama (Defendan) dan 3
malam kepada isteri kedua (bakal isteri), perkara ini tidaklah merupakan satu
kezaliman kepada isteri kedua. Ini kerana bakal isteri sendiri telah bersetuju
dan tidak menyatakan sebarang bantahan terhadap pembahagian tersebut. Sekiranya
bantahan berbangkit daripada isteri kedua di kemudian hari, Plaintif boleh
mengubah kaedah giliran mengikut kesesuaian semasa. Tambahan pula Plaintif melebihkan
giliran untuk isteri pertama kerana wujud keperluan khusus untuk melaksanakan
tanggungjawab Plaintif sebagai bapa kepada anak-anak bersama isteri pertama.
Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab al-Iqna’ oleh
al-Khatib al-Syarbini, terbitan Darul
Kutub al-Ilmiyyah, jilid 2, halaman 275-276:
((وَالتَّسْوِيَةُ
فِي الْقِسْمِ بَيْنَ الزَّوْجَاتِ وَاجِبَةٌ وَلاَ يَدْخُلُ عَلَى غَيْرِ الْمَقْسُوْمِ
لَهَا لِغَيْرِ حَاجَةٍ))... أما دخوله لحاجة كوضع متاع أو أخذه أو تسليم نفقة أو
تعريف خبر فجاز لحديث عائشة رضي الله تعالى عنها : )كان
رسول الله صلى الله عليه وسلم يطوف علينا جميعا فيدنو من كل امرأة من غير مسيس أي
وطء- حتى يبلغ إلى التي هو يومها فيبيت عندها( ولا يقضي إذا دخل لحاجة وإن طال الزمن
(Sila
rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)
Hadith
riwayat: Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, al-Hakim, al Tabrani dan al-Daruqatni.
Bermaksud: “Menyamakan dalam giliran bermalam di
antara isteri-isteri adalah WAJIB dan tidak boleh suami memasuki (rumah) isteri
yang bukan pada masa gilirannya tanpa sebarang keperluan… Adapun jika suami
memasuki (rumah) isteri tersebut (yang bukan pada masa gilirannya) kerana
keperluan seperti meletak barang atau mengambilnya, atau menyerahkan nafkah
atau mengetahui perkhabaran maka ia diharuskan berdasarkan kepada hadith Aisyah
r.a. berkata: Rasulullah SAW pernah mengunjungi kami semua lalu Baginda singgah
ke rumah setiap isteri tanpa bersentuhan (yakni bersetubuh) sehingga Baginda
sampai ke (rumah) isteri yang mempunyai giliran pada hari itu, lalu Baginda
bermalam bersamanya.” Dan tidak perlu suami itu menqada’ giliran jika ia dilakukan
kerana keperluan walaupun mengambil masa yang lama.
Berdasarkan kepada hadith tersebut adalah harus
bagi Plaintif melebihkan 1 hari (siang) untuk mengunjungi anak-anak yang
tinggal bersama isteri pertama pada hujung minggu dan tidak perlu diqada’ ini
kerana mengunjungi anak juga adalah satu keperluan yang diiktiraf oleh Syarak.
d) Mengenai
kehendak subseksyen 23(5) (d) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa
perkahwinan Plaintif dengan isteri kedua tidak akan menimbulkan kemudaratan
kepada isteri pertama iaitu Defendan.
Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ yang bermaksud: “Tidak boleh
memudaratkan dan tidak boleh saling membalas dengan kemudaratan” Fakta bahawa perkahwinan poligami ini tidak
memudaratkan isteri pertama tidak pernah dipertikai oleh pihak Defendan yang
merupakan isteri pertama Plaintif. Jika wujud persoalan sama ada terjadi
kemudaratan ke atas Defendan, maka Defendan sendiri hendaklah membuktikannya.
Plaintif tidak diletakkan beban untuk membuktikan wujudnya kemudaratan terhadap
Defendan kerana pada asalnya kemudaratan itu tidak wujud. Ini selari dengan
kaedah fiqhiyyah: الأصل العدم bermaksud: Asal (bagi sesuatu perkara yang mendatang) adalah tiada.
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Plaintif Kitab al-Asybah wa al-Nazair, m/s: 129 seperti di Lampiran
D).
iii)
Adalah juga dihujahkan bahawa ketidakhadiran wali bakal
isteri bukanlah satu kecacatan yang boleh menghalang kebenaran poligami
dikeluarkan oleh Mahkamah ini. Ini kerana alasan-alasan berikut:
a) Keperluan
kehadiran wali kepada bakal isteri yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5)
EUKINS 2003 bukanlah lagi merupakan perkara utama yang perlu diambilkira oleh
Mahkamah di dalam kes ini kerana kesemua 4 syarat untuk mendapatkan kebenaran
berpoligami yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) telah dapat dipenuhi
berdasarkan kepada keterangan Plaintif (suami), isteri sedia ada (Defendan) dan
bakal isteri.
b) Subseksyen 23(5)
perlulah difahami dan ditafsirkan secara purposif, maksud atau tujuan dan
bukannya secara literal. Ini kerana tafsiran secara literal boleh menyulitkan Mahkamah
yang akan terpaksa memanggil “mana-mana orang lain yang difikirkan oleh
Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu”
walaupun orang itu tidak wujud atau kehadirannya tidak diperlukan apabila
kesemua fakta telah diperolehi daripada keterangan pemohon (suami), isteri
sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Mahkamah juga akan
terpaksa memanggil wali bakal isteri walaupun wali bakal isteri tidak wujud
atau ia adalah seorang wali hakim. Oleh sebab itu tafsiran yang lebih sesuai dalam
memahami peruntukan ini adalah tafsiran secara maksud. Dengan tafsiran secara
maksud ini kehadiran pihak-pihak yang disebutkan hanyalah perlu setakat untuk
mendapatkan keterangan mengenai empat perkara utama yang ditetapkan sebagai
syarat poligami di bawah subseksyen yang sama. Sekiranya fakta mengenai
keempat-empat perkara utama itu telah diperolehi tanpa perlu memanggil kesemua
pihak yang disebutkan, maka ia adalah memadai.
c) Dalam kes ini
bakal isteri adalah berstatus janda yang menurut hukum Syarak, tidak boleh
dipaksa berkahwin oleh wali dan seorang janda berhak memilih suami yang
disukainya tanpa perlu mendapat persetujuan wali (Ini tidak bermaksud seseorang
bakal isteri boleh bernikah tanpa wali). Justeru sekalipun wali kepada bakal
isteri tidak bersetuju dengan perkahwinan poligami ini, dia tidak boleh
menjalankan kuasa ijbar (memaksa perkahwinan) terhadap bakal isteri. Bahkan
bakal isteri boleh meneruskan perkahwinan menggunakan wali yang lain sama ada
wali ab’ad atau wali hakim. Menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni
al-Muhtaj, jilid 4, halaman 246-247:
( وَلِلأَبِّ
) وِلاَيَةُ اْلأِِجْبَارِ وَهِيَ ( تَزْوِيجُ ) ابْنَتِهِ ( الْبِكْرِ صَغِيرَةً أَوْ
كَبِيرَةً ) عَاقِلَةً أَوْ مَجْنُونَةً إنْ لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا عَدَاوَةٌ
ظَاهِرَةٌ ( بِغَيْرِ إذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ : { الثَّيِّبُ أَحَقُّ
بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا ، وَالْبِكْرُ يُزَوِّجُهَا أَبُوهَا }
Bermaksud: “Bapa mempunyai kuasa untuk memaksa
perkahwinan anak perempuannya yang masih anak dara sama ada masih kanak-kanak
atau telah dewasa, sama ada anaknya itu berfikiran waras atau gila jika tidak
terdapat permusuhan yang zahir antara ayah dan anak perempuannya itu, (iaitu
boleh memaksa anak perempuannya berkahwin) tanpa keizinannya, berdasarkan
kepada hadith diriwayatkan oleh al-Daruqatni: ((Janda itu lebih berhak ke atas
dirinya daripada walinya, dan anak dara itu boleh dinikahkan (secara paksa)
oleh bapanya)).”
( وَلَيْسَ لَهُ تَزْوِيجُ ثَيِّبٍ
) بَالِغَةٍ وَإِنْ عَادَتْ بَكَارَتُهَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ أَبُو خَلَفٍ الطَّبَرِيُّ
فِي شَرْحِ الْمِفْتَاحِ ( إلَّا بِإِذْنِهَا
) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ السَّابِقِ وَخَبَرِ : { لاَ تُنْكِحُوا الْأَيَامَى حَتَّى
تَسْتَأْمِرُوهُنَّ } رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ .
Bermaksud: “dan tidaklah harus bagi wali menikahkan seseorang janda
yang telah dewasa walaupun janda itu telah menjadi dara semula seperti mana
yang dinyatakan oleh al-Tabari dalam kitab Syarah al-Miftah melainkan dengan
keizinan janda itu, berdasarkan kepada hadith al-Daruqatni di atas dan hadith:
((Tidak boleh kamu menikahkan janda-janda sehingga kamu meminta pandangan-
yakni persetujuan mereka))”
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Plaintif seperti di Lampiran E).
d) Wali yang
berkuasa sebagai wali mujbir kepada bakal isteri iaitu bapa kandung telah pun meninggal
dunia. Justeru tidak terdapat lagi wali mujbir yang berkuasa menikahkan bakal
isteri secara paksa. Wali kepada bakal isteri pada masa sekarang adalah salah
seorang daripada tiga (3) saudara lelaki (abang) sebapa yang tidak mempunyai
sebarang kuasa ijbar. Justeru kehadiran salah seorang daripada mereka tidak
akan dapat memudaratkan hak bakal isteri untuk memilih suami yang disukainya.
e) Sekalipun wali
kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan pernikahan poligami ini dan akan
bertindak sebagai wali enggan (adhal), maka bakal isteri boleh bertindak
memohon kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim yang mana kes ini bukanlah
forum untuk mendengarnya.
f) Tiada peruntukan
yang jelas menetapkan supaya kebenaran berpoligami tidak boleh diberikan
semata-mata kerana ketidakhadiran wali kepada bakal isteri kerana memang
terdapat kes yang mana wali kepada bakal isteri tidak perlu dipanggil iaitu
jika ia melibatkan wali hakim.
g) Hak untuk mempersetujui
atau tidak mempersetujui perkahwinan poligami ini adalah terletak kepada
Defendan sebagai isteri pertama dan bakal isteri kedua. Hak itu tidak terletak
kepada wali bakal isteri. Ini kerana mudarat akibat poligami (sekiranya ada)
hanya akan menimpa isteri sedia ada atau bakal isteri. Kemudaratan tersebut tidak
akan menimpa wali bakal isteri kerana wali bakal isteri bukanlah suatu pihak
dalam perkahwinan poligami tersebut. Hak yang ada pada wali bakal isteri
hanyalah untuk mengakadnikahkan perkahwinan dan bukan untuk memilih atau menentukan
siapakah bakal suami.
h) Keputusan yang
dibuat oleh Mahkamah untuk mengecualikan kehadiran wali kepada bakal isteri
dalam kes ini tidak semestinya akan menjejaskan hak wali tersebut. Jika wali
kepada bakal isteri tidak berpuas hati dengan tindakan Mahkamah yang tidak
memanggilnya hadir ke Mahkamah dalam tuntutan kebenaran poligami ini, satu
semakan kehakiman masih boleh dipohon oleh wali kepada bakal isteri seperti
mana yang diperuntukkan dalam subseksyen 68(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003.
Kesimpulan
dan Relif Yang dipohon
11. Berdasarkan
kepada fakta kes dan penghujahan di atas, Plaintif dengan rendah diri dan
tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan
Plaintif dan mengeluarkan perintah seperti berikut:
a) Mahkamah
meluluskan permohonan Plaintif untuk berkahwin kali kedua (poligami) dengan
bakal isteri fff (K/P: vvv).
b) Mahkamah
memerintahkan Plaintif untuk membayar nafkah kepada Defendan sebanyak RM500.00
sebulan dan kepada isteri kedua sebanyak RM500.00 sebulan.
c) Mahkamah
memerintahkan Plaintif membayar nafkah kepada dua (2) orang anak Plaintif
bernama ccc dan ddd sebanyak RM500.00 sebulan.
d) Mahkamah mengisytiharkan
bahawa harta yang diperolehi oleh Plaintif dan Defendan dalam tempoh
perkahwinan dan setakat yang telah menjadi milik sempurna, seperti dinyatakan
dalam penyata tuntutan adalah harta sepencarian yang hendaklah dibahagikan ½
bahagian kepada Plaintif dan ½ bahagian kepada Defendan sama ada harta tersebut
dijual atau tidak.
e) Apa-apa perintah
lain yang difikirkan suai manfaat menurut Hukum Syarak.
-Wallahu A’lam-
Bertarikh pada 28
haribulan DISEMBER tahun 2009.
Disediakan dan
dihujahkan dengan suci hati oleh:
............………………..
Peguam Syarie
bagi Plaintif
JURAISH BIN KAMARUDDIN
(JAKESS 241)
# Nota Penerbit: Makalah ini adalah sebahagian daripada hujahan peguam Juraish bin Kamaruddin yang digunakan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor Darul Ehsan. Nama dan butiran Plaintif dan Defendan telah saya padamkan bagi tujuan kerahsiaan. Kes ini telah diputuskan dan YA Hakim telah membenarkan permohonan tersebut. Oleh kerana saya berpendapat isu poligami ini banyak menimbulkan polemik dalam masyarakat, maka masyarakat perlu didedahkan mengenai asas persyariatan hukum berpoligami ini dari aspek perundangan dan undang-undang. Semoga peguam syarie yang bermurah hati membenarkan hujahannya ini diterbitkan mendapat ganjaran yang sewajarnya di sisi Allah Taala dan semoga masyarakat umum dapat memanfaatkan makalah ini semaksima mungkin.
Comments
terima kasih atas perkongsian yg sgt bermanfaat ini. jika ada perkongsian berkenaan poligami yg melibatkan isteri sedia ada tidak setuju harap dapat juga dikongsikan.
saya cuma ingin berkongsi bbrp perkara. pertama berkenaan hujah dr berkenaan giliran bermalam. saya tidak dapat bersetuju jika sehari dilebihkan kpd isteri pertama dgn alasan utk bersama anak2 kerana giliran yg dimaksudkan ialah bersama isteri samada bermukim atau bermusafir. dan tidak ada giliran utk anak2 krn ia termasuk dlm hajat. jika fahaman 4-3 ini dipegang sptmana dlm filem p ramlee..maka sy bimbang sindrom tidak adil dlm giliran akan berleluasa dlm masyarakat.
saya berpandangan sbg pihak yg mewakili pihak, dr juga patut bertindak sbg penasihat dan tuan guru utk membimbing pihak2 spy memahami dan mengamalkan contoh giliran yg afdal sepertimana yg ditunjukkan oleh rasulullah serta telah dibahaskan oleh para ulama. adalah lebih tepat jika pihak2 menjalankan giliran seperti yg dibahaskan oleh para ulama.. selang sehari atau maksimum 3 hari. terdapat ulama yg mengharamkan hari keempat bahkan menyebutkan 'lebih baik diceraikan'..
bg perkara kedua yg sy rasa perlu diulas ialah kehendak undang2 kemukakan 5 jenis org. wali bakal isteri telah jelas disebut oleh undang2, hanya org kelima yg diberi keluasan oleh undang2 .. yg mana perhatian diberi utk menyempurnakan penilaian mahkamah terhadap kewajaran permohonan.. maksud sy perlu pandangan yg kontra drpd pihak ketiga yg mungkin tidak berkompromi dgn permohonan (hnya sbg contoh).
sy berharap pihak dr dpt menerima komen ini dgn lapang dada dan terbuka. jika terdapat kekhilafan dipihak sy, sy mohon ribuan ampun dan maaf. jakalahukhair. wassalam.
terima kasih atas komen saudara itu, saya boleh bersetuju berkaitan isu giliran itu.
berkaitan isu kedua iaitu pandangan pihak ketiga yang bebas, ianya terpulang kepada pihak pemohon iaitu suami atau pihak defendan iaitu isteri untuk membawa mana-mana saksi bebas untuk memberikan fakta berkaitan kes. kehadiran pihak ketiga ini sedikit sebanyak boleh membantu hakim untuk membuat keputusan kes
terima kasih