Skip to main content

Membuka firma atau berkerja dengan orang lain - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 6

Saya percaya ramai peguam muda yang dalam dilema samada ingin membuka firma sendiri atau berkerja dengan orang lain. Sewaktu mula-mula menjadi peguam kira-kira 15 tahun lepas saya mendapati ramai kawan-kawan saya yang bercita-cita besar untuk membuka firma guaman sendiri kerana membuka firma guaman adalah sinonim dengan pendapatan besar.

Ada rakan peguam yang memilih untuk tidak membuka firma guaman sendiri tetapi memilih untuk berkerja dengan firma guaman lain samada firma yang berskala besar atau berskala kecil. Rata-rata saya dapati yang membuka firma sendiri mahupun yang berkerja dengan orang lain tidak mempunyai perancangan strategik.

Maksud saya perancangan strategik itu adalah perancangan yang dapat membantu untuk mengembangkan kerjaya beliau. Ramai peguam muda yang menjadi seperti kapas yang ditiup angin. Jika angin menerbangkan kapas itu jatuh ke atas sofa empuk maka ianya akan berada di atas sofa empuk. Tetapi jika kapas itu ditiup ke dalam tong sampah maka ianya akan menjadi kusam dan busuk. Begitu juga nasib peguam, ada yang mencapai pendapatan yang tinggi semata-mata kerana nasibnya baik berada di firma yang mengembangkan bakatnya. Tetapi ada juga rakan peguam yang tidak bernasib baik yang bukan setakat gagal mengembangkan dirinya tetapi gajinya juga berada di tahap statik tidak berubah setelah bertahun-tahun berkorban untuk firmanya.

Ini mungkin kerana peguam tersebut tidak mempunyai sebarang gambaran yang jelas tentang karier yang beliau ingin ceburi. Peguam itu hanya berfantasi dengan pendapatan yang tinggi, rumah dan kereta yang besar. Tetapi hakikatnya beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mencapai hakikat kemewahan itu. Beliau gagal merangka pelan kerjayanya sendiri.

Acap kali saya nyatakan bahawa peguam muda harus pandai mencipta peluang. Peluang harus dicipta bagi mendapat penghasilan buah yang baik. Jika kita inginkan cili maka kita harus menanamnya. Jika kita memilih untuk menanam cili maka pastikan tanah tersebut sesuai, baja dan benih bermutu tinggi. Namun, jika kita tidak mampu menanam maka kita harus membelinya. Tetapi jika keduanya  pun tidak mampu maka kita harus meminta sedekah daripada penjual atau penanam cili atau jiran rumah kita. Maka, begitu juga karier peguam ini kita harus mempunyai maklumat yang jelas dan kita harus membuat pelan strategik yang sesuai untuk karier kita.

Berbalik kepada persoalan asal iaitu berkerja dengan firma lain atau membuka firma sendiri. Membuka firma sendiri mempunyai beberapa kelebihan iaitu, masa berkerja yang fleksibel, kurang politik pejabat, boleh membuat marketing tanpa halangan sesiapa, segala pendapatan dapat dibolot untuk diri sendiri tanpa perlu wujud perasaan cemburu kepada bos yang menikmati fee yang tinggi, fee adalah ditetapkan oleh kita sendiri dan kita boleh memilih mana-mana tempat yang kita suka untuk menjadi tapak firma kita.

Manakala kekurangan dalam membuka firma sendiri adalah kos terpaksa ditanggung sepenuhnya daripada kantung kita sendiri, keutamaan perbelanjaan adalah untuk gaji staf dan sewa pejabat, masa kita sangat kurang kerana kita terpaksa membuat marketing dan kita juga terpaksa membuat kerja, cuti lazimnya dihabiskan di pejabat, kita terpaksa mencari precedent jika kita tidak mahir dalam sesuatu bidang.

Bagi yang bekerja dengan firma lain, segala kekurangan dalam membuka firma itu tidak perlu dihadapi kerana setiap bulan kita akan menerima gaji. Kita pula senang untuk meminta cuti. Masalah utama dalam hal berkerja dengan firma lain ini adalah kita sering kali berasa bahawa kita adalah 'underpaid'. Dalam kata lain, kita rasa kerja yang kita buat itu sebenarnya menjana pendapatan yang tinggi tetapi gaji yang kita perolehi hanya sangat kecil atau sangat ciput berbanding dengan fee yang diterima.

Maka, apakah solusi yang terbaik dalam hal ini. Saya seringkali sewaktu perbincangan dengan rakan peguam muda membangkitkan isu potensi diri. Saya percaya setiap peguam muda mempunyai potensi diri masing-masing. Peguam muda tidak perlu untuk bersaing dengan Dato Haji Sulaiman Abdullah, Tan Sri Shafee atau Malik Imtiaz. Cukup untuk peguam muda itu mempunyai skil tertentu yang boleh memberikan nilai tambah kepada kerjaya sebagai seorang peguam.

Setahun selepas saya menjadi peguam saya berfikir bagaimanakah seharusnya saya menambah nilai kerjaya saya. Ada 2 strategi yang saya fikirkan pada waktu itu iaitu pertamanya saya melihat saya perlu untuk menambah ilmu pengetahuan undang-undang. Mengikut kajian saya dan setelah berbincang dengan penyelia ijazah Sarjana saya mendapati ilmu pengetahuan kepeguaman yang berkembang pada waktu itu adalah berkaitan dengan hak asasi manusia. Dalam masa yang sama saya ditawarkan untuk menyambung pengajian peringkat doktor falsafah. Maka, saya mengambil peluang itu untuk mendaftarkan diri bagi menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang hak asasi manusia dengan kos kurang daripada RM20,000. Keduanya, saya melihat potensi untuk mengembangkan kerjaya jika saya mempunyai sijil atau pengiktirafan profesional. Maka peluang yang baik pada waktu itu adalah untuk menceburi dalam khidmat guaman syarie kerana ijazah kedua saya adalah dalam LL.B (Shariah). Tambahan lagi, pasaran guaman syarie pada waktu itu masih luas dan baharu mula berkembang.

Dengan kedua-dua tambah nilai yang saya buat itu, saya berjaya untuk mengembangkan potensi diri dan mewujudkan 'niche market' tanpa saya perlu bersaing keras dengan pasaran guaman pada masa itu yang banyak tertumpu kepada aspek guaman perbankan atau litigasi kemalangan.

Hanya mungkin bacaan saya kurang tepat pada waktu itu berkenaan perkembangan hak asasi manusia kerana hak asasi manusia baharu berkembang dalam 2-3 tahun lepas. Sebenarnya, mungkin saya akan mencipta lebih banyak peluang jika saya menyambung pengajian dalam bidang perbankan Islam dan takaful!

Pada masa sekarang, saya percaya bahawa peguam muda masih berpeluang untuk menambah nilai diri masing-masing. Masih banyak perkara guaman yang masih berkembang. Satu cara untuk mengarusperdana kerjaya adalah dengan menambah nilai dan potensi diri. Peguam muda boleh mengambil persijilan profesional tambahan seperti mengambil persijilan profesional dalam aspek paten, harta intelek, mediasi, negosiasi, pemasaran digital dan perniagaan antarabangsa.

Maka dalam hal ini, membuka firma sendiri atau berkerja dengan orang lain tidak memberikan markah yang signifikan. Yang paling penting adalah menjadikan diri kita sebagai aset yang berharga bukan sahaja kepada mata kita sendiri tetapi yang lebih penting adalah kepada orang lain. Jika orang lain, melihat kita mempunyai potensi diri yang tinggi maka kita akan ditawarkan gaji yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, jika kita menawarkan bisnes baharu kepada majikan kita, maka kita boleh mencadangkan jumlah bahagian sumbangan yang boleh kita berikan untuk menaikkan nilai tambah firma tempat kita berkerja.

Pada masa mula saya memperolehi sijil amalan guaman syarie, saya telah membuat tawaran kepada majikan saya bahawa sebahagian pendapatan yang bakal dijana daripada guaman syarie akan dikongsi bersama dan saya juga telah mengakujanji untuk tidak mengabaikan portfolio kerja sedia ada. Tawaran itu nampaknya adalah 'win-win' yang mana saya masih tetap menerima gaji bulanan di samping memperolehi pendapatan tambahan daripada portfolio baharu, manakala majikan saya juga akan mendapat pendapatan tambahan tanpa mereka perlu bersusah payah.

Saya percaya majikan yang positif akan menggalakkan pekerjanya untuk memajukan diri mereka dan paling penting kita sendiri tidak tertekan dengan tekanan kerja yang melampau tetapi gaji yang kecil.

Dalam masa yang sama, saya tidak menolak sekiranya peguam muda berpendapat bahawa mereka akan membina potensi yang lebih besar sekiranya membuka firma sendiri maka boleh cuba untuk berbuat demikian. Tetapi, saya menyarankan bahawa sebelum membuka firma itu, maka seharusnya peguam muda menulis secara detail apakah visi, misi, objektif dan pelan tindakan serta pelan strategik untuk firma yang bakal dibuka. Usahlah terlalu bercita-cita besar untuk berasa gah dek nama kita terpapar di pintu masuk firma tetapi firma itu sendiri hidup segan mati tak mahu. Lama-kelamaan, walaupun tidak mahu mati, ianya akan mati sendiri. Jika kita membuka firma sendiri dengan pelan yang jelas bagaimana kita mahu mengembangkan skil kita maka adalah dialu-alukan untuk membuka firma kita sendiri. Tetapi, harus dipastikan bahawa dengan membuka firma sendiri ianya tidak akan merencatkan perjalanan karier kita dan kita tidak tersasar ke arah lain kerana membuka firma perlukan skil jangka hayat yang tinggi.

Comments

SH said…
Pandangan yg perlu diambilkira sebelum buka firm. Sayang saya dah buka aal sebelum artikel ni.. :)
DrZ said…
kalau dah buka kena buat betul-betul dan rangka pelan untuk berjaya. sekiranya telah berusaha sungguh-sungguh tetapi masih tidak berjaya, masih boleh untuk u-turn balik bekerja semula dgn orang lain untuk mengambil nafas sementara merangka pelan yang lain
Anonymous said…
Apakah peguam 'banking litigation'tak bernilai..?
DrZ said…
Tuan Anon,

jawapannya tidak sekiranya kita pandai mengambil peluang tersebut utk membuka jalan yg lebih luas. masalah dalam industri ini apabila seseorang itu membuat banking litigation, mereka hanya berpada dgn mendraf saman, menfailkan saman dan mengambil JID shj.

sedangkan jika mereka dapat mengembangkan aspek banking litigation kpd perkara yg lebih luas spt aspek mengembangkan portfolio bisnes, menambah nilai kakitangan bank dgn menganjurkan kursus, menulis artikel berkaitan isu2 dalam banking litigation, pasti mereka akan lebih berjaya.
Fariha Nuzu said…
terima kasih atas pandangan yang sangat bernas, saya peguam senior yang sedang dalam perancangan ingin membuka firma sendiri (kemungkinan menggunakan nama firma yang telah punyai pelbagai panel).saya sedang memberi masa setahun kepada diri sendiri untuk mengurangkan liabiliti dan earn sebanyak yang boleh sebagai modal untuk memulakan firma setahun dr sekarang. saya seorang peguam banking dan personal/family matter yang baru memulakan semula bidang criminal, dan bercadang untuk mempelajari asas bidang conveyancing sebagai antara persediaan untuk membuka firma, selain membuat rancangan kewangan.terima kasih atas pandangan bernas memandangkan saya akan ambil masa setahun untuk bersedia, agak was-was jika plan saya ini poyo atau over org kata ambik masa sgt lama untuk buat persiapan. reasons saya ingin buka firma sendiri adalah seperti yang tuan sebut di atas. terima kasih sangat atas nasihat. saya rasa firm.

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor