Pada 26 Mei 2016 Ahli Yang Berhormat Marang telah mengemukakan usul persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Akta 355”). Dikatakan bahawa tujuan pengemukaaan usul itu adalah untuk meningkatkan wibawa dan memperkasakan Mahkamah Syariah. Justifikasinya adalah kerana dengan pengemukaan usul pindaan itu akan meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Pada masa sekarang, bidang kuasa maksima Mahkamah Syariah adalah untuk membicarakan kes-kes jenayah yang dikenakan hukuman maksima 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan. Manakala, dalam usul persendirian itu dicadangkan supaya bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ditingkatkan supaya setara dengan Mahkamah Sesyen Sivil iaitu untuk membicarakan apa-apa kes kecuali kes yang boleh dikenakan hukuman mati sahaja.
Sekali imbas, sememangnya peningkatan bidang kuasa ini akan memberikan wajah baharu kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa jenayah yang maha luas.
Namun, jika dianalisa secara lebih mendalam, apakah benar dakwaan bahawa jika bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah itu ditingkatkan maka secara automatik wibawa Mahkamah Syariah akan juga meningkat? Hal ini memerlukan pengkajian yang lebih mendalam dengan membuat kajian empirikal terhadap masalah-masalah yang berlaku di Mahkamah Syariah.
Jika kita melihat statistik kes jenayah yang didakwa di Mahkamah Syariah, kelihatan kes pendakwaan yang dibuat itu lebih banyak tertumpu kepada kes berkaitan kesalahan khalwat dan matrimoni sahaja berbanding dengan kes-kes jenayah yang lain seperti kesalahan yang melibatkan akidah, kesucian agama Islam, seksual, arak dan judi. Dapatan ini telah ditulis oleh Dr Zulkifli Hasan, seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di dalam artikelnya yang bertajuk “Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya”.
Adakah dapatan ini menunjukkan bahawa tiada kesalahan syariah lain yang berlaku di Malaysia atau kemungkinan berlaku masalah perjawatan atau ketiadaan pegawai penguatkuasa yang cekap sehingga membiarkan kesalahan jenayah syariah berleluasa dan pesalah itu tidak didakwa? Apakah keperluan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah jika kuasa itu tidak digunakan sepenuhnya?
Kita melihat jenayah syariah berlaku hampir setiap hari di depan mata kita tatkala kita lalu di hadapan kedai menjual nombor ekor. Kelihatan orang-orang Islam bebas untuk membeli nombor ekor tanpa rasa was-was. Sedangkan jika kita melihat Seksyen 17(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 1995 menyatakan, “Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.” Seksyen 18 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 juga memperuntukkan perkara yang sama. Seksyen ini jelas menyatakan berjudi atau semata-mata berada di premis judi sudah memadai untuk mensabitkan seseorang tertuduh.
Kita lihat pula Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan perbuatan mengingkari perintah Mahkamah yang menyatakan, “Mana-mana orang yang mengingkari, melanggar, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah Hakim atau Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.” Kesalahan yang hampir sama juga didapati ada di dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Persoalannya berapa banyak kita mendengar aduan ibu-ibu tunggal yang merana dan sengsara kerana sikap bekas suami mereka enggan menunaikan perintah nafkah anak atau nafkah isteri. Berapa banyak pula kes mengingkari perintah Mahkamah ini telah didakwa di Mahkamah. Bahkan, langsung kita tidak membaca kes-kes seperti ini di dada Mahkamah. Maka, tidak hairanlah bekas suami ini memandang sepi terhadap perintah Mahkamah Syariah.
Kita lihat pula Seksyen 32 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menyatakan, “Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya” Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. juga mengandungi peruntukan yang sama. Kita melihat berapa banyak rumah tangga yang runtuh akibat hasutan pihak ketiga, sama ada hasutan daripada mertua, kawan-kawan, bekas teman lelaki, rakan facebook atau jiran-jiran. Namun, apakah ada pendakwaan yang dibuat ke atas penghasut ini.
Ini adalah tiga contoh kesalahan jenayah Syariah yang kerap berlaku dalam masyarakat kita. Banyak lagi seksyen yang boleh dikaji secara empirikal dan profesional mengenai tahap keseriusan kesalahan syariah ini dan pendakwaan serta sabitan yang sepatutnya dilakukan.
Kita lihat pula kes-kes mal (kes sivil) yang difailkan oleh orang ramai di Mahkamah. Kebanyakan kes adalah berlegar kepada hal ehwal rumah tangga sama ada sebelum atau selepas perceraian. Aduan yang kerap kita dengar adalah masalah kelambatan kes, tunggakan kes dan perlaksanaan perintah Mahkamah. Kita akui bahawa Mahkamah Syariah kini sudah menampakkan tindakan pro aktif dalam menyelesaikan isu yang dinyatakan itu dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertindak sebagai badan pemantau yang menjaga kualiti dan pentadbiran Mahkamah Syariah. Kita juga akui bahawa penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah adalah adalah antara usaha untuk menguatkuasakan perlaksanaan perintah terutamanya yang berkaitan dengan nafkah.
Hakikatnya, masih banyak aduan yang diterima dan aduan ini perlu diselesaikan dalam tempoh segera. Jika hal ini dapat diselesaikan maka kami percaya martabat dan wibawa Mahkamah Syariah akan naik di mata orang ramai.
Justeru, saya berpandangan banyak lagi cara untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang boleh dilaksanakan tanpa polemik. Antaranya, terdapat tiga cara yang boleh dilakukan.
Pertamanya, penubuhan Pusat Aduan Syariah Nasional bagi menerima aduan orang ramai berkaitan masalah di Mahkamah Syariah. Pusat Aduan Syariah Nasional ini akan mengkoordinasi semua aduan dan membuat susulan serta memberikan maklum balas segera aduan itu kepada orang ramai dalam tempoh 14 hari.
Keduanya, penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji dan memperkasakan Unit Penguatkuasaan Jenayah Syariah dan Unit Pendakwaan Syariah di jabatan agama negeri-negeri. Jawatankuasa ini perlu mengkaji dan mengemukakan dapatan berkaitan jumlah dan jenis kes-kes yang dibawa untuk pendakwaan, kesalahan yang diperuntukkan di dalam Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri tetapi masih tidak digunakan dan sumber tenaga manusia yang diperlukan. Perlu juga dikaji sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan dan pendakwaan jika unit ini dinaik taraf sebagai sebuah jabatan yang berasingan.
Ketiganya, membangunkan sistem berkomputer bagi kegunaan Mahkamah Syariah yang boleh mengkoordinasi dan memantau perlaksanaan perintah Mahkamah Syariah. Contohnya, jika ada bapa yang cuai untuk membayar nafkah anak dalam tempoh 7 hari dari tarikh sepatutnya bayaran dibuat maka suatu waran tangkap dikeluarkan serta-merta dan penguatkuasa akan menangkap orang itu untuk dihadapkan ke Mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Kita inginkan supaya Mahkamah Syariah ini dipandang tinggi oleh masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam atau bukan Islam. Kita percaya bahawa Islam adalah agama rahmat. Biarlah perlaksanaan hukum Islam di Mahkamah Syariah ini menjadi contoh dan teladan kepada umat bukan makin menjauhkan masyarakat daripada Islam. Akhir sekali, perlu ditegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah syiar dan lambang kedaulatan agama Islam di Malaysia. Binalah institusi Mahkamah Syariah supaya ianya menjadi suatu organisasi yang dihormati dan bukan ditakuti. Usah jadikan Mahkamah Syariah ini semata-mata modal politik murahan bagi meraih undi semata-mata.
Comments