Skip to main content

RUU 355: Akhirnya "Cek Kosong" Akan Terisi

Semalam (22 November 2016), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bersama-sama dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam telah memanggil kesemua Ahli Parlimen Islam untuk menghadiri satu taklimat khas berkaitan pindaan terhadap Akta 355.

Sebelum itu, YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan pindaan kepada Akta 355 yang lebih popular dengan istilah RUU 355 pada 26 Mei 2016. Usul YB Ahli Parlimen Marang itu telah menimbulkan polemik dan kontroversi yang besar kepada umat Islam di negara ini.

Sebaik sahaja usul tersebut dibaca, YB Ahli Parlimen Marang menyatakan akan menghuraikan usul tersebut pada sesi Parlimen yang akan datang yang bermula pada 17 Oktober 2016 sehingga 24 November 2016. Berduyun-duyun penyokong YB Ahli Parlimen Marang turun ke Parlimen pada tarikh tersebut untuk memberikan sokongan dan akhirnya kesemuanya balik dalam kehampaan kerana usul tersebut tidak dapat dibaca pada tarikh itu.

Penyokong YB Ahli Parlimen Marang menyatakan bahawa usul itu sengaja ditangguhkan pada 26 Mei 2016 tanpa huraian dan perbahasan bagi memberikan peluang kepada ahli-ahli Parlimen yang lain bersedia untuk perbahasan.

Tindakan penangguhan itu akhirnya tidak mencapai matlamat yang dihasratkan oleh penyokong YB Ahli Parlimen Marang, sebaliknya menjadi polemik yang besar sehingga ada pemimpin parti YB Ahli Parlimen Marang yang telah mengatakan kegagalan menyokong usul itu boleh membawa kepada isu akidah.

Tindakan itu juga telah menarik minat pelbagai ilmuan dan cendikiawan agama Islam untuk turut menulis dan berbahas berkaitan dengan RUU 355. Sahibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri misalnya telah mengeluarkan pendapat sepanjang 52 mukasurat mengenai hal itu.

Saya sendiri telah mengulas panjang mengenai usul itu dalam beberapa siri tulisan dan akhirnya tulisan itu telah dibukukan di dalam buku “Hududisme: Antara Realiti Dan Retorik” terbitan bersama ABIM dan Ilham Books.

Ahli Parlimen Marang dalam usul persendirian berkaitan RUU 355 ini, antara lain telah mengusulkan seperti berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Semenjak dari awal saya menyatakan bahawa YB Ahli Parlimen Marang perlu meletakkan had hukuman supaya ianya tidak menimbulkan kekeliruan. Saranan itu bukan sahaja tidak diterima malah diejek dan dicemuh oleh penyokong beliau. Antara isu yang saya bangkitkan adalah bahawa usul YB Ahli Parlimen Marang itu adalah ibaratnya seperti memberikan “cek kosong” yang angkanya boleh ditulis sesuka hati. Ini akan membuka ruang kepada ketidakseragaman hukuman undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri. Ianya juga akan membuka ruang kepada pelbagai pentafsiran yang akan membawa masalah dalam perlaksanaannya di Mahkamah Syariah kelak. Begitu juga dengan perkataan “... hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah” juga akan membawa kepada pelbagai maksud yang luas dan infiniti.

Hari ini kebenaran muncul jua. Nampaknya apa yang ditulis sebelum ini benar dan akhirnya YB Ahli Parlimen Marang akur adalah tidak munasabah untuk memberikan “Cek Kosong” kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Setelah mendapat “wahyu” daripada taklimat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, dikhabarkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang akan mengemukakan notis pindaan bagi menghadkan hukuman yang akan dinaikkan dalam RUU 355 kepada sebatan tidak lebih daripada 100 rotan, denda tidak lebih daripada RM100 ribu dan penjara tidak lebih daripada 30 tahun. Jika benar khabar ini, “Cek Kosong” yang dijaja beberapa bulan yang lalu akhirnya terisi. Ini juga menunjukkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa sesuatu “Cek” tidak harus dibiarkan kosong. Saya berharap penyokong YB Ahli Parlimen Marang yang sebelum ini bermati-matian mempertahankan RUU 355 versi asal dapat memahami bahana dan malapetaka “Cek Kosong”.

Polemik yang dibuat oleh YB Ahli Parlimen Marang itu harus dijadikan teladan. Bukan sedikit wang yang habis dibelanjakan untuk berkempen bagi RUU 355 tajaan YB Ahli Parlimen Marang ini. Ada wang yang dibelanjakan itu adalah wang kerajaan. Misalnya, Jabatan Kehakiman Syariah di beberapa negeri telah membelanjakan wang untuk menganjurkan penjelasan mengenai RUU 355 ini. Ini tidak termasuk lagi wang parti yang dibelanjakan sedangkan wang tersebut lebih mustahak untuk dibelanjakan bagi tujuan yang lebih murni dan produktif.

Sebenarnya RUU 355 ini tidak wajar dipolemikkan langsung. Ianya adalah pindaan biasa bagi meningkatkan hukuman. Banyak undang-undang yang telah dipinda berkali-kali bagi menaikkan jumlah hukuman dan ianya langsung tidak menimbulkan kekecohan.

Meskipun begitu, saya masih berharap supaya suatu jawatankuasa khas dapat dibentuk sama ada di peringkat parlimen atau teknikal untuk mengkaji bentuk hukuman yang akan ditetapkan dalam RUU 355. Kini, hukuman 3 serangkai [sebat, penjara dan denda] sudah makin lapuk. Banyak negara sudah berubah kepada hukuman yang berbentuk mendidik seperti khidmat masyarakat. Begitu juga, hukuman penjara maksima 30 tahun itu apakah wajar bagi kesalahan berbentuk pentadbiran seperti bernikah atau berpoligami tanpa izin. Begitu juga hukuman mengajar agama Islam tanpa tauliah. Malah, hukuman bagi menyebarkan ajaran sesat pun perlu dikaji dengan lebih teliti kerana sekiranya orang itu sudah menjalani modul tertentu di penjara dan sudah insaf maka tiada sebab untuk orang itu dipenjarakannya sehingga 30 tahun.

Kesimpulannya, kita seharusnya tidak begitu taasub dengan satu-satu pandangan semata-mata kerana ianya dikemukakan oleh pemimpin kita. Kita harus rasional dalam mempertimbangkan idea pemimpin atas neraca baik dan buruk, bukan atas neraca taasub. Kita bertanggungjawab atas perbuatan kita sendiri. Pemimpin tidak akan menanggung dosa yang kita buat bahkan pemimpin akan berlepas diri daripada kesilapan kita itu. Kita dibekalkan dengan akal untuk berfikir dan agama sebagai panduan. Maka, gunakanlah kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Kepada Allah SWT jua kita berharap dan semoga kita tidak terus dipolemikkan dengan perkara-perkara yang tidak produktif dan tidak mendatangkan faedah kepada umat.


Comments

Hakim said…
Terima kasih Dr. Bernas sekali.
Tetapi, bagaimana dengan sistem penjara itu Dr, adakah pesalah hukuman syariah akan diletakkan sekali dengan pesalah hukuman sivil?
DrZ said…
Ya akan letak di penjara sama, cuma sel yang berlainan. mereka tak akan diletak bersama banduan yg dihukum atas jenayah berat dan ganas

Popular posts from this blog

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

THE CONCEPT OF CONSTRUCTIVE DISMISSAL IN MALAYSIA

1)            Constructive dismissal is a term used when an employee terminates his employment contract and considers himself discharged from further performance of his work as a result of his employer’s behaviour. For example, the employer has made the employee’s position at work untenable leaving the employee with no alternative but to quit his employment under protest. Although there is no actual dismissal by the employer, the end result is the same as if the employee had been fired. 2)            Gopal Sri Ram JCA in Quah Swee Khoon v Sime Darby Bhd [2001] 1 CLJ 9 at 19 described ‘constructive dismissal’ as follows: “A reading of the pleaded case for the parties resolved the issue that fell for adjudication before the Industrial Court into what the profession has come to call as a “constructive dismissal”. There is no magic in the phrase. It simply means this. An employer does not like...