Skip to main content

RUU 355 Dan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah - Tinjauan Semula kes Sukma Darmawan

RUU 355 dikatakan mahu dipinda kerana ingin meningkatkan martabat dan wibawa Mahkamah Syariah. Antara intipati Akta 355 ini adalah pemberian bidang kuasa ke atas hukuman jenayah Syariah. Badan Perundangan Negeri diberikan bidang kuasa untuk membuat apa-apa peruntukan undang-undang ke atas orang-orang Islam berkaitan kesalahan ke atas perintah agama Islam.


Antara kesalahan yang diperundangkan adalah kesalahan ‘liwat’. Contohnya kesalahan ini telah disebut di dalam S. 1(2) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan dijadikan di bawah S.25 Akta yang sama.


Kesalahan ‘liwat’ juga diperuntukkan di dalam S.377A Kanun Keseksaan yang menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang itu membuat hubungan seks (sexual connection) dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut ''seseorang lain'' (tak kira atau perempuan) dan boleh dihukum di bawah S.377B Kanun Keseksaan.


Menariknya, adakah ini bermakna seorang Islam itu boleh dituduh sama ada di bawah Kanun Keseksaan dan Akta 559. Persoalan ini telah dijawab oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor [1998] 2 MLRA 301; [1999] 1 MLJ 266; [1999] 1 CLJ 481; [1999] 2 AMR 2337. Namun, adalah perlu untuk menilai semula keputusan kes itu kerana ada pertimbangan lain yang gagal dilihat oleh Mahkamah Rayuan berkaitan hal ini.

Fakta kes


Dalam kes tersebut, perayu telah memohon untuk suatu writ habeas corpus supaya beliau dibebaskan daripada penjara. Antara alasan yang digunakan adalah bahawa Mahkamah Sesyen tidak berbidang kuasa untuk membicarakan kesnya.


Beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di bawah S. 377D Kanun Keseksaan iaitu suatu kesalahan berkaitan satu perbuatan kelucahan melampau (gross indency) dengan orang lain. Fakta kes itu menunjukkan bahawa pertuduhan yang dikenakan adalah berkaitan kesalahan liwat [walaupun beliau dituduh di bawah S.377D dan bukan di bawah kesalahan liwat di bawah S. 377A (liwat) atau 377C (liwat tanpa kebenaran)].


Hujahan Perayu


Semasa rayuan dibuat ke Mahkamah Rayuan, peguam perayu iaitu Mendiang Karpal Singh telah berhujah bahawa fakta kes itu menunjukkan bahawa kesalahan liwat itu juga wujud di dalam S. 25 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559). S.1(2) Akta 559 mendefinisikan kesalahan ‘liwat’ sebagai ‘perhubungan seks sesama lelaki’. Oleh kerana, perayu itu beragama Islam maka beliau juga tertakluk kepada peruntukan dalam Akta 559. Justeru, Mahkamah Sesyen tidak berbidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan disebabkan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ekslusif di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.


Keputusan Mahkamah Rayuan


Hakim Gopal Sri Ram, Hakim Mahkamah Rayuan telah mengemukakan persoalan tentang skop sebenar Per. 121(1A). Adakah ini bermakna Mahkamah Sivil tidak akan mempunyai apa-apa bidangkuasa ke atas semua perkara termasuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dibuat oleh seorang beragama Islam, yang juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah? Atau, adakah ianya bermakna Mahkamah Sivil tidak akan mempunyai bidang kuasa bagi kesalahan yang ekslusif di bawah Mahkamah Syariah?


Hakim Gopal Sri Ram selanjut melihat kepada sejarah penggubalan Per. 121(1A). Sebelum penggubalan peruntukan itu, sering kali keputusan Mahkamah Syariah telah disemak semula melalui proses semakan kehakiman di Mahkamah Sivil. Ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan ramai pentadbir dan pengamal Undang-Undang Islam. Beliau akhirnya berpuashati bahawa sebab sebenar peruntukan itu dipinda adalah untuk menghalang daripada Mahkamah Tinggi Sivil daripada menyemak semula keputusan yang diputuskan di Mahkamah Syariah.


Beliau juga berpuashati bahawa pendekatan yang patut diambil adalah untuk mengharmonikan peruntukan pindaan itu dengan melihat kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh.


Akhirnya beliau memutuskan bahawa maksud ‘bidang kuasa Mahkamah Syariah’ adalah merujuk kepada bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah. Dalam maksud lain, sekiranya seorang beragama Islam melakukan suatu perbuatan yang menjadi kesalahan di bawah kedua-dua bidang kuasa sivil atau Syariah, maka Mahkamah Sivil juga berbidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut. Jika perbuatan itu di dalam bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah seperti kesalahan zina, maka hanya Mahkamah Syariah sahaja yang berbidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut.


Beliau juga memutuskan bahawa jika undang-undang memperuntukkan suatu perbuatan itu sebagai suatu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berlainan maka pihak yang berkenaan boleh memilih untuk mendakwa di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang disukainya.


Selain itu, beliau berpendapat bahawa S.337D itu adalah lebih luas daripada maksud ‘liwat’ di bawah Akta 559 meskipun pendakwa menggunakan istilah ‘liwat’ di dalam kertas pertuduhan untuk menerangkan ‘actus reus’ perayu. Tetapi, penggunaan istilah ‘liwat’ itu tidak boleh dianggap bahawa Mahkamah Sivil telah mengambil bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana pertuduhan di bawah S.377D hanya melibatkan perbuatan ‘kelucahan melampau’.


Isu Yang Perlu Ditinjau Semula


Tinjauan semula ke atas keputusan Mahkamah Rayuan ini mendapati ada beberapa perkara yang tidak dibangkitkan semasa perbicaraan itu dan keputusan Mahkamah Rayuan ini patut disemak semula kerana keputusan itu gagal melihat perspektif sebenar kerangka Perlembagaan Persekutuan.


Hakim Gopal Sri Ram hanya menumpukan perhatiannya terhadap Per. 121(1A) sahaja tanpa melihat secara lebih menyeluruh terhadap peruntukan lain khasnya:


Per. 3(1) - Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.


Per. 5(1) - Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.


Per. 8(1) - Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.


Per 11(1) - Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.


Butiran 1 Senarai II - Senarai Negeri Jadual Kesembilan - “... pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.


Kerangka Perlembagaan Persekutuan berkaitan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh seorang beragama Islam adalah jelas berada di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan senarai bersama bagi kesalahan jenayah Syariah.


Seorang yang didakwa di Mahkamah Syariah akan tertakluk kepada tatacara dan prosedur Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah mempunyai sistem perbicaraan dan standard pembuktian yang berbeza daripada Mahkamah Sivil.


Bagi kesalahan liwat, standard pembuktian adalah sama dengan kesalahan zina yang memerlukan kepada 4 orang saksi lelaki yang adil. Berbanding dengan standard pembuktian di Mahkamah Sivil, seorang tertuduh itu boleh dihukum semata-mata atas keterangan yang diberikan oleh pengadu. Secara umumnya, dalam kes berkaitan seksual, Mahkamah Sivil akan memerlukan keterangan sokongan (corroboration). Keterangan sokongan itu mungkin berbentuk video atau DNA atau saksi lain.


Hukuman di Mahkamah Syariah pula berbeza dengan Mahkamah Sivil. Dalam konteks sekarang, hukuman yang dikenakan adalah sebanyak RM5000 atau 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau kombinasi hukuman itu. Di bawah Kanun Keseksaan, pesalah itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat.


Butiran 1 Senarai II - Senarai Negeri menyatakan bahawa Badan Perundangan Negeri tidak boleh mewujudkan apa-apa kesalahan dan hukuman yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan. Adakah kesalahan ‘liwat’ ini berada dalam bidang  kuasa Persekutuan?


Jika dilihat kepada Butiran 4 (h) Senarai I - Senarai Persekutuan hanya menyatakan “Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;”


Oleh itu, sebenarnya sudah berlaku konflik perundangan bagi kesalahan liwat ini. S.377A juga memperuntukkan kesalahan tersebut. Jika dikatakan kesalahan liwat ini termasuk dalam Senarai Persekutuan seperti mana kesalahan merompak (yang dikatakan sama seperti Hirabah) dan kesalahan mencuri (yang dikatakan sama seperti kesalahan Sariqah) maka Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat lagi peruntukan bagi kesalahan liwat.


Namun, argumen ini mengandungi kelemahannya kerana inti pati kesalahan liwat ini sememangnya sudah berakar umbi di dalam perundangan Islam dan mempunyai dalil-dalil yang jelas. Ianya adalah kesalahan yang berkaitan perbuatan tidak bermoral dan tidak santun.
Justeru, bagi mengharmonikan keadaan ini dan kesalahan ini maka dihujahkan bahawa S.377A itu hanya sah dipakai ke atas orang-orang yang bukan beragama Islam. Manakala, bagi orang Islam ianya tertakluk kepada S. 25 Akta 559. Inilah yang dikatakan mengharmonikan peruntukan undang-undang dengan melihat kepada kerangka Perlembagaan.


Melaksanakan hukuman atas seorang Islam di bawah Kanun Keseksaan seolah-olah sudah mengambil bidang kuasa Negeri untuk memperundangkan perkara itu. Hal ini pernah diputuskan dahulu di dalam kes Mamat bin Daud v. Government of Malaysia [1987] 1 MLRA 292; [1988] 1 CLJ (Rep) 197; [1988] 1 CLJ 11 ; [1988] 1 MLJ 299, yang mana Mahkamah Agung telah menerima pakai doktrin "in pith and substance" untuk menentukan sama ada  s. 298A of the Penal Code adalah ultra vires Per. 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan. Mohamed Azmi SCJ (pendapat majoriti) menyatakan:


In determining whether section 298A , in pith and substance, fall within the class of subject matter of "religion' or "public order", it is the substance and not the form or outward appearance of the impugned legislation which must be considered ... The object, purpose and design of the impugned section must therefore be investigated for the purpose of ascertaining the true character and substance of the legislation and the class of subject matter of legislation to which it really belongs.


Dalam hal ini, saya juga bersetuju dengan pandangan rakan saya, Dr Farid Sufian Shuaib yang membahaskan panjang lebar kesan kes Sukma Darmawan ini di bawah tajuk ‘Sukma Trilogy’ di dalam bukunya, “Powers And Jurisdiction Of Syariah Courts In Malaysia, 2nd Ed. (2008), LexisNexis, hlm. 188. Beliau menyatakan:


“The legislative history has shown that the very fact that both civil and Syariah courts have jurisdiction on similar matters created the conflict. In order to resolve the conflict, the Federal Constitution as the supreme law of the land has accorded Syariah courts exclusive jurisdiction where there is overlapping of jurisdiction. If only the Syariah courts have jurisdiction on a particular matter, there would be no battle for jurisdiction. There would be no need to grant exclusive jurisdiction to Syariah courts since only Syariah courts have the jurisdiction. The construction would render article 121(1A) redundant and this is contrary to the basic assumption in statutory interpretation that the legislature never legislates in vain.”


Perlembagaan ini jelas mengiktiraf kewujudan Islam sebagai agama Persekutuan (Per.3(1)) dan Islam mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam kerangka Perlembagaan. Seseorang pula tidak harus dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang (Per. 5(1)). Undang-undang yang harus dipakai bagi orang Islam adalah undang-undang Syariah dan pensabitan seseorang Islam untuk suatu kesalahan yang secara nyata disebut di bawah undang-undang Syariah adalah tidak sah kerana ianya tidak menurut undang-undang. Seseorang itu juga mempunyai hak kesamarataan (Per. 8(1)) dan bagi seorang Islam sepatutnya beliau dilayan sama rata seperti seorang Islam yang lain di bawah undang-undang yang serupa. Seorang Islam juga mempunyai kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan ajaran agamanya. Jika ajaran agamanya itu memperuntukkan kesalahan berkaitan liwat, bagaimanakah undang-undang sivil mengambil haknya untuk beramal dengan agamanya itu.


Akhiran


Melihat kepada keseluruhan penghakiman kes Sukma Darmawan ini kita akan dapati wujud kelompangan dalam penghakiman itu kerana Hakim Gopal Sri Ram menyatakan tidak menjadi suatu kesilapan jika suatu kesalahan jenayah itu wujud di dalam undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah. Pandangan ini nampaknya sehingga kini masih belum dicabar.


Saya melihat ada peluang bagi orang yang telah disabitkan di bawah S.377A dan dihukum di bawah S.377B Kanun Keseksaan seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar isu ini dan meminta Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan kes Sukma Darmawan.


Bagi saya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada Mahkamah Syariah jika cabaran ini berjaya dan prinsip dalam kes Sukma Darmawan itu dapat diperbetulkan. Ini kerana Mahkamah Persekutuan akan mengesahkan prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ekslusif dalam hal kesalahan berkaitan Syariah dan bidang kuasa ekslusif ini tidak sepatutnya dicampuri oleh Mahkamah Sivil.

Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor