Skip to main content

IKON HEBAT DUNIA PEGUAM: TAN SRI MD ARIFF YUSOF - SIRI 2

IKON HEBAT DUNIA PEGUAM: TAN SRI MD ARIFF YUSOF - SIRI 2

Apabila berlaku pilihan raya umum 2004, pembangkang telah mengalami kemerosotan kerusi yang ketara. PAS sebagai parti memerintah di Kelantan juga tidak terkecuali menerima tempias itu sehinggakan BN hampir menawan Kelantan semula daripada PAS. Namun, takdir Tuhan masih menyebelahi PAS yang memerintah dengan kelebihan dua kerusi sahaja. 

Tanggal 31/10/2005, seorang adun PAS di Dun Pengkalan Pasir iaitu Wan Abdul Aziz Wan Jaafar telah meninggal dunia menyebabkan berlakunya satu pilihan raya kecil. Dalam PRK itu berlaku pertandingan 3 penjuru antara Hanafi Mamat (BN), Hanifa Ahmad (PAS) dan Ibrahim Ali (Bebas). PRK itu dimenangi oleh Hanafi Mamat dengan majoriti sebanyak 134 undi sahaja. Ini bermakna PAS memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi sahaja.

Akhirnya, PAS Kelantan telah bermesyuarat dan membuat keputusan untuk menfailkan petisyen pilihan raya. Difahamkan individu yang banyak mempengaruhi PAS Kelantan untuk membuat petisyen pilihan raya itu ialah Datuk Husam Musa. Sekiranya petisyen ini berjaya maka kemenangan BN itu akan terbatal dan satu PRK baru akan diadakan. Selain itu, penfailan petisyen itu juga adalah satu langkah strategik politik kerana terdapat pelbagai alasan yang dikemukakan dalam petisyen itu antaranya atas alasan penyamaran dan dan berlakunya rasuah. 

Satu pasukan peguam petisyen telah dibuat dan saya juga telah dijemput untuk turut bersama. Kali ini pasukan peguam membuat keputusan supaya firma yang akan mengendalikan petisyen itu haruslah daripada Kelantan. Firma yang dipilih itu adalah Tetuan C Jegathesan, seorang peguam India Muslim yang telah lama bermastautin di Kelantan. Pada masa itu, arwah Jega masih lagi hidup dan saya berkesempatan untuk bertemu peguam senior tersebut. Akan tetapi, peguam yang banyak menguruskan hal tersebut adalah Nasrul Mohamed yang banyak bertungkus lumus untuk petisyen ini.

Sekali lagi, Tan Sri Md Ariff juga bersetuju untuk menyumbangkan tenaga beliau secara pro bono dan khidmat beliau itu amat dihargai oleh rakan-rakan peguam di Kelantan (kami memanggil peguam Kelantan dengan gelaran ‘Abe Yar atau jika dipluralkan menjadi Abe Yars’). Ketua pasukan peguam BN pula adalah tidak lain tidak bukan Tun Zaki Tun Azmi (waktu itu masih Tan Sri) selaku penasihat UMNO dan dibantu oleh Datuk Hafarizam Harun.

Hasil daripada pengalaman petisyen pilihan raya sebelumnya, kami memutuskan bahawa petisyen pilihan raya itu perlu difailkan oleh bukan calonnya sendiri. Petisyen itu boleh difailkan oleh seorang pengundi atau wakil calon untuk mengelakkan kesulitan di kemudian hari. Petisyen itu difailkan atas nama Mohd Ridza bin Zain iaitu wakil calon kepada Hanifa Ahmad. Sebab itu kalau kita buka jurnal laporan kes akan menggunakan nama pempetisyen ini dan bukan nama calon.

Perjalanan petisyen pilihan raya Dun Pengkalan Pasir ini amat nostalgik kerana ramai peguam yang turut sama berpartisipasi. Seperti yang kami jangkakan, pihak BN pasti akan membuat bantahan awal terhadap petisyen itu dengan harapan supaya petisyen itu akan dibatalkan.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya pada waktu itu diimport dari Mahkamah Tinggi Kangar iaitu Dato Hasan Lah. Maka, apabila sampai waktu kes itu didengar kerap kali kami semua akan bertembung di lapangan terbang kerana masing-masing akan menuju ke Kota Bharu.

Walaupun bantahan itu dibuat, Hakim Dato’ Hasan Lah telah memutuskan bahawa sebahagian daripada alasan petisyen itu dibatalkan dan sebahagian yang lain akan diteruskan dengan perbicaraan penuh. 

Kami sebenarnya bersyukur kerana Tan Sri Md Ariff bersetuju mengepalai pasukan peguam kami kerana beliau dianggap setanding dengan Tun Zaki yang juga seorang peguam kanan yang berpengalaman.

Semasa kes ini dibicarakan, ada peristiwa menarik yang tidak dapat dilupakan yang mana sewaktu kami menemuramah seorang saksi, beliau memberitahu bahawa ada seorang pengundi yang telah mati hadir mengundi pada hari pengundian. Kami bertambah yakin dengan saksi itu kerana saksi itu bukan sahaja orang kuat PAS di kampung (selalunya orang PAS sinonim dengan kuat beragama dan orang kuat agama tidak akan menipu) malah mendakwa orang yang mati itu adalah sepupunya sendiri. Apa yang mengejutkan kami adalah pada hari perbicaraan itu, pengundi yang didakwa mati itu telah datang ke Mahkamah dan memberikan keterangan. Sehingga ke hari ini apabila berjumpa dengan rakan-rakan pasukan peguam kami masih mengulangi cerita ini sambil disambut dengan hilai tawa.

Petisyen ini juga mencatatkan sejarah tersendiri kerana saya juga diminta untuk menyoal balas seorang saksi kerana Tan Sri Md Ariff tidak dapat memahami loghat kelantan dengan baik sedangkan saksi itu bercakap pekat dalam loghat kelantan. Tambahan pula, saksi ini terbabit dengan dakwaan rasuah dan pastinya saksi ini adalah seorang yang sukar untuk dikendalikan kerana tidak mungkin saksi itu akan mengakui menerima rasuah. Pada satu ketika sesi soal balas itu jadi sesi gelak ketawa sehingga hakim Dato’ Hasan Lah pun tersipu-sipu bila saksi itu membuat bunyi hon motorsikal dengan menyebut ‘orang itu mari dan wat bunyi ‘pekkk’ (maksudnya orang itu datang menaiki motorsikal dan membunyikan hon yang berbunyi seperti pekkk)

Di akhir kes, kami agak terkejut strategi yang digunakan oleh Tun Zaki. Tun Zaki menyedari bahawa pihak kami telah tidak memanggil pempetisyen untuk memberikan keterangan dan oleh itu dihujahkan olehnya bahawa petisyen ini patut dibatalkan secara ‘in limine’ kerana kegagalan pempetisyen itu membuktikan bahawa beliaulah pempetisyen sekaligus menyebabkan keseluruhan petisyen itu tidak dapat dibuktikan.

Pihak kami pula sebenarnya telah berbincang sebelum itu sama ada perlu memanggil pempetisyen untuk memberikan keterangan beliau atau tidak. Hasil persetujuan semua, pempetisyen tidak perlu dipanggil kerana beliau sebenarnya tidak mengetahui secara terperinci keseluruhan alasan petisyen dan dikhuatiri jika semasa sesi soal balas berlangsung beliau tidak mampu menjelaskannya dan akhirnya menjejaskan prospek petisyen itu sendiri.

Walaupun Hakim Dato Hasan Lah bersetuju dengan hujahan ‘in limine’ itu tetapi Hakim tetap mengulas daripada segi merit kes pun pempetisyen masih gagal untuk membuktikan keseluruhan isi kandungan petisyen.

Apa yang menarik mengenai hal petisyen Dun Pengkalan Pasir ini adalah sifat Tan Sri Md Ariff itu sendiri yang tidak berkira sangat dengan keistimewaan yang sepatutnya beliau nikmati. Pada waktu itu, kami hanya disediakan dengan penginapan yang sangat sederhana iaitu di Hotel Ansar dan jauh sekali jika dibandingkan dengan pihak lawan yang menginap di hotel penuh bintang. Keadaan hotel itu memang agak lama kerana tidak direfurbish dan karpetnya sendiri pun sudah berbau usang. Begitu juga dengan tiket pesawat kami hanyalah dalam kelas ekonomi berbanding dengan lawan yang berada di kelas pertama. Selain itu, tiada elaun besar yang dibayar dan boleh dikatakan bahawa kerja ini adalah benar-benar bersifat pro bono kerana bajet yang disediakan adalah amat terhad. Walaupun begitu, kami sebenarnya amat terharu dengan layanan PAS Kelatan sewaktu itu yang begitu mengambil berat kebajikan peguam semasa berada di sana.

Secara keseluruhannya kami amat berbangga dengan pasukan peguam kami yang telah memberikan komitmen yang tinggi kepada kes ini. Selain itu, pasukan peguam juga telah mendapat layanan khas daripada Menteri Besar Kelantan pada waktu itu iaitu Almarhum Dato Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehingga kini, gambar kenangan pasukan peguam bersama almarhum itu masih lagi disimpan. Almarhum sendiri acap kali bertanyakan perkembangan kes ini kepada peguam dan ini menunjukkan tahap kecaknaan yang tinggi Almarhum terhadap kes ini sehinggakan ada di antara peguam yang tidak hadir ke Mahkamah membuat surat makluman kepada Almarhum mengenai ketidakhadirannya ke Mahkamah [inilah kali pertama saya jumpa peguam yang membuat surat sebegitu sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam dunia guaman].

Seperkara lain yang menarik untuk disentuh adalah mengenai perlantikan Tan Sri Md Ariff sebagai hakim Mahkamah Tinggi. Beliau telah dilantik untuk menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan seterusnya menjadi hakim Mahkamah Rayuan semasa Tun Zaki Tun Azmi menjadi Ketua Hakim Negara.

Saya tidak tahu atas kriteria apakah yang menyebabkan beliau dipilih untuk menjadi Hakim tetapi saya percaya Tun Zaki banyak menilai karekter dan kebolehan Tan Sri Md Ariff semasa mengendalikan kes petisyen ini. Ini kerana semasa mengendalikan sesuatu kes itu kita akan dapat menilai kebolehan lawan kita. Padahal cara pengendalian kes oleh Tan Sri Md Ariff jauh berbeza dengan cara Karpal Singh mengendalikan kes. Jika Karpal Singh mengendalikan kes pihak saksi atau pihak lawan pasti berasa gemuruh hati kerana mendiang agak agresif berbanding cara Tan Sri Md Ariff yang sangat tenang dan tidak pernah sekali pun meninggikan suara dalam mahkamah.

Ini satu langkah terpuji dan tepat yang diambil oleh Tun Zaki untuk menaikkan Tan Sri Md Ariff kerana beliau sememangnya seorang yang layak dan berkebolehan. Saya percaya Tun Zaki sendiri pun tahu apakah pegangan politik Tan Sri Md Ariff ketika itu dan selalunya orang UMNO tidak akan sesekali memilih orang PAS untuk diberikan apa-apa jawatan penting dalam kerajaan. Tan Sri Md Ariff pun apabila dilantik menjadi hakim terus memutuskan untuk menyerahkan balik keahlian PAS dan tidak pernah terlibat dalam apa-apa aktiviti kepartian sepanjang beliau menjadi hakim Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan. Ini kerana penglibatan beliau dalam aktiviti kepartian adalah bersalahan dengan etika seorang hakim.

Semasa beliau menjadi hakim tidak sekalipun saya dengar ada mana-mana peguam sama ada peguam Islam atau bukan Islam menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan cara pengendalian kes oleh Tan Sri Md Ariff. Rata-rata peguam yang datang membawa kes di hadapannya berpuashati dengan cara Tan Sri Md Ariff mendengar kes meskipun mereka kalah kes tersebut kerana masing-masing berasa mereka telah didengar dengan adil dan mereka kalah kes itu atas dasar merit kes itu sendiri dan bukan kerana sifat bias hakim tersebut.

Sebenarnya, ramai hakim yang bersifat tidak adil dan menjadi buah mulut peguam kerana ketidakadilan mereka dalam mengendalikan kes. Ada hakim yang berasa seronok dan mencapai kepuasan hidup apabila dapat memarahi peguam dan melihat peguam terkial-kial menjawab soalan hakim. Ada hakim yang suka membebel tak tentu hala. Ada hakim yang sengaja menyusahkan peguam dengan meletakkan pelbagai syarat-syarat yang tidak munasabah seperti menghadkan jumlah soalan yang perlu ditanya. Ada hakim yang bertindak seperti profesor serba tahu dan menyalahkan peguam pada setiap masa. Sifat-sifat keji hakim ini boleh dikatakan tidak wujud atas batang tubuh Tan Sri Md Ariff ini dan ini menunjukkan etika kerja serta sifat profesionalismenya yang tinggi.

Sifat ini juga dapat dilihat dalam tempoh dua tahun beliau menjadi Speaker Dewan Rakyat. Sepanjang beliau mengendalikan Dewan Rakyat kelihatan ahli-ahli Parlimen mendapat layanan saksama sama ada daripada kalangan pembangkang mahu pun kerajaan. Nyatalah pemilihan beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pasca PRU 14 adalah satu tindakan yang tepat.

Saya sempat berjumpa beliau sewaktu terdengar ura-ura beliau akan dilantik sebagai Speaker. Pada waktu itu beliau telah menjadi peguam semula di firma Cheang & Ariff setelah bersara daripada bidang kehakiman. Pada waktu itu pun beliau sangat sibuk dengan kes-kes arbitration yang beliau kendalikan. Malahan, pendapatan daripada mengendalikan kes-kes arbitration itu jauh lebih lumayan daripada gaji Speaker itu sendiri. Namun, atas sifat ‘national service’ beliau menerima tawaran untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat.

Sepanjang menjadi Speaker Dewan Rakyat itu kita telah melihat pelbagai inisiatif baharu yang dibuat untuk meningkatkan imej Dewan Rakyat dan merakyatkan Dewan Rakyat itu sendiri khasnya dengan pembentukan pelbagai jawatankuasa khas. 

Mungkin latarbelakang Tan Sri Md Ariff sebagai pakar perlembagaan dan undang-undang administratif menjadikan beliau amat memahami fungsi parlimen yang tidak boleh menjadi sekadar ‘rubber stamp’ kepada kerajaan yang memerintah.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir sewaktu membahaskan usul Perdana Menteri untuk memecat Speaker, tiada satu pun kesalahan yang dibuat oleh Tan Sri Md Ariff yang mewajarkan beliau dipecat. Jumlah pengundian yang dibuat iaitu 111 menyokong dan 109 menentang usul pemecatan beliau itu menunjukkan tahap kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepadanya. Saya yakin jika pengundian itu dibuat atas asas kebenaran dan atas asas undi individu maka nescaya kemungkinan besar undi yang membantah usul itu akan melebihi jumlah dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Malang sekali kerana yang mengundi itu adalah mengundi atas dasar blok kepartian dan bukan atas dasar kepercayaan individu.

Sebagaimana yang pernah saya katakan sebelum ini bahawa Tan Sri Md Ariff ini adalah insan yang berpegang dengan asas undang-undang dan bukan menurut telunjuk mana-mana pihak. Beliau bukanlah orang yang boleh kita anggap sebagai ‘lalang’ yang condong mengikut arah tiupan angin.

Sebab itulah beliau pernah menolak permintaan Tun Dr Mahathir sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Interim untuk memanggil sidang khas parlimen sehingga menyebabkan beliau telah dipanggil ke istana untuk menghadap ke bawah DYMM Tuanku Agong. Akhirnya, DYMM Tuanku Agong pun berkenan dengan pandangan Tan Sri Md Ariff ini. Begitu juga sewaktu Dato’ Seri Shafie Apdal mengemukakan usul percaya kepada Tun Dr Mahathir. Saya sendiri berpendapat usul tersebut tidak wajar dibuat dan tidak berpelembagaan dan akhirnya jelas Tan Sri Md Ariff menolak usul Shafie Apdal tetapi menerima usul Tun Dr Mahathir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin yang memenuhi kehendak-kehendak perlembagaan.

Tindakan Tan Sri Muhyidin selepas itu menggantikan Setiausaha Dewan Rakyat menunjukkan betapa Tan Sri Muhyidin tidak senang dengan tindakan Tan Sri Md Ariff yang membenarkan usul Tun Dr Mahathir itu.

Paling menarik sekali adalah Tan Sri Md Ariff sendiri membenarkan permintaan Perdana Menteri untuk menghadkan sidang Dewan Rakyat kepada satu sesi pagi sahaja pada bulan Mei 2020 yang lepas dan membenarkan satu usul oleh Perdana Menteri untuk memecat dirinya sendiri. Maka, apabila beliau disingkirkan daripada menjadi Speaker Dewan Rakyat sebenarnya yang rugi adalah rakyat itu sendiri kerana Parlimen sepatutnya menjadi satu institusi yang bebas. 

Sebab itu saya berasa hairan juga dengan ahli-ahli Parlimen PAS sekarang yang lebih mementingkan berpolitik daripada menilai hati budi seseorang yang berilmu dan berintegriti tinggi. Atas sebab itulah juga Tan Sri Md Ariff ini membenarkan usul untuk menyingkirkan beliau didengar di Parlimen dan beliau sendiri memilih untuk tidak mempengerusikan mesyuarat parlimen pada masa itu kerana beliau berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak harus menjadi hakim dalam mana wujud konflik kepentingan ke atas dirinya. Tindakan ini adalah satu tindakan berani, berprinsip dan penuh integriti oleh seorang Speaker yang berasaskan kepada kedaulatan undang-undang.

Tindakan beliau ini pastinya akan mengundang orang ramai untuk membuat perbandingan dengan Speaker yang baharu. Orang ramai kelak akan melihat sejauh manakah tindakan Speaker baharu ini sama ada berasaskan undang-undang atau sekadar mengikut telunjuk ahli politik semata-mata.

Setakat pemerhatian saya mengikut perbahasan diraja sepanjang persidangan ini saya nampak memang wujud perbezaan ketara dari segi pengendalian Dewan Rakyat. Jika ada soalan-soalan maut dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang tidak dapat dijawab oleh menteri atau jawapan sekadar konar sahaja pastinya Speaker akan mengulangi ayat ‘ini sesi Menteri, terpulang apa Menteri nak jawab’. Mungkin Speaker ingin menyelamatkan menteri itu daripada mengalami kesipuan.

Justeru, inilah antara mutiara pengalaman yang harus kita semua kutip. Ujian sebenar dan pengajaran bagi kita semua bahawa hidup berprinsip adalah jauh lebih mulia daripada menjadi ‘lalang ditiup angin’. Tiada guna kita berjawatan tetapi pada masa yang sama terpaksa menggadaikan prinsip kebenaran.


Dr Zulqarnain Lukman
6 Ogos 2020
15 Zulhijjah 1441H



Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor