Skip to main content

Jawapan Kepada Dr Muhammad Fathi Yusof : Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Kenapa cadangan pindaan Akta 355 tidak menetapkan had penjara, denda dan sebatan tetapi diberikan kuasa besar tanpa had melainkan hukuman mati?

Dr Muhammad Fathi Yusof menyatakan dalam Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Kenapa cadangan pindaan Akta 355 tidak menetapkan had penjara, denda dan sebatan tetapi diberikan kuasa besar tanpa had melainkan hukuman mati?

Cadangan pindaan itu memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan apa-apa hukuman mengikut hukum syarak selain daripada hukuman mati. Cadangan ini adalah wajar kerana:

1. Mahkamah Syariah adalah satu institusi mahkamah bukannya satu peringkat mahkamah seperti mahkamah Magistret dan Mahkamah Sesyen. Bahkan di bawah institusi mahkamah Syariah terdapat tiga peringkat mahkamah (akan ditambah menjadi lima). Ini bermakna Mahkamah Syariah memerlukan bidangkuasa hukuman yang lebih besar dan tidak tertakluk kepada had-had yang terlalu terperinci.

2. Perincian had-had hukuman perlu ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Enakmen Jenayah Syariah masing-masing. Jadi tidak timbul soal mahkamah Syariah mempunyai kebebasan mutlak atau diberikan ‘cek kosong’.

3. Kuasa hukuman Mahkamah Syariah tertakluk kepada ‘hukum syarak’, ini bermakna masih terdapat had yang mengikat mahkamah dan juga DUN, agar tidak menetapkan hukuman yang melampaui prinsip syarak seperti sebatan melebihi 100 kali dan seumpamanya.

4. Peruntukan yang dicadangkan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh menjatuhkan hukuman mati masih merupakan satu had yang meletakkan keseluruhan Mahkamah Syariah sebenarnya masih lebih rendah berbanding Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Kedudukan yang dicadangkan ini sebenarkan sekadar setaraf dengan Mahkamah Sesyen. Jadi ia merupakan satu kompromi yang adil dalam usaha untuk memartabatkan Syariah.

5. Tidak timbul dakwaan pemberian ‘cek kosong’ kepada Mahkamah Syariah kerana peruntukan serupa juga diberikan kepada Mahkamah Sesyen. Seksyen 63 Akta Mahkamah Rendah 1948 (Akta 92) memperuntukkan bahawa Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan segala kesalahan selain kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati. Seksyen 64 pula menyatakan bahawa Mahkamah Sesyen boleh menjatuhkan apa-apa hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang selain hukuman mati. Jadi peruntukan yang dicadangkan itu adalah bukan suatu yang janggal.

6. Dari sudut pengalaman dan tempoh perkhidmatan hakim-hakim kanan Mahkamah Syariah, mereka sepatutnya mempunyai wibawa untuk mengendalikan kes besar dan menjatuhkan hukuman yang lebih tinggi berbanding had yang dinyatakan tadi. Maka kaedah yang dicadangkan itu adalah yang terbaik bagi membolehkan penetapan had hukuman berdasarkan peringkat mahkamah dalam institusi Mahkamah Syariah dibuat jika dirasakan perlu.

7. Kaedah ini lebih baik untuk jangka masa panjang memandangkan penetapan kadar denda berdasarkan nilai semasa akan memerlukan pindaan secara berulang-ulang mengikut kadar nilai mata wang.

------------------------------------------------------------

Jawapan Kepada : Dr Muhammad Fathi Yusof - Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Kenapa cadangan pindaan Akta 355 tidak menetapkan had penjara, denda dan sebatan tetapi diberikan kuasa besar tanpa had melainkan hukuman mati?

Jawab 1: Mahkamah Syariah adalah satu institusi tetapi tetapi ianya hendaklah dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang ada. Memberikan kuasa yang infiniti tanpa had kecuali hukuman mati tanpa dinyatakan secara spesifik bentuk hukuman  akan membawa masalah. Isunya adalah memberikan kuasa tanpa had bukan menaikkan kadar hukuman.

Jawab 2: Memberikan kebebasan kepada DUN untuk memperincikan hukuman di Mahkamah Syariah akan membawa kepada ketidakseragaman undang-undang kerana ada 13 DUN di Malaysia ini. Perbezaan hukuman dan kesalahan ini telah pun berlaku sekarang dalam konteks hukuman 3,5,6. Contohnya di Terengganu, hukuman tidak solat fardhu boleh dijatuhi hukuman sehingga 5 ribu denda sedangkan hukuman yang sama tidak wujud di negeri-negeri lain.

Jawab 3: Tiada definisi ‘undang-undang syariah’ dalam RUU 355 Ahli Parlimen Marang. PerIembagaan Persekutuan juga tidak mendefinisikan maksud undang-undang syariah dan ini boleh membawa kepada perbezaan para hakim apakah hukuman di bawah undang-undang syariah terutama dalam konteks hukuman takzir yang tiada ketetapan khusus di dalam hukum syarak.

Jawab 4: Kedudukan Mahkamah Syariah tidaklah rendah sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa mahkamah sivil tidak boleh mencampuri bidangkuasa ekslusif mahkamah syariah. Ini juga telah dibuktikan dalam beberapa kes yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan seperti kes Lina Joy (berkaitan hak mahkamah syariah untuk penentuan agama Islam) dan kes Latifah Mat Zain (kes hibah). Memberikan kuasa untuk menjatuhkan hukuman yang infiniti tanpa had belum menjamin akan memertabatkan mahkamah syariah. Yang lebih penting adalah untuk menjadikan mahkamah syariah lebih efisien dalam menjalankan fungsinya.

Jawab 5: Isu pemberian ‘cek kosong’ ini telah disentuh dengan panjang lebar di dalam artikel “Apakah Maksud ‘Cek Kosong’ Dan Perbezaannya Dengan Bidangkuasa Mahkamah SIvil” [http://peguam.blogspot.my/2016/10/apakah-maksud-cek-kosong-dalam-ruu-355.html]

Jawab 6: Kita tidak mempersoalkan kewibawaan hakim Mahkamah Syariah tetapi kajian terperinci perlu dibuat untuk menetapkan kadar yang munasabah. Kesalahan syariah ini adalah pelbagai. Ada yang bersifat berdosa seperti mengajar ajaran sesat dan berzina. Ada yang berbentuk kesalahan pentadbiran seperti bernikah tanpa kebenaran, berpoligami tanpa kebenaran dan mengajar agama Islam tanpa tauliah padahal bernikah dan mengajar agama itu suruhan dan perintah agama. Kita tidak mahu kelak hakim tiada langsung panduan untuk menghukum bagi kesalahan seperti ini.

Jawab 7: Kaedah memberi ‘cek kosong’ kerana khuatir akan berlaku pindaan berulang kali adalah sangat nadir dan janggal dalam sistem perundangan Malaysia. Tiada apa-apa halangan untuk membuat pindaan pada masa hadapan bagi mana-mana hukuman mengikut kesesuaiannya kelak. Selama ini pun banyak pindaan telah dibuat ke atas undang-undang untuk menaikkan tempoh hukuman contohnya dalam kes penjara seumur hidup di dalam Kanun Keseksaan yang telah dinaikkan untuk tempoh 30 tahun.

Comments

Popular posts from this blog

Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Secara umumnya undang-undang berkaitan hak penjagaan anak ini adalah mudah. Lazimnya jika seseorang anak itu belum mumaiyyiz (belum dapat membezakan antara yang baik dan buruk), hak jagaan adalah diberikan kepada ibu. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyyiz, lazimnya umur 7 tahun ke atas, Mahkamah akan menemuramah anak itu dan menanyakan anak tersebut dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal. Walaupun terdapat beberapa pengecualian kepada prinsip umum ini, Mahkamah biasanya jarang lari daripada prinsip umum ini. Namun, pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes berkaitan hadhanah ini paling sulit untuk diselesaikan disebabkan faktor-faktor yang mendatang. Ini disebabkan seseorang ibu atau bapa itu gagal memahami konsep hadhanah ini menurut hukum syarak. Ibu atau bapa yang bercerai itu kadang-kadang terbawa-bawa dengan sebab perceraian sehinggakan anak tersebut menjadi mangsa. sumber: www.jurnalberita.com Sewaktu kes hadhanah itu berlangsung, pihak-pihak biasanya akan m...

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua...

THE CONCEPT OF CONSTRUCTIVE DISMISSAL IN MALAYSIA

1)            Constructive dismissal is a term used when an employee terminates his employment contract and considers himself discharged from further performance of his work as a result of his employer’s behaviour. For example, the employer has made the employee’s position at work untenable leaving the employee with no alternative but to quit his employment under protest. Although there is no actual dismissal by the employer, the end result is the same as if the employee had been fired. 2)            Gopal Sri Ram JCA in Quah Swee Khoon v Sime Darby Bhd [2001] 1 CLJ 9 at 19 described ‘constructive dismissal’ as follows: “A reading of the pleaded case for the parties resolved the issue that fell for adjudication before the Industrial Court into what the profession has come to call as a “constructive dismissal”. There is no magic in the phrase. It simply means this. An employer does not like...