Skip to main content

Perjalanan RUU 355 Di Parlimen


RUU 355 YB Ahli Parlimen Marang dijangka akan dibaca semula di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 17 Oktober 2016 sehingga 24 November 2016. Ada sahabat peguam yang menyatakan bahawa RUU 355 itu hanya perlu disebut dan diundi tanpa dibahaskan. Saya kurang bersetuju dengan pandangan tersebut. Bagi saya, sesuatu usul bagi rang undang-undang persendirian perlu dibahaskan dan diundi.


Kekeliruan ini timbul mungkin disebabkan perbezaan pemahaman terhadap Peraturan 49 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Peraturan 49 itu menyatakan:


Rang Undang-undang daripada ahli yang bukan ahli Kerajaan.

49. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.
(2) Tiap-tiap permohonan demikian itu hendaklah dengan cara yang dikeluarkan usul, dan ahli yang mengeluarkan permohonan itu hendaklah juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu salinan usulnya mengandungi nama Rang Undang-undang yang dicadangkan itu. Setiausaha hendaklah enggan menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati kehendak Peraturan-peraturan Mesyuarat ini atau mana-mana undang-undang Persekutuan.

(3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

(4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

(5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.


Secara ringkasnya kronologinya adalah seperti berikut:

  1. YB Ahli Parlimen Marang mengeluarkan usul berserta rang undang-undang kepada Setiausaha Dewan.
  2. Usul dikemukakan kepada mesyuarat, DIBAHASKAN dan diundi untuk dipersetujukan secara majoriti mudah.
  3. Jika usul tersebut tidak dipersetujukan, usul itu akan ditutup.
  4. Jika usul tersebut dipersetujukan, secara automatik usul tersebut akan dinaiktaraf sebagai rang undang-undang yang telah dibaca untuk kali pertama.
  5. Selepas dicapkan, rang undang-undang itu akan diserahkan kepada Menteri.
  6. Menteri yang menerima rang undang-undang itu boleh meminda rang undang-undang itu. Tiada tempoh lat masa ditetapkan untuk Menteri membawa semula usul ini sebagai bacaan kedua.
  7. Menteri akan membawa masuk semula rang undang-undang itu ke dalam Dewan sebagai bacaan kedua. Pada peringkat ini, ianya bukan lagi rang undang-undang persendirian. Ianya sudah menjadi rang undang-undang kerajaan.
  8. Rang undang-undang itu akan dibahaskan dan diundi untuk dipersetujukan secara majoriti mudah.
  9. Selepas itu, rang undang-undang itu akan diperlakukan seperti proses biasa iaitu melalui peringkat jawatankuasa, bacaan ketiga dan dibawa ke Dewan Negara sebelum ianya diperkenankan oleh YDPA dan diwartakan.


Pokok perbezaan, adalah sama ada rang undang-undang ini perlu dibahaskan atau hanya ‘dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu’. Bagi tujuan ini, kita perlu melihat kepada Peraturan 33 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan,


Cara membahaskan usul dan pindaan usul.


33. (1) Apabila sesuatu usul itu telah dicadangkan dan disokong, jika berkehendakkan disokong, maka Pengerusi hendaklah mengemukakan masalah itu kepada Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa Majlis Mesyuarat sebagaimana tersusun cakapnya dalam usul itu; setelah itu masalah ini bolehlah dibahaskan dan, dengan tertakluk kepada syarat-syarat Peraturan-peraturan Mesyuarat ini, perbahasan ini bolehlah dijalankan selagi ada ahli yang berhak boleh bercakap hendak bercakap.

(2) Apabila tidak ada lagi ahli yang hendak bercakap, maka Pengerusi hendaklah meminta keputusan Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa. Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa Majlis Mesyuarat hendaklah menyatakan keputusannya menurut syarat-syarat Peraturan Mesyuarat 45.


Peraturan 33 ini secara jelas telah menyatakan bahawa selepas usul itu dicadangkan dan disokong maka Speaker akan mengemukakan usul itu kepada mesyuarat untuk dibahaskan. Setelah tiada lagi ahli dewan yang berhak bercakap bangun berbahas maka baharulah akan dibuat undian.


Ada juga yang berpandangan bahawa apa guna dibahaskan usul YB Ahli Parlimen Marang ini kerana kelak apabila diluluskan, rang undang-undang itu akan dibaca untuk kali kedua oleh Menteri. Dihujahkan juga bahawa perbahasan ini akan menjadi berulang dan tidak mendatangkan manfaat.


Pandangan ini adalah silap kerana perbahasan akan berlaku pada dua peringkat iaitu di peringkat usul persendirian dan di peringkat bacaan kedua oleh Menteri. Perbahasan di peringkat usul adalah mustahak kerana ianya dibahaskan berdasarkan usul dan rang undang-undang yang dicadangkan itu. Hasil daripada perbahasan itu membolehkan ahli dewan menghadam usul yang dikemukakan dan seterusnya membuat keputusan untuk menerima atau menolak sewaktu undian dibuat.


Selain itu, perbahasan itu juga akan memberi manfaat kepada Menteri jika ianya diluluskan. Ini kerana Menteri boleh mengambil isi kandungan hujah-hujah untuk membuat penambahbaikan kepada rang undang-undang yang dicadangkan kelak.


Pada masa bacaan kedua kelak, ianya akan dibahaskan sekali lagi berdasarkan apa yang telah dipinda atau dipersetujui oleh kerajaan. Oleh itu, masalah yang akan dikemukakan kepada Dewan Rakyat mungkin berbeza kerana rang undang-undang itu mungkin akan dipinda oleh Menteri. Sebab itulah ianya berhajatkan kepada perbahasan kali kedua.


Ini berbeza dengan bacaan pertama sesuatu rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri. Rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri di dalam bacaan pertama tidak perlu dibahaskan. Ini dijelaskan di dalam Peraturan 48 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat:


Peraturan berkenaan dengan Rang Undang-undang.

48. Seseorang Menteri, setelah mengeluarkan pemberitahu sekurang-kurang satu hari terlebih dahulu, boleh membawa Rang Undang-undang dalam mesyuarat dengan tidak berkehendakkan mendapat perintah Majlis dan apabila dibawa sesuatu Rang Undang-undang demikian ini, maka nama Rang Undang-undang itu akan dibacakan oleh Setiausaha di Meja Mesyuarat dan setelah itu Rang Undang-undang itu adalah disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diterima bagi dibacakan kali yang kedua pada hari persidangan mesyuarat akan datang atau persidangan mesyuarat kemudian daripada itu:


Tetapi disyaratkan iaitu berkenaan dengan Rang Undang-undang Perbekalan, pemberitahu hendak dibacakan kali yang kedua boleh dikeluarkan pada hari dibawa Rang Undang-undang itu ke dalam mesyuarat.


Persoalan lain yang timbul adalah sama ada yang dibahaskan ini adalah usul YB Ahli Parlimen Marang sahaja atau pun dibahaskan bersekali dengan rang undang-undang yang dicadangkan. Jawapannya adalah jelas di Peraturan 49 bahawa usul tersebut telah dikemukakan bersama dengan rang undang-undang yang dicadangkan [‘dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya’]. Maka sudah tentu rang undang-undang itu akan dibahaskan bersama dengan usul yang dicadangkan itu. Apa gunanya rang undang-undang itu dikemukakan jika hanya usul sahaja yang dibahaskan. Jika ditelitikan usul YB Ahli Parlimen Marang ini dengan Rang Undang-Undang yang dikepilkan itu wujud sedikit perbezaan. Saya tidak pasti kenapakah Setiausaha Dewan tidak menyemak hal itu. Saya tidak fikir Setiausaha Dewan cuai dalam tugasannya. Jika kesilapan itu berlaku pada 26 Mei 2016 yang lepas, kita boleh andaikan hal itu adalah kecuaian. Tetapi untuk sidang kali ini kesilapan dalam usul itu masih lagi wujud. Mungkinkah ini akan membawa kita kepada petanda yang lain? Atau mungkinkah semasa sidang berlangsung kelak, YB Ahli Parlimen Marang akan memasukkan kertas pindaan terhadap usulnya?


Bagi rakan saya yang tidak bersetuju supaya usul YB Ahli Parlimen dibahaskan mungkin kerana mengambil pendekatan politik bahawa jika dibahaskan ianya mungkin menimbulkan kontroversi takfiri dan label melabel. Memang wujud kemungkinan kenyataan mana-mana ahli parlimen itu akan diputar-belitkan oleh pihak yang menyokong YB Ahli Parlimen Marang.  YB Ahli Parlimen Shah Alam pernah ditohmahkan hal yang sama seusai sidang parlimen pada 26 Mei 2016 yang lepas. YB Ahli Parlimen Shah Alam dikatakan telah menentang usul untuk menaiktaraf Mahkamah Syariah sedangkan YB Ahli Parlimen Shah Alam hanya memohon penjelasan daripada Speaker kenapakah usul YB Ahli Parlimen Marang itu diutamakan berbanding usul-usul lain yang berada lebih atas daripada usul YB Ahli Parlimen Marang di dalam Aturan Mesyuarat. Faktanya, YB Ahli Parlimen Shah Alam telah bangun bertanya kerana ianya pertama kali berlaku dalam Parlimen dan supaya kriteria yang sama boleh dijadikan duluan kes (case precedent) bagi usul-usul lain kelak. Perkara ini akan jelas apabila kita sendiri membaca hansard Parlimen bertarikh 26 Mei 2016.


Oleh itu, wujud cadangan kepada Ahli Parlimen supaya tidak bangun menentang atau berbahas RUU 355 setelah ianya dikemukakan kepada mesyuarat Parlimen. Dicadangkan supaya setelah RUU 355 itu dibentangkan kesemua ahli terus menyokong RUU 355 itu tanpa bahas untuk mengelakkan hal ini dipolemikkan.


Bagi saya mungkin tindakan itu mungkin dapat menyelamatkan persepsi politik orang Melayu ke atas sesetengah ahli parlimen. Namun, adalah menjadi kerugian kerana platform berbahas tidak digunakan sepenuhnya. Sedangkan itulah platform terbaik untuk berbahas dan untuk bertanyakan soalan kepada YB Ahli Parlimen Marang sendiri. Kesemua soalan dan perbahasan itu akan direkodkan di dalam hansard dan akan menjadi bahan sejarah yang penting untuk kajian pada masa hadapan.


Sehari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada hari Isnin bersamaan 17 Oktober 2016, saya melihat kuliah yang diberikan oleh seorang agamawan yang punya nama besar di dalam urusan dakwah di ibu kota menyampaikan kuliah. Semasa dalam memberikan kuliah itu, beliau ada menyentuh mengenai RUU 355 ini. Katanya, sepatutnya orang Islam menyokong RUU 355 ini kerana ianya bertujuan untuk meningkatkan hukuman di Mahkamah Syariah. Katanya lagi, hukuman yang ada ini sudah wujud semenjak beliau masih kecil lagi dan tidak berubah. Bila pencen baru ada rang undang-undang persendirian dimasukkan. Diungkapkan pula ‘apa punya bongok’ ke atas orang yang tidak bersetuju dengan RUU 355 ini dan yang menyatakan hukuman ini jika diluluskan oleh Parlimen sekali pun tidak akan memberikan nilai kuasa. Saya tidak kisah dengan pemahaman beliau mengenai RUU 355 ini. Itu adalah haknya untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Hanya yang menyebabkan rasa terkilan adalah apabila di dalam ulasannya beliau membuat kesimpulan orang yang tidak bersetuju itu ‘bongok’ dan selanjutnya membuat retorika ke atas orang yang tidak bersetuju dengan pertanyaan, “Kamu ini muslim ke tidak?”. Saya sangkakan masalah label melabel dan takfiri ini hanya berlaku ke atas ahli parti YB Ahli Parlimen Marang sahaja. Namun, apabila saya melihat gejala yang sama pun wujud ke atas agamawan yang sederhana dalam metod dakwahnya menyebabkan saya agak tergamam dengan cara dan tahap berfikir rakyat Malaysia khasnya di kalangan agamawan. Apakah nasib rakyat negara ini jika orang yang mempunyai pemikiran begini kelak yang memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan.


Sewajarnya orang agama ini harus cermat dalam isu RUU 355 ini. Kesimpulan mudah tidak seharusnya dibuat. Orang agama sepatutnya lebih cermat dan lebih menjaga lisannya kerana dikhuatiri akan menyebarkan maklumat yang tidak tepat. Dalam isu RUU 355 ini masing-masing perlu melihat kepada hujah kenapakah orang itu bersetuju atau tidak bersetuju dengan RUU YB Ahli Parlimen Marang. Tidaklah perlu menggelarkan orang yang tidak bersetuju itu dengan kata-kata yang tidak enak yang jelas menyalahi ajaran agama. Apatah lagi, sehingga kini beberapa persoalan yang ditimbulkan kepada YB Ahli Parlimen Marang atau partinya berkaitan RUU 355 ini masih belum ada jawapannya.


Sehingga kini kita tidak tahu dengan jelas siapakah yang mendrafkan RUU 355 YB Ahli Parlimen Marang? Sehingga kini kita tidak tahu kenapakah diusulkan Seksyen 2 dan Seksyen 2A sedangkan apa yang hendak ditingkatkan adalah hukuman semata-mata. Sehingga kini kita pun tidak pasti kenapakah tidak diusulkan sahaja hukuman sebat secara jelas sebanyak 100 rotan memandangkan YB Ahli Parlimen Marang sendiri akur bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kesalahan berkaitan hirabah dan sariqah. Sehingga kini kita pun tidak jelas kenapakah tidak diusulkan makna undang-undang syariah supaya kelak ada panduan kepada Mahkamah untuk membuat keputusan tanpa perlu Mahkamah bersusah payah memberikan pentafsiran itu. Sehingga kini kita pun tidak faham kenapakah Datuk Seri Jamil Khir dan YB Ahli Parlimen Kota Bharu tetap menyatakan bahawa RUU 355 ini tidak ada kaitan dengan hudud?


Akhir sekali, RUU 355 ini kini akan memasuki fasa baharu pada bulan Oktober 2016 setelah ianya dipolemikkan semenjak bulan Mei 2016 yang lepas. Oleh itu, marilah kita  sama-sama melihat sejauh manakah perjalanan RUU 355 YB Ahli Parlimen Marang dalam sidang parlimen kelak.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor