Skip to main content

Menulis Surat Hutang

Sewaktu seorang pensyarah undang-undang mengadu bahawa rakannya tidak menjelaskan hutangnya, langsung terlintas di fikiran saya sama ada beliau ada menulis surat hutang. Malang sekali, lintasan fikiran saya itu menjadi kenyataan apabila beliau mengakui bahawa tidak ada surat hutang ditulis. Kami berbual panjang berkaitan hal itu.

Katanya, “Ana ada bagi pinjam kat kawan RM80,000. Sampai sekarang dia tak bayar lagi.” Saya sedikit terpegun dan terkeluar daripada mulut menyapanya, “Banyak juga wang anta. Kaya betul anta bagi duit sebanyak itu tanpa sebarang rekod”.

Katanya lagi, “Kebetulan pada masa itu ana baru dapat duit lepas jual rumah. Malam itu dia mengadu bisnes dia down. Dia minta tolong kawan-kawan. Ana pula jenis mudah kesiankan orang. Dia lama tak contact ana. Jadi kita pun berbual mesra. Terus kita pulak terkena.”

Sambil memandang wajahnya yang naif memahami watak manusia, saya bertanya, “Dia cakap macam mana?”. Sambungnya, “Sebenarnya dia tak cakap pun. Dok main ikut sms aja.”

Terus terkeluar daripada mulut saya, “Astaghfirullah, lurus betul anta. Dengan sms pun boleh pinjam duit puluhan ribu. Lepas tu bagaimana boleh bagi kat dia sebanyak itu.”

Beliau menyambung, “Entah macam mana ana boleh lembut hati. Ana transfer terus dalam akaun dia.”

Saya bertanya lagi, “Tak ada surat menyurat ke.” Jawabnya, “Tak ada. Dia janji nak pinjam dua bulan aja. Sekarang dah masuk dua tahun.”

Saya terus bertanya, “Lepas tu tak ada follow up ke?” Katanya, “Ada juga mesej kat dia beberapa kali. Dia buat tak tahu aja.” Dengan wajahnya sedikit kesal, dia bertanya, “Boleh saman ke?

Dalam fikiran saya sudah tergambar kepayahan kes ini. Saya menjawab dengan nada yang rendah, “Bolehlah kalau anta nak saman. Tapi bukti tak kuatlah. Bergantung kepada bukti lisan sahaja. Bukti lisan ini boleh jadi berpihak kepada kita dan boleh jadi berpihak kepada dia. Masalahnya kalau kita saman dan dia nafi itu lagi problem sebab beban bukti atas kita. Tapi kalau tak saman tak nampak jalan dia nak bayar balik. Kita doa ajalah biar dia ada iman sikit dan percaya roh orang yang berhutang tak akan masuk syurga. Kalau nasib menyebelahi anta, dia tak akan lawan saman tu”

Beliau nampak berfikir sejenak lalu berkata, “Macam tu ke. Susah juga ni. Nak saman kan nanti nak kena gaduh pula dengan kawan. Entahlah, nanti kita tengok macam mana.”

Sebelum dia beredar, saya menyambung, “Kalau nak saman itu kena buat dalam tempoh 6 tahun. Anta pun tahu berkaitan Akta Had Masa.”

Begitulah lebih kurang perbualan yang berlaku. Sehingga kini, pensyarah itu belum lagi menyaman rakannya dan tidak diketahui sama ada beliau telah memperolehi semula wangnya.
Sebenarnya menulis surat hutang ini adalah sunnah yang disebut dalam Al-Quran. Ada ulama yang mengatakan hukumnya wajib dan ada yang mengatakannya sunat. Majoriti berpandangan arahan Allah swt ini adalah sunat yang digalakkan.

Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga sesuatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu, kemudian kalau tidak saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu  mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derahka) yang ada pada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Al-Baqarah: 282 [Tafsir Al-Maraghiy, Juzuk 3-4, DBP, 2001, hlm 652]

Beberapa tahun lepas pada suatu ketika seorang rakan ingin meminjam wang hampir RM1000 dan saya telah meminta beliau mencarikan sekeping kertas untuk menulis surat hutang. Pada mulanya, rakan saya rasa tersentak dengan permintaan saya itu kerana padanya saya adalah teman rapat yang dikenalinya semenjak bertahun-tahun. Dia menganggap saya seolah-olah meragui kepercayaan saya kepadanya.

Jauh di benak hati, saya sudah terfikir bahawa beliau akan mengucapkan hal tersebut, namun, saya kuatkan juga hati untuk memberitahunya bahawa menulis surat hutang ini hukumnya jika tidak wajib, paling kurang pun adalah sunat. Sunat bermaksud kita akan terus mendapat pahala dan ganjaran sebaik sahaja menulis surat hutang.

Betapa agungnya Tuhan mengetahui sifat dan psikologi manusia apabila memberi hutang. Bagi pemberi hutang, pasti sudah terbenak dalam mindanya adakah hutang ini akan dibayarnya atau beliau akan memungkiri janjinya. Maka, Allah telah mendamaikan hati pemberi hutang itu dengan memberikan jalan keluar yang sangat mudah tetapi terperinci iaitu MENULIS SURAT HUTANG.
Justeru, penerima hutang itu sifatnya pula selalu pelupa akan hutang yang dibuatnya sendiri.

Justeru, penerima hutang itu sifatnya pula selalu pelupa akan hutang yang dibuatnya sendiri. Mengapa Tuhan hanya menyebut “Jika ORANG YANG BERHUTANG itu orang yang bodoh (lemah akalnya) atau lemah (keadaannya) …” dan tidak pula menyebut “ORANG YANG BERHUTANG DAN ORANG YANG MEMBERI HUTANG sebagai orang yang bodoh (lemah akalnya)”. Pastinya kerana Tuhan amat memahami psikologi pemberi hutang yang pasti akan terus ingat hutang yang diberikan tetapi yang menerima hutang sering lupa akan hutang yang diterimanya.

Setelah mendengar penjelasan itu, rakan saya akhirnya bersetuju untuk menulis surat hutang. Malangnya kertas tidak ada lantas kami terpaksa masuk dalam sebuah kedai untuk membeli sebuah buku kertas kajang.

Saya mencabut sehelai kertas kajang dan mula menulis perjanjian surat hutang itu berdasarkan apa yang dipelajari daripada ayat 282. Selepas itu saya menyalin kembali kandungan surat itu atas helaian kertas kajang yang kedua untuk diberikan salinannya kepada rakan saya itu.

Ada dua perkara mustahak dalam surat hutang iaitu jumlah yang diberikan hutang dan tempoh pembayaran hutang itu. Selain itu, perlu juga dinyatakan dengan jelas siapakah pemberi hutang, siapakah penerima hutang. Jika tiada butiran itu maka surat hutang itu tidak sempurna.

Setelah itu hendaklah surat itu dibaca dan jika dipersetujui maka kedua-dua pihak hendaklah menandatangani surat berkenaan. Jika ada sesiapa pada masa itu yang boleh menjadi saksi maka hendaklah ianya dipersaksikannya. Namun, jika tiada seorang pun saksi sekurang-kurangnya surat itu boleh menjadi suatu keterangan yang kuat mengenai berlakunya keberhutangan tersebut.

Pastikan juga bahawa setiap pihak mendapat satu salinan surat hutang tersebut supaya kelak tidak timbul isu bahawa satu pihak telah mengubah terma dalam surat hutang itu. Percayalah bahawa godaan syaitan iblis pasti wujud untuk satu pihak berbuat demikian khususnya apabila berlaku sebarang kemungkiran. Ini kerana surat hutang itu akan menjadi bukti di dalam mahkamah dan ramai yang ingin menang kes dengan cara yang keji.

Setelah sampai tempoh masa bayaran hutang itu, rakan saya itu telah meminta tempoh untuk membayar kerana beliau masih lagi dalam kesulitan wang. Namun, beliau menceritakan kepada saya bahawa surat hutang itu telah menyebabkan beliau sering resah kerana teringatkan hutang beliau. Saya telah memberikan tempoh dan alhamdulillah akhirnya beliau telah dilapangkan rezeki dan diberikan kekuatan untuk menjelaskan hutangnya.

Pada suatu ketika yang lain, ada seorang yang juga ingin berhutang sebanyak RM2000. Beliau telah berjumpa saya dan saya telah rasa kasihan kepada beliau. Tetapi saya juga mengambil langkah yang sama untuk menulis surat hutang.

Belum sempat beliau menjelaskan hutangnya, beliau telah ditimpa musibah apabila beliau meninggal dunia disebabkan kemalangan maut. Mujurlah ada surat hutang itu yang dapat membuktikan keberhutangannya. Saya telah berjumpa dengan balunya dan memberitahu hutang itu dan balunya berjanji untuk menjelaskan hutang si mati. Alhamdulilah, suaminya ada mendapat wang pampasan takaful berjumlah puluhan ribu ringgit dan balu itu dapat menjelaskan hutang bagi pihak si mati.
Itulah antara hikmah tersembunyi dalam menulis surat hutang ini.

Surat hutang ini tidaklah perlu ditulis dengan penuh butiran dan terma yang kompleks jika hutang itu sekadar hutang peribadi. Tetapi jika hutang tersebut melibatkan jumlah yang besar ada baiknya untuk mengupah peguam untuk menulisnya supaya ianya tidak bercanggah dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Ini juga untuk memastikan bahawa pemberi hutang dapat menjaga kepentingannya supaya penerima hutang tetap bertanggungjawab terhadap hutang yang diterimanya.

Maka, janganlah kita memandang rendah terhadap catatan surat hutang ini. Ianya adalah satu ajaran Islam yang bersifat sejagat dan universal. Ianya membantu kita memahami sifat dan perangai manusia serta sisi gelapnya apabila timbul bab hutang ini.

Malang sekali, umat Islam telah melupakan hal ini tetapi orang Barat khasnya Common Law (undang-undang lazim Inggeris) telah mengambil prinsip ini dan telah menjadikannya sebagai asas dalam undang-undang kontrak. Sehingga kini, undang-undang kontrak yang berasaskan Common Law sangat berkembang pesat dan diamalkan di banyak negara Komanwel termasuklah di Malaysia.
Menariknya, kebanyakan prinsip asas dalam undang-undang kontrak Common Law ini selari dengan prinsip Islam. Maka, jika ada yang mendakwa Islam perlu meruntuhkan sistem jahiliah dan membina Islam atas runtuhan jahiliah itu sebenarnya telah terpesona dengan istilah yang popular sedikit masa dahulu pada masa perkembangan Ikhwan Muslimin.

Padahal realitinya, kenyataan dogmatik itu jika dibahaskan tidak mempunyai sebarang asas di sisi hukum Syarak. Malah, logik akal juga menyatakan bahawa apakah perlu kita meruntuhkan rumah yang lama jika rumah yang lama itu masih lagi utuh dan sesuai didiami. Jika ada pun keperluan untuk melakukan sedikit perubahan maka lakukanlah sahaja perubahan itu tanpa perlu merosakkan sesuatu yang baik dan telah lama berjalan di atas prinsip keadilan.

Akhir sekali, pesanan buat yang ingin memberi hutang, pastikan hutang yang diberikan itu didokumentasikan dengan sebaiknya. Elakkan memberi hutang kepada orang yang memang tidak akan membayar hutang kelak nanti timbul perasaan yang merosakkan jiwa jika berlaku kemungkiran dalam pembayaran hutang tersebut sehinggakan ada yang putus silaturrahim bahana hutang itu.



Comments

ROHAN said…
Aku pernah kendalikan kes pelaburan yang tak ada perjanjian. Dokumen yang ada hanya WhatsApp dan bukti transfer duit. Alhamdulillah menang kes guna bukti-bukti ini. Jumlah pelaburan beratus ribu. Surat Hutang bukan bukti wajib untuk menang kes. Jikalah perlu surat hutang maka WhatsApp dan bukti transfer duit itu sudah mencukui. SMS dan bukti lisan diterima dalam Evidence Act.

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor