Skip to main content

PEGUAM KALAH KES

PEGUAM KALAH KES


Sejujurnya bila jadi peguam kita akan lebih ingat saat kita kalah kes daripada kita menang kes. Anehnya, ramai sekali menulis di facebook atau instagram bahawa mereka menang kes dan jarang sekali yang menulis berkenaan kalah kes. Bagi peguam litigasi kalah kes itu adalah lumrah dan hakikat yang perlu diterima. Sama seperti orang yang membeli saham di Bursa Malaysia, ada ketika untung dan ada ketika rugi. Pokoknya jangan biarkan kerugian itu mengatasi keuntungan yang diperolehi.


Namun, bukan senang untuk seseorang itu menerima kekalahan. Dalam dunia kepeguaman, ianya ibarat ‘zero sum game’. Tiada hakim yang memutuskan peguam itu seri. Penghakiman adalah warna hitam dan putih sama seperti baju uniform peguam ke mahkamah. Tiada hijau, tiada oren, tiada biru, tiada merah. Noktah!


Sebab itu bagi peguam litigasi mereka harus belajar cara menangani emosi diri dan emosi klien. Peguam yang gagal menangani emosi diri akan mengalami saat depresi. Ada peguam yang berhari-hari menjadi depresi kerana kalah kes. Kalah kes adalah momen yang sangat mengecewakan jika peguam itu sangat yakin akan menang kes berkenaan. Jangan pula emosi peguam lagi teruk daripada emosi klien.


Hakikatnya tiada siapa dapat menjangka apa keputusan yang hakim akan berikan. Ada kalanya kita menyangka kes kita sangat kuat dan tidak dapat dipatahkan oleh pihak lawan. Tetapi, akhirnya keputusan kes tidak menyebelahi kita.


Pelbagai faktor yang wujud yang menyebabkan kalah kes. Ada peguam kalah dek kerana kertas kausa atau pliding yang disediakan tidak mencapai standard sehinggakan pihak lawan telah memasukkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan. Ada peguam yang kalah kes disebabkan saksi memberikan keterangan yang tidak menyebelahinya atau keterangan saksi tersebut tidak konsisten dengan keterangan saksi yang lain.


Ada pula yang kalah kes disebabkan merit kes itu sendiri yang tidak menyebelahinya. Ada pula yang kalah kes kerana hakim itu sendiri tidak bersetuju dengan pandangan peguam walaupun pandangan peguam itu mempunyai merit yang kuat. Ada peguam kalah kes kerana hakim itu kasihan dengan defendan.


Selalunya kekecewaan kalah kes di peringkat awal lebih dahsyat daripada kalah kes selepas melalui proses perbicaraan. Dahulu sewaktu membuat kes petisyen pilihan raya, YB Mohamed Hanipa Maidin sering menyebutkan bahawa petisyen pilihan raya ini jika sudah dibenarkan bicara itu pun sudah dianggap menang kes. Ini kerana sangat sukar seorang hakim untuk membenarkan perbicaraan bagi kes petisyen pilihan raya. Majoriti kes petisyen pilihan raya akan dibatalkan di peringkat awal-awal lagi.


Jadi apabila menasihati klien adalah lebih baik jangan memberikan harapan menggunung kepada klien tersebut. Nasihatilah klien berasaskan undang-undang dan bukan dengan emosi. Peguam yang berpengalaman mungkin boleh menasihati juga klien dengan pengalaman mereka berdasarkan kes-kes lepas yang telah mereka kendalikan.


Peguam yang mengendalikan kes sivil sebenarnya lebih besar depresinya apabila kalah kes berbanding dengan peguam penjenayah. Ini kerana peguam kes sivil boleh membuat rencana atau pelan bagi memenangi kes yang dikendalikan. Peguam penjenayah pula ibarat kata kalah dalam tangan, menang adalah bonus.


Peguam kes sivil yang mengendalikan kes bagi pihak plaintif mempunyai strategi yang berbeza untuk menang kes. Peguam kes sivil yang mengendalikan kes bagi pihak defendan juga mempunyai strategi yang berbeza untuk menang kes. Jika peguam plaintif menggunakan strategi yang sama seperti peguam defendan maka besar kemungkinan peguam plaintif itu akan menari mengikut rentak peguam defendan dan akhirnya akan kalah kes. 


Bagi peguam plaintif, mereka harus berhati-hati dalam mendrafkan saman dan pernyataan tuntutan. Belasan tahun yang lepas semasa mula-mula beramal sebagai peguam, berlaku kesilapan besar dalam mendrafkan pernyataan tuntutan. Kesilapan itu adalah berkaitan dengan ketiadaan perenggan yang menghubungkan kausa tindakan dengan fakta yang dibentangkan. Dek kerana kesilapan itu pihak lawan telah menfailkan permohonan untuk membatalkan kes.


Kausa tindakan (cause of action) ini adalah satu perkara yang mustahak. Kausa tindakan ini adalah asas utama untuk seorang plaintif itu menyaman defendan. Contohnya dalam satu saman bagi menuntut kemungkiran defendan untuk membayar hutang, semestinya wujud perenggan dalam pernyataan tuntutan yang menerangkan bagaimana hutang tersebut masih terakru. Adalah tidak memadai untuk sekadar menerangkan wujudnya perjanjian kontrak yang menyebabkan hutang tanpa menjelaskan pertalian bahawa hutang itu masih wujud dan gagal dibayar oleh defendan. Kegagalan peguam plaintif berbuat demikian boleh menyebabkan peguam defendan memasukkan permohonan untuk membatalkan saman dan pernyataaan tuntutan kerana ketiadaan kausa tindakan.


Satu perkara yang aneh dalam mendrafkan pernyataan tuntutan ini adalah perbezaan amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Jika di mahkamah sivil, adalah memadai jika plaintif telah memplidkan fakta-fakta yang berkaitan dengan kausa tindakan. Namun, di mahkamah syariah jika seseorang itu sekadar memplidkan fakta yang menjadi sandaran tanpa memplidkan seksyen yang betul bagi tuntutan yang dibuat maka peguam defendan atau hakim sendiri akan membatalkan kes kerana ketiadaan kausa tindakan. Bagi hakim mahkamah syariah, kegagalan untuk menyatakan seksyen yang mana plaintif bergantung akan menyebabkan keseluruhan pernyataan tuntutan itu gagal kerana ketiadaan kausa tindakan.


Peguam defendan pula perlu cermat dalam mendrafkan pembelaan yang difailkan. Kegagalan untuk membuat pembelaan yang betul dan hanya membuat penafian kosong boleh menyebabkan defendan kalah awal. Peguam plaintif pastinya akan memasukkan satu permohonan untuk penghakiman terus (permohonan untuk memasukkan penghakiman hanya berasaskan afidavit tanpa memanggil saksi untuk memberikan keterangan). Bagi peguam defendan yang cermat, dia akan meneliti setiap satu perenggan dalam pernyataan tuntutan dan mencari kesilapan yang dibuat oleh peguam plaintif. Jika ada kesilapan yang material seperti ketiadaan kausa tindakan, peguam defendan boleh menasihati kliennya untuk memasukkan permohonan untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan.


Baru-baru ini seorang klien telah meminta saya menfailkan kes bagi menuntut hutang yang telah 3 tahun tertunggak dan gagal dibayar oleh defendan. Sewaktu mendrafkan pernyataan tuntutan saya telah dapat mengagak pembelaan yang akan dibuat oleh defendan berdasarkan interbiu saya dengan klien. Antaranya adalah berkaitan dengan liabiliti pihak ketiga iaitu pihak insuran untuk menanggung hutang tersebut. Saya juga telah mendapati wujud kelemahan klien saya berkaitan dengan dokumentasi inbois yang dikeluarkan kerana inbois itu tidak ditandatangani dengan sempurna dan pihak defendan juga gagal untuk mengakui terima inbois tersebut. Secara umumnya, jika defendan tidak mengakui inbois itu maka klien saya akan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan penghakiman ke atas defendan.


Akhirnya, sewaktu menerima pembelaan yang difailkan oleh peguam defendan saya mendapati tepat sekali telahan bahawa peguam defendan pastinya akan membangkitkan liabiliti pihak insurans untuk menanggung hutang tersebut dan tidak membangkitkan apa-apa isu berkaitan ketepatan jumlah hutang tersebut.


Setelah berbincang dengan klien, saya menyarankan supaya klien memberikan arahan kepada peguam untuk menfailkan satu permohonan untuk penghakiman terus walaupun kemungkinan wujud isu-isu untuk dibicarakan. Tujuannya adalah untuk mengetahui setakat mana bukti yang ada dengan defendan jika kes ini ditetapkan untuk perbicaraan.


Apa yang mengejutkan pula sewaktu defendan membalas afidavit klien saya, defendan langsung tidak membangkitkan isu mengenai ketepatan jumlah hutang dan hanya membangkitkan isu liabiliti pihak insurans. Oleh kerana saya telah bersedia dengan serangan sebegitu pastinya saya akan memberikan jurus tangkisan yang tepat kepada lawan. Saya telah meminta klien untuk membekalkan segala dokumen yang berkaitan penafian pihak insuran terhadap liabiliti itu dan pengakuan defendan sendiri yang sanggup menanggung hutang itu.


Ternyata apabila dikemukakan bukti-bukti yang tidak dapat disangkal itu pihak defendan telah memasukkan hujahan yang berbeza sama sekali dengan apa yang terkandung dalam afidavitnya. Pada masa itu baharulah pihak defendan mula mempertikaikan ketepatan jumlah hutang sedangkan isu tersebut tidak terkandung sama ada dalam pembelaannya mahu pun afidavit jawapannya. Pada saat itu, peguam defendan sebenarnya sudah ketinggalan keretapi kerana gagal untuk membangkitkan hal itu di dalam pembelaan atau pun afidavit jawapan.


Maka, akhirnya keputusan mahkamah berpihak kepada klien saya. Sebab itu saya nyatakan bahawa proses untuk menyaman defendan ini memerlukan strategi yang tepat dan kebolehan peguam untuk membuat jangkaan terhadap serangan lawan. Jika kita mampu membaca gerak lawan maka kita akan tahu apa senjata yang perlu kita guna untuk melawan musuh itu.


Bagi peguam litigasi jenayah pula mempunyai peranan yang berbeza. Jarang sekali ada permohonan untuk membatalkan pertuduhan jenayah kerana dalam kebanyakan kes hakim akan memberikan peluang kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan keterangan saksi-saksi. Tambahan lagi tiada ruang untuk peguam penjenayah membangkitkan isu ketiadaan kausa tindakan. Lazimnya, peguam penjenayah hanya akan membuat permohonan untuk membatalkan pertuduhan jika pertuduhan itu benar-benar defektif. Namun, itu pun mungkin hanya menjadi penyelesaian jangka pendek. Jika mahkamah membenarkan permohonan itu sekali pun kemungkinan besar mahkamah hanya akan melepaskan tertuduh dan bukan membebaskan tertuduh (discharge not amounting to an acquittal). Maksudnya pendakwaraya masih lagi berpeluang untuk menuduh suspek itu kembali. Lainlah jika Mahkamah itu membebaskan tertuduh maka tertuduh itu tidak akan dituduh semula kerana adalah menjadi hak asasi seseorang untuk tidak dituduh untuk kali kedua atas kesalahan yang sama kerana ianya bertentangan dengan prinsip ‘double jeopardy’.


Strategi dalam perbicaraan sivil tidak boleh digunakan dalam perbicaraan jenayah. Dalam banyak hal, jarang ada peguam yang mahir dalam kedua-dua litigasi sivil atau jenayah. Mungkin saya agak bernasib baik kerana latihan saya di peringkat awal adalah berkaitan dengan litigasi jenayah sehingga saya telah membawa kes ke Mahkamah Persekutuan. Selepas itu saya tidak lagi meneruskan kerjaya dalam bidang litigasi jenayah kecuali kalau kes-kes yang melibatkan ahli keluarga ataupun kenalan rapat atau kes-kes pro bono sahaja.


Bagi saya adalah lebih baik untuk seorang peguam itu fokus dalam satu-satu bidang untuk beliau menjadi lebih profesional. Sebab itu ada peguam di peringkat Mahkamah Rayuan dan Persekutuan tidak mampu untuk menjalankan sesi soal balas dengan berkesan kerana kurang latihan dalam proses soal balas tetapi peguam seperti ini sangat cemerlang dalam berhujah dan mampu untuk meneliti alasan penghakiman dengan baik serta mencari kesilapan hakim.


Suatu ketika dahulu, saya sering berjumpa dengan peguam-peguam kanan untuk belajar sesuatu daripada mereka. Antara peguam kanan yang hebat buah fikirannya adalah Tuan Syed Ibrahim. Beliau pernah memberikan nasihat bahawa jangan takut untuk membangkitkan satu-satu isu undang-undang yang halus. Katanya, cubalah kemukakan kepada mahkamah isu undang-undang itu dengan sebaik-baiknya. Katanya lagi, isu itu walaupun kecil tetapi mempunyai merit jika kita pandai berhujah. Malang sekali, ramai hakim yang tidak nampak isu tersebut dan hanya lebih gemarkan untuk melihat isu yang kasar yang nampak di mata.  Baginya, kalah berprinsip lebih baik daripada menang. 


Mendiang Karpal Singh juga diketahui ramai sebagai peguam yang hebat dan beliau pernah menyatakan perkara yang sama tatkala kita bertanyakan soalan tentang apakah nasihat beliau kepada peguam muda. Pada waktu itu saya baharu menceburi bidang guaman pada tahun 2000. Nasihatnya, ‘Just ask anything from the court. Don’t worry if the court does not agree with you’. Mungkin sebab itulah mendiang Karpal disegani oleh kawan dan lawan. Sebab keberanian beliau untuk menerima kekalahan. Sebab itu juga jika kita teliti banyak undang-undang telah dipinda selepas mendiang menang kes tersebut. Ini kerana mendiang banyak sekali berhujah di mahkamah menggunakan isu-isu baharu yang belum pernah dihujahkan sebelum ini dan mahkamah pula berpihak kepada beliau.


Satu perkara yang sering menghantui jiwa peguam dalam guaman adalah untuk membawa kes yang kita tidak biasa dengannya. Banyak kali saya kalah kes apabila kes itu pertama kali dibawa. Ini semacam sudah menjadi fobia dalam diri saya dan seolah-olah ada satu mental block apabila membawa kes itu untuk kali pertama yang seumpamanya. Ini kerana banyak kali berlaku kejadian yang mana saya mengalami kegagalan dalam apa jua bidang pada percubaan kali pertama. Perasaan itu seakan-akan menghantui jiwa dan ia akan terus kekal sekiranya kita tidak mengubahnya.


Bagaimanakah cara untuk kita mengubahnya? Sebenarnya tiada karma dalam hidup kita. Kita tidak perlu risau akan hal tersebut. Nasib kita bukanlah ditentukan oleh kali pertama itu tetapi lebih kepada persediaan kita. Kalau dalam fikiran kita sudah mengatakan bahawa kita akan kalah dalam percubaan pertama maka kita akan kalah sebelum berlawan. Sebab itu, sepatutnya apabila kita membuat percubaan pertama kita haruslah membuat persediaan mental terlebih dahulu sebelum memasuki gelanggang pertarungan. Persediaan yang rapi sebelum memasuki gelanggang pertarungan akan membantu kita untuk menangani emosi menerima kekalahan. Selain kekuatan mental, kita perlu memecahkan mental block yang menghimbau kenangan lampau.


Antara cara yang boleh dibuat untuk mengubah mental block itu adalah dengan mengajak rakan peguam yang biasa dengan sesuatu kes itu untuk turut bersama mengendalikan kes. Dengan cara itu kita akan mendapat coaching daripada rakan kita dan kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan bodoh (silly mistake). 


Beberapa hari lepas seorang kawan telah mengadu tidak berpuashati apabila beliau telah kalah kes berkaitan dengan penamatan satu perjanjian jual beli. Fakta kes tersebut adalah berkaitan dengan kemungkiran penjual untuk menyempurnakan perjanjian jual beli kerana ketidakmampuan penjual untuk melunaskan tebus hutang dengan bank pembiaya. 


Akhirnya pihak pembeli telah menyaman pihak penjual dan meminta pemulangan deposit serta gantirugi yang bersamaan dengan jumlah deposit sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian jual beli. Pihak penjual pula telah membuat tuntutan balas untuk menuntut gantirugi kerana tidak dapat menggunakan premis yang telah dijual disebabkan penjual telah menyerahkan kunci rumah kepada pembeli dan pembeli tidak memulangkan kunci rumah itu kepada penjual setelah perjanjian jual beli ditamatkan.


Namun, di akhir kes, majistret hanya membenarkan permintaan untuk pemulangan deposit dan tidak membenarkan tuntutan gantirugi. Sebaliknya, majistret juga membenarkan tuntutan balas yang dibuat oleh penjual.


Bagi kawan saya keadaan tersebut adalah tidak adil kerana perjanjian jual beli telah mengandungi klausa berkaitan gantirugi. Tambahan lagi, pembeli juga tidak mendiami rumah tersebut dan kawan saya tertanya-tanya kenapakah beliau pula perlu membayar gantirugi kepada penjual sedangkan beliau yang telah teraniaya dengan perbuatan penjual yang melakukan kemungkiran untuk pembayaran tebus hutang. Baginya fakta kes tersebut adalah jelas dan tidak sepatutnya beliau kalah dalam tuntutan gantirugi.


Saya menyatakan kepada rakan saya bahawa tidak perlu bermuram durja dengan keputusan majistret tersebut dan jika tidak berpuas hati maka failkan sahaja satu rayuan terhadap keputusan majistret tersebut itu. 


Beberapa tahun lepas ada seorang klien berbangsa Arab yang telah menfailkan kes bagi menuntut harta sepencarian. Sewaktu beliau bernikah dengan arwah isterinya, seorang janda anak enam, keadaan beliau sangat miskin dan tidak berharta. Begitu juga arwah isterinya adalah tidak berharta dan sudah hampir bankrap.


Namun, rezeki Tuhan itu sangat luas dan dalam tempoh 10 tahun pernikahan mereka berjaya mengumpulkan harta yang tidak kurang bernilai sebanyak RM2 juta. Tiba-tba isterinya meninggal dunia dan beliau menuntut harta sepencarian terhadap harta-harta yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkahwinan mereka.


Mungkin kerana bukti-bukti yang tidak lengkap, hakim tidak membenarkan tuntutan harta sepencarian itu. Pada peringkat awal kes itu saya telah meneliti fakta kes dan saya sendiri tidak menjangkakan tuntutan harta sepencarian itu tidak dibenarkan. Bagi saya kes klien saya itu mempunyai kekuatan fakta untuk menang. Saya telah menasihati klien untuk menfailkan satu rayuan tetapi beliau telah berputus asa dan tidak meneruskan kes itu.


Ada kalanya klien menfailkan kes bukan kerana hendak menang tetapi hanya untuk mengetahui cerita sebenar yang berlaku. Klien seperti ini sanggup berhabis beribu ringgit untuk mengupah peguam semata-mata untuk mengetahui cerita di sebalik sesuatu perkara. Beberapa tahun lepas ada klien yang menfailkan kes untuk menentukan status perceraian arwah adiknya. Saya telah menyatakan bahawa kemungkinan besar kes ini tidak akan menang kerana pensabitan perceraian hanya boleh dibuat dengan ikrar suami atau pun dengan adanya dua orang saksi lelaki mengikut mazhab Syafie. Tetapi klien itu berkata tidak mengapa jika kalah pun asalkan mereka dapat mengetahui cerita yang sebenar.


Akhirnya seperti yang dijangka, hakim tidak mengesahkan perceraian itu telah berlaku apabila isteri arwah adiknya menafikan berlaku perceraian itu. Tetapi klien saya telah berpuas hati kerana telah mendapat cerita yang sebenar walaupun beliau kalah dalam kes itu. Dalam hal ini saya sendiri pun tidak ralat apabila kalah kes ini kerana kita sudah dapat menjangkakan bahawa kes tersebut sukar untuk menang.


Dahulu sewaktu mengendalikan kes berkaitan pensabitan wasiat wajibah saya tidak menjangka akan kalah kes tersebut. Ini kerana wujud fatwa yang menyokong dan enakmen wasiat juga telah wujud di negeri Selangor. Setelah menelaah beberapa kitab arab dan berjumpa dengan pakar, bagi saya wasiat wajibah ini tidak memerlukan bahawa penerima wasiat wajibah itu adalah kanak-kanak, dan kanak-kanak itu pula tidak seharusnya berstatus fakir miskin untuk menerima wasiat wajibah (Dalam kes ini klien saya adalah orang yang telah dewasa). Ini kerana yang menerima faraid juga tidak disyaratkan sebagai kanak-kanak. Malangnya, wujud perbezaan antara versi Bahasa Melayu yang menyebut istilah ‘kanak-kanak’ dan versi bahasa Inggeris yang menyebut istilah ‘grandchildren’. Hakim pula telah memilih untuk mengikut versi bahasa Melayu dan bagi hakim wasiat wajibah ini hanya untuk kanak-kanak yang fakir miskin sahaja. Akhirnya saya kalah kes tersebut. Namun, beberapa tahun kemudian, DUN Selangor telah membetulkan kesilapan versi bahasa Melayu itu dan terbukti bahawa pendapat saya itu benar.


Saya juga pernah mengalami kekecewaan apabila kalah kes berkaitan permohonan cerai secara taklik. Dalam kes tersebut perbicaraan telah dijalankan secara sebelah pihak kerana pihak suami sudah ghaib dan tidak dapat dikesan. Fakta kes tersebut adalah berkaitan keadaan isteri telah keluar rumah kelamin dan pergi tinggal bersama dengan kakaknya. Isteri ini telah marah kepada suaminya kerana kegagalan suaminya untuk keluar mencari nafkah dan hanya duduk di rumah sahaja selama berbulan-bulan. Setelah itu, suami telah datang ke rumah kakaknya dan isteri masih tetap enggan berjumpa dengan suaminya.


Setelah itu suaminya telah meninggalkannya dan tidak lagi dapat dikesan. Di akhir perbicaraan, hakim telah menolak tuntutan perceraian secara taklik kerana surat taklik menyatakan bahawa isteri itu telah ditinggalkan dan suami gagal memberikan nafkah selama tiga bulan berturut-turut. Hakim mengesahkan bahawa suami itu gagal memberikan nafkah selama tiga bulan berturut-turut tetapi berpendapat bahawa taklik itu mensyaratkan suami yang meninggalkan isteri dan bukannya isteri yang meninggalkan suami dengan terlebih dahulu keluar rumah. Saya tidak berpuashati dengan keputusan hakim itu dan telah merayu ke Mahkamah Tinggi Syariah. Saya telah mengemukakan hujah berserta dalil-dalil yang cukup bahawa maksud meninggalkan isteri dalam lafaz taklik itu bukanlah perlu ditafsirkan sebagai meninggalkan isteri secara fizikal bahkan maksud lafaz taklik itu meninggalkan adalah ‘abandoned’. Malang sekali, hakim Mahkamah Tinggi yang menjalankan kuasa rayuan itu tidak bersetuju dengan pandangan saya tersebut. Sehingga kini saya masih lagi berpendapat bahawa hakim mahkamah rendah dan mahkamah tinggi syariah itu telah silap kerana maksud meninggalkan isteri itu sepatutnya ditafsirkan bukan sahaja keluar rumah tetapi sepatutnya ditafsirkan sebagai membiarkan atau ‘abandoned’ isteri. Jika tidak, selamanya isteri akan teraniaya dengan perbuatan suami yang sengaja tidak menghiraukan isteri dan tidak pula memberikan nafkah.


Sewaktu dalam kelas subjek Family Law di tahun dua kuliyah di Universiti Islam Sungai Pusu, Profesor Ahmad Ibrahim pernah menyatakan dalam kuliahnya mengenai kekesalan beliau kerana kalah kes dalam kes Natrah dan Mansor Adabi. Beliau kesal kerana gagal menasihati Mansor Adabi dengan sewajarnya sehingga menyebabkan Natrah telah dihantar pulang ke Belanda disebabkan isu ‘domicile’. Katanya ada tiga perkara yang boleh dibuat oleh Mansor Adabi untuk membolehkan pemindahan ‘domicile’ Natrah ke Tanah Melayu, antaranya adalah dengan melakukan hubungan intim suami isteri.


Ada pihak yang mengatakan bahawa Profesor Ahmad Ibrahim amat terkesan dengan kekalahan itu sehinggakan beliau meninggalkan dunia kepeguaman dan menjadi seorang ahli akademik. Apa pun Profesor Ahmad Ibrahim adalah insan yang banyak berjasa kepada dunia perundangan khasnya perundangan syariah dan beliau telah mengasaskan Kulliyyah Undang-Undang di Universiti Islam Sungai Pusu sehingga telah mengeluarkan ribuan graduan undang-undang. Mungkin jika beliau menang kes Natrah itu sehingga kini kita tidak akan melihat kewujudan Kulliyyah Undang-Undang.


Akhir kata, peguam yang profesional sepatutnya dapat mengenepikan emosi mereka apabila kalah kes. Kalah kes bukanlah pengakhiran dalam kerjaya mereka. Anggaplah kekalahan itu sebagai pelajaran yang mahal harganya.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor