Skip to main content

NASIHAT DARURAT PM KEPADA YDPA

NASIHAT DARURAT PM KEPADA YDPA


1. Ada dua persoalan berkaitan isu nasihat darurat PM kepada YDPA. Persoalan pertama sudah terjawab dalam senario darurat yang berlaku sebelum ini dan baru-baru ini. Persoalan pertama adalah sama ada YDPA boleh mengisytiharkan darurat tanpa ada nasihat PM dan sama ada YDPA terikat dengan nasihat PM tersebut.


2. Pada bulan 25 Oktober 2020, YDPA telah menolak nasihat PM untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Ini membuktikan bahawa menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA mempunyai budi bicara atau prerogatif untuk tidak menerima nasihat PM bagi maksud perisytiharan darurat.


3. Perkara 150(1) menyatakan, "(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian."


4. Pada 11 Januari 2021, sekali lagi PM telah menghadap YDPA dan kali ini YDPA telah berpuashati dan berkenan untuk mengisytiharkan darurat. Jadi ini bermakna, kuasa YDPA di bawah Perkara 150(1) adalah bergantung kepada prerogatif dan tidak terikat dengan nasihat PM sebagaimana kehendak sistem Raja Berperlembagaan.


5. Kedua-dua senario ini menunjukkan bahawa YDPA tidak bertindak untuk mengisytiharkan darurat tanpa ada nasihat daripada PM. Namun, YDPA berhak untuk menolak atau menerima nasihat PM tersebut kerana Perkara 150(1) menyatakan YDPA hendaklah berpuashati bahawa wujud ancaman keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.


6. Para peguam dan ahli jurisprudens mungkin tidak bersetuju dengan hal ini dan menyatakan secara tegas bahawa YDPA tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhi nasihat kabinet jika ada nasihat untuk perisytiharan darurat. Mungkin inilah juga nasihat yang diterima oleh PM pada bulan Oktober 2020 tetapi hakikat yang berlaku adalah bahawa YDPA tidak menerima nasihat tersebut. Oleh itu, secara praktisnya YDPA tidak terikat dengan nasihat PM jika nasihat itu adalah berkaitan darurat.


7. Persoalan kedua pula lebih sulit untuk dicerap iaitu adakah YDPA terikat dengan nasihat PM dan kabinet selepas darurat diisytiharkan? Ada peguam berhujah bahawa menurut skema Perlembagaan khasnya menurut Perkara 40(1A) yang jelas menyatakan YDPA hendaklah terikat dengan nasihat PM dan kabinet. 


8. Perkara 40(1A) menyatakan, "(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu." [Sub-fasal (1A) ini ditambahkan selepas krisis perlembagaan 1993].


9. Jika hujahan sebegitu diterima maka tindakan YDPA menolak nasihat darurat pada bulan Oktober 2020 itu adalah bertentangan dengan Perkara 40(1A) itu. Namun, sebagaimana yang kita ketahui bahawa nasihat PM pada bulan Oktober 2020 itu telah ditolak oleh YDPA. Jadi, jika melihat kepada penolakan YDPA itu, YDPA barangkali berpandangan bahawa Perkara 40(1A) itu tidak terpakai bagi perisytiharan darurat di bawah Perkara 150(1). 


10. Justeru, bagaimana pula kita melihat kuasa YDPA selepas darurat diisytiharkan? Adakah YDPA masih terikat dengan nasihat PM dan kabinet atau YDPA boleh bertindak menurut kehendak beliau sendiri?


11. Jika kita melihat kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 nampaknya seperti YDPA tidak terikat lagi dengan nasihat PM dan kabinet kerana Ordinan 2021 itu telah mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di Malaysia berikutan wabak penyakit berjangkit Covid-19. Semua ahli JK Khas ini juga akan dilantik oleh YDPA. Tidak dinyatakan bahawa lantikan itu adalah atas nasihat PM atau kabinet.


12. Tambah memeningkan adalah bahawa Ordinan Darurat 2021 itu menyatakan bahawa PM dan kabinet masih mengekalkan kuasa eksekutif. Jadi, apakah sempadan kuasa antara JK Khas dan kabinet?


13. Melihat kepada skema Perkara 150 Perlembagaan ini yang memberikan kuasa penuh kepada YDPA untuk membuat apa-apa ordinan, maka, dipercayai bahawa kuasa JK Khas ini akan lebih besar daripada kuasa eksekutif kabinet.


14. Ini menjadikan fungsi kabinet ini hanya terhad kepada kegiatan seharian kerajaan (day to day work) dan pembuat polisi sebenar nanti adalah terletak di bahu ahli JK Khas ini.


15. Ordinan Darurat 2021 ini juga tidak memperincikan komposisi ahli JK Khas dan terma rujukan. Kuasa yang diberikan kepada JK Khas ini adalah besar kerana JK Khas ini terus memberikan nasihat kepada YDPA tanpa perlu melalui kabinet.


16. Jika telahan ini tepat maka sebenarnya kuasa PM sudah luntur dengan wujudnya Ordinan Darurat 2021 ini. Amalan biasa sebelum ini adalah sebelum sesuatu RUU itu dibentangkan untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat ianya mestilah mendapat kelulusan kabinet terlebih dahulu. Dengan kuasa membuat undang-undang dipusatkan kepada YDPA maka kuasa kabinet itu nampaknya sudah tidak wujud lagi.


17. Jika ramai pihak melihat bahawa tindakan PM menasihati YDPA adalah tindakan terdesak untuk menyelamatkan karier politik beliau daripada ancaman penarikan balik sokongan UMNO terhadapnya maka sebenarnya PM sendiri sudah melemahkan dirinya dengan perisytiharan darurat ini melainkan jika PM itu sendiri yang dilantik oleh YDPA untuk mengetuai JK Khas Bebas itu. Ini kerana PM dan kabinet sudah tidak lagi berkuasa untuk memutuskan atau membuat apa-apa undang-undang. Ini juga bermakna bahawa UMNO telah kena game juga mungkin tidak tepat sepenuhnya kerana PM sendiri pun mungkin juga telah kena game dengan tindakannya sendiri yang menyerahkan kuasa kepada YDPA. Kini, YDPA yang paling berkuasa dengan pemusatan kuasa kepadanya setelah Ordinan Darurat 2021 ini berkuatkuasa.


18. Sebab itu, bagi mewujudkan sistem semak dan imbang, sewajarnya ahli JK Khas itu dilantik daripada pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan, pembangkang dan wakil NGO yang pakar dalam bidang masing-masing khasnya berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam.


19. Mungkin persoalan yang bermain di kepala pembangkang adalah jika menjadi ahli JK Khas ini bermakna mereka bersetuju dengan darurat yang mereka bantah sebelum ini. Persoalan tersebut sepatutnya sudah diketepikan memandangkan YDPA sudah mengisytiharkan darurat dan tidak mungkin YDPA akan menarik balik perisytiharan darurat yang sudah diwartakan ini.


20. Justeru, adalah mustahak untuk pembangkang untuk turut serta dalam JK Khas ini untuk mewujudkan paling tidak satu mekanisme semak dan imbang memandangkan JK Khas ini akan menasihati YDPA untuk membuat apa-apa ordinan. 


21. Sebagaimana yang termaktub dalam Ordinan Darurat 2021, kuasa JK Khas ini sangat luas iaitu menasihati YDPA terhadap apa-apa ancaman keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. Justeru, input daripada semua pihak termasuk pembangkang adalah mustahak untuk JK Khas ini membuat apa-apa polisi atau pun dasar negara atau meluluskan apa-apa bajet tambahan. Sekiranya kemudiannya ada perkara-perkara yang diputuskan oleh JK Khas ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, hak asasi dan demokrasi maka mereka boleh sahaja berundur diri daripada JK Khas ini dengan terhormat.


Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor