Beberapa hari lepas anakguam sangat gembira kerana berjaya mendapat perintah Mahkamah Syariah untuk bersama dan bermesra dengan anak-anaknya selama seminggu dalam tempoh cuti penggal persekolahan. Namun, nyata sekali si ibu tidak gembira dengan keputusan Mahkamah itu. Ini mungkin berpunca sakit hati ke atas suaminya itu belum lagi habis. Si suami telah bernikah lain tanpa pengetahuan si isteri dan si isteri hanya mengetahuinya selepas 2 tahun pernikahan itu berlangsung. Ini mengundang kemarahan isteri.
Akhirnya, badai yang menimpa pantai itu tidak dapat lagi dihalang. Pernikahan itu berakhir dengan perceraian. Perceraian ini meskipun pahit, mungkin menjadi penawar terbaik untuk pasangan ini. Namun, dalam proses mendapat penawar ini, seharusnya anak-anak tidak dimangsakan.
Silaturrahim antara anak dan bapa tidak harus diputuskan. Apatah lagi, jika anak-anak itu masih kecil dan masih memerlukan kasih sayang seorang bapa. Usah jadikan anak-anak seperti anak yatim yang kematian bapa. Si ibu seharusnya berlapang dada soal ini. Si ibu tidak berhak menghalang anak-anak daripada berjumpa bapanya. Apalagi kalau halangan itu diikuti pula dengan hasutan ke atas anak-anak kononnya bapa ini telah bernikah lain dengan perempuan jalang dan sundal.
Harus diingat, bahawa sesiapa yang memutuskan silaturrahim bakal menempah neraka. Dan ketahuilah, azab yang paling ringan pun adalah menggelegak otak apabila bara api neraka diletakkan di tapak kaki. Saya juga teringat suatu hadis Nabi SAW yang pernah dipelajari sebelum ini bahawa tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.
Oleh itu, sesiapa yang bercerai hendaklah bertaqwa kepada Allah swt. Usah dilayan bisikan syaitan yang ingin memecah belah umat Islam dan inginkan permusuhan antara bapa dan anak. Si ibu, yang menjaga anak harus memberikan hak anak untuk bersama bapanya.
Wallahualam
Comments
apa perlu saya buat