Skip to main content

Kesihatan - Bagaimanakah ingin berjaya dalam profesion guaman - Siri 12

      Untuk berjaya dalam profesion guaman, anda hendaklah sentiasa sihat wal afiat. Profesion ini memerlukan seorang yang sihat kerana ianya adalah profesion yang memberikan perkhidmatan. Profesion ini tidak menjual produk atau barangan.

      Profesion ini modalnya adalah otak, pen, kertas dan air liur. Maksud saya seorang peguam perlu menggunakan ilmu (otak) untuk berfikir bagi setiap kes yang dihadapi. Tanpa tubuh badan yang sihat otak tidak akan berfungsi sebagaimana yang disebut di dalam pepatah arab, "Akal yang sihat hanya ada pada tubuh badan yang sihat (Al-'aqlu al-salim fi al-jism al-salim)". Profesion peguam adalah antara profesion yang banyak menggunakan akal. Sebab itu seorang peguam yang aktif jarang akan menjadi nyanyuk. Seorang peguam bahkan terpaksa berfikir dari 5-6 sudut pandang untuk mendapatkan hasil atau solusi bagi masalah kliennya. Maknanya, peguam itu perlu berfikir berlapis-lapis sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini memerlukan kemahiran atau skil berfikir yang tinggi. Kadang-kadang ada peguam yang tidak menggunakan skil dan seni berfikir yang tinggi apabila beliau sudah terbiasa dengan pekerjaan yang dilakukannya. Misalnya peguam yang mengendalikan perjanjian jual beli dengan pemaju tidak perlu menggunakan skil yang tinggi kerana template perjanjian itu sudah ada di dalam akta. Peguam yang melakukan proses debt recovery bagi pihak bank juga tidak perlu menggunakan skil yang tinggi kerana apabila perkara itu sudah menjadi rutin ianya sudah terbentuk di dalam sistem komputer masing-masing. Tetapi bagi peguam yang membuat perjanjian sub-sale atau general litigation maka mereka terpaksa menggunakan kemahiran berfikir ini.

    Selepas berfikir dengan teliti, maka apa yang difikirkan itu perlu diterjemahkan ke atas kertas. Kerja menterjemahkan pemikiran di atas kertas itu dahulunya dibuat secara manual menggunakan pen. Sewaktu saya chambering pada tahun 1999 dahulu, master saya hanya akan menulis dan mencatat di atas kertas apa yang difikirkan itu dan kemudiannya apa yang ditulis itu akan ditaip oleh kerani. Seorang peguam dahulu lazimnya mempunyai sehingga 3 hingga 5 orang kerani untuk membuat kerja-kerjanya. Oleh itu, peguam dahulu jarang mempunyai skil untuk menaip atau menggunakan komputer. Pada masa itu word processor masih menggunakan aplikasi wordstar atau word perfect. Sekarang ini kedua-dua aplikasi itu sudah pupus digantikan dengan aplikasi microsoft word. Sekarang ini jarang kita berjumpa dengan peguam yang tidak mahir dengan komputer sekurang-kurangnya untuk menaip menggunakan aplikasi microsoft word. Mungkin masih ada peguam yang dapat bermewah-mewah untuk menggaji kerani terutamanya di firma-firma besar.

    Kemudian, setelah kesemua itu ditaip dan dicetak maka peguam perlu menggunakan skil percakapan untuk menjelaskan hal itu kepada klien atau menghujahkan perkara itu di mahkamah. Sebab itu peguam dikatakan menjual air liur. Nilai air liur peguam ini berbeza mengikut skil dan pengalaman. Saya pernah diberitahu ada peguam yang mengenakan bayaran sebanyak RM150,000-00 untuk sekali berhujah di Mahkamah dalam kes petisyen pilihan raya. Saya juga pernah diberitahu, ada sebuah firma besar di Kuala Lumpur yang mengenakan caj sebanyak RM100 ribu lebih untuk nasihat guaman yang berjumlah 6 muka surat!!!

    Lazimnya cara pengenaan fi guaman selain yang disebut dalam Solicitor's Remuneration Order 2005 adalah terpulang kepada persetujuan antara peguam dan kliennya. Mungkin saya akan menulis di masa lain berkaitan dengan pengenaan caj guaman ini.

     Berbalik kepada tajuk asal kali ini adalah mengenai kepentingan untuk peguam menjaga kesihatan. Kesemua perkara yang saya nyatakan di atas tidak mungkin akan dapat dilaksanakan jika peguam itu sakit. Saya sebenarnya amat kagum dengan Mendiang Karpal Singh. Setiap hari beliau ke mahkamah seolah-olah beliau tidak sakit. Selepas beliau ditimpa musibah kemalangan, hampir keseluruhan badan beliau lumpuh kecuali bahagian kepala. Namun, otak beliau masih berfungsi dan mulut beliau masih petah bercakap. Pergerakan beliau bergantung sepenuhnya kepada pembantu beliau sendiri. Tetapi itu semua tidak menghalang daripada berhujah dengan efektif di Mahkamah dan di Parlimen.

     3 minggu lepas saya telah membuat pemeriksaan kesihatan dan mengikut doktor yang memeriksa saya menyatakan bahawa tekanan darah saya agak tinggi iaitu 134/90. Tekanan darah bagi orang normal adalah 120/80. Hal ini menggusarkan saya kerana dua hari selepas itu tekanan darah saya masih belum turun. Saya juga bingung kerana pada masa itu saya telah mengawal pemakanan dan senaman. Secara purata saya makan kira-kira suku bahagian pinggan nasi, lauk seketul dan banyak sayur atau ulaman. Sering juga saya tidak makan nasi di waktu malam. Begitu juga saya memperuntukkan masa kira-kira 3 kali waktu senaman seminggu dan bagi setiap kali senaman itu tidak kurang 1 jam. Selepas itu, saya telah menjalani pemeriksaan stress test dan doktor mengatakan saya kurang bersenam.

     Ini bermakna saya perlu membuat tindakan holistik dengan menyemak semula jenis senaman, makanan dan lain-lain faktor yang menambahkan tekanan darah. Setelah saya mengkaji saya dapati corak dan pattern senaman saya selama ini perlu diubah. Senaman yang baik perlu menggabungkan unsur kardiovascular dan resisting strength (rintangan). Badan kita ini cepat adaptasi dengan perlakuan seharian kita kerana otak kita adalah seperti sebuah mesin yang inteligen. Jika kita sering mengadakan aktiviti kardiovascular sahaja otak kita akan adaptasi dengan aktiviti itu menyebabkan badan kita akan menggunakan tenaga yang minima. Penggunaan tenaga yang minima akan mengurangkan pembakaran kalori dan seterusnya menyebabkan lemak-lemak terperap sahaja di dalam badan. Begitu juga, senaman berbentuk resistant seperti angkat berat di dalam gimnasium juga bermanfaat untuk memberikan tubuh badan yang sihat. Namun, saya tidak gemar ke gimnasium kerana faktor masa dan wang ringgit. Bukan bermakna saya tidak mampu membayar yuran gimnasium tetapi jika ada yang percuma mengapa kita perlu berbelanja lebih. Saya dapati cara lain untuk bersenam adalah dengan melalui rutin yang dibuat ke atas anggota tentera. Kita lihat tubuh badan anggota tentera pada masa dahulu sangat kemas dan tegap padahal mereka pun tidak diarahkan untuk melalui latihan di gimnasium. Gimnasium pun belum wujud lagi pada waktu itu. Mereka hanya melalui pelbagai latihan fizikal seperti mendaki rintangan, melompat tayar, merangkak di bawah kawat besi, berenang dan lain-lain. Ini adalah aktiviti berbentuk rintangan (strength resistant training) yang dapat menyihatkan badan dan otak.

      Saya juga mengubah pola pemakanan saya dengan memilih makanan yang dapat mengurangkan tekanan darah. Sebelum ini saya banyak memakan sayuran bayam kerana ianya lazat dan tahan lama jika disimpan di dalam peti. Saya dapati bayam tidak begitu bagus untuk orang yang mengalami tekanan darah tinggi kerana mungkin kandungan zat besi yang tinggi. Saya dapati sayuran seperti daun bawang, daun saderi dan labu siam bermanfaat untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Saya telah menggunakan mesin perahan perlahan (slow juicer) untuk memerah bahan-bahan itu dan dicampur dengan ubi bit merah (beet root) serta epal hijau atau epal merah dan meminum air yang lazat ini sekurang-kurangnya dua kali sehari. Begitu juga dengan air kelapa. Dahulu, arwah bapa saya menggunakan air kelapa hijau yang dicampur dengan 21 biji lada hitam yang ditumbuk dan diminum sekali gus untuk mengurangkan tekanan darah. Namun, saya masih belum mencuba resepi campuran air kelapa dan lada hitam ini. Saya juga mengurangkan pemakanan daging merah seperti daging lembu dan kambing walaupun saya penggemar tegar kedua-dua jenis daging ini serta melebihkan memakan ikan serta ayam.

    Selain itu, peguam juga harus memeriksa kadar stress yang dialami. Kerja sebagai peguam sangat stress jika kita dihambat oleh hakim dan klien. Kerja peguam ada dateline yang perlu dipatuhi. Peguam juga perlu cukup tidur dan tidak membawa kerja pulang ke rumah setelah tamat waktu kerja. Jika terpaksa sekalipun, jangan lupa untuk berehat setelah selesai tugasan itu.

    Setelah mengubah gaya dan cara hidup ini saya selama 2-3 minggu, Alhamdulilah tekanan darah semakin stabil. Saya telah membeli mesin elektronik untuk menyukat tekanan darah. Jika sebelum ini saya gusar jika kepala rasa berat kerana khuatir tekanan darah naik, sekarang ini tidak lagi dengan bantuan mesin ini kerana saya terus dapat memeriksa tekanan darah tanpa perlu pergi ke klinik. Semalam saya memeriksa tekanan darah sebelum makan malam dan mendapati tekanan darah sudah kembali stabil pada tahap 120/80.

   Sepanjang tempoh tiga minggu lepas, saya rasa seperti Allah taala telah mencabut satu nikmatnya iaitu nikmat kesihatan. Nikmat kesihatan ini amat besar faedahnya kepada peguam. Tanpa kesihatan yang kuat pasti peguam tidak dapat berkerja. Tanpa berkerja pasti ini akan mendatangkan masalah kepada aliran tunai dalam poket. Oleh itu, sama-samalah kita bersyukur atas nikmat kesihatan ini dan semoga kita dapat terus menyumbang tenaga dan masa kita untuk kepentingan umat.



Comments

Popular posts from this blog

Apa nak buat bila dah kena tangkap?

Jika seseorang defendan atau responden ditangkap ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atas dirinya, maka biasanya defendan itu akan dibawa ke balai polis yang berdekatan. Setelah butirannnya diambil, lazimnya defendan akan dibebaskan dengan jaminan polis. Polis boleh melepaskan defendan itu dengan jaminan mulut oleh defendan sendiri atau polis boleh meminta supaya defendan mendapatkan seorang penjamin yang lain. Defendan dan penjamin perlu hadir ke Mahkamah Syariah yang ditetapkan pada hari sebutan. Jika defendan hadir, maka Mahkamah boleh melanjutkan jaminan yang diberikan ke atasnya dengan jaminan yang sama atau Mahkamah boleh meminta supaya didepositkan wang sebagai jaminan kehadirannya ke Mahkamah. Biasanya di Mahkamah Syariah, kadar jaminan wang antara RM1000 - RM2000. Menariknya, seorang peguam syarie boleh memberikan jaminan ke atas defendan itu, Namun, akta yang ada tidak jelas samada peguam syarie itu adalah peguamnya sendiri atau pun peguam yang lain. Ini kerana, jika

Hebatnya Menjadi Peguam

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM. Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup. Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Pegua

Pengiraan Kadar Mutaah

1.  Bagi pasangan yang bercerai, menetapkan kadar mutaah yang sewajarnya adalah suatu kesulitan. Bagi isteri, pasti mahu mendapatkan jumlah yang besar setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan terhadap suami. Bagi suami, jumlah yang dituntut oleh isteri itu mungkin melampau dan tidak setara dengan tindakan yang dibuat oleh bekas isteri. Misalnya, dalam kes tuntutan mutaah pelakon Rita Rudaini lwn Aidil Zafuan Abdul Razak, yang mana plaintif telah mendapat penghakiman sejumlah RM30,000 berbanding tuntutan asalnya yang berjumlah RM300,000.   2.   S.56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak memperincikan kaedah menetapkan jumlah mutaah yang perlu dibayar. Ianya hanya menyebutkan, kadar mutaah itu ditetapkan atas suatu jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Seksyen 56. Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseor